We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 57 Meminta Pertolongan Dari Tukang Kayu dan Tukang tukang-tukang yang lain June 18, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 12:32 pm
Tags: , , , ,

Bab 37 Meminta Pertolongan Dari Tukang Kayu dan Tukang tukang-tukang yang lain Dalam Membina Kayu-Kayu Mimbar Masjid

Imam Bukhari membawakan tajuk ini sebagai isyarat karutnya hadis yang ada kata Nabi suruh jauhkan tukang-tukang dari masjid. Padahal Nabi hendak yang molek apabila baginda buat kerja. Tentulah kalau berkenaan masjid yang tentunya satu pekerjaan yang penting, baginda mahukan yang terbaik untuknya. Kalau bukan tukang yang pandai yang buat, tentulah tak dapat nak jadi cantik dan kemas masjid itu. Hadis itu ada kena mengena dengan Syiah. Padahal hadis yang dimulakan dengan ‘wahai Ali’, semuanya palsu kecuali satu sahaja: iaitu hadis yang mengatakan Ali sebagaimana Harun kepada Musa. Oleh itu, tidak boleh diterima hadis itu kerana ianya adalah palsu sahaja. Jadi tak masuk akal kalau Nabi tak mahu libatkan tukang.

Imam Bukhari hendak membawakan pendapat bahawa elok untuk melibatkan tukang yang mahir.

Walaupun dalam dua hadis yang dibawa oleh Imam Bukhari sebagai dalil dibawah ini, adalah berkenaan dengan tukang kayu sahaja, tapi dalam tajuknya beliau memasukkan juga perkataan ‘Tukang tukang-tukang yang lain’. Ini merangkumi tukang-tukang yang lain contohnya tukang besi, tukang simen dan sebagainya. Memang ada hadis-hadis lain yang mengatakan Nabi menggunakan tukang-tukang yang lain tapi Imam Bukhari tidak memasukkannya. Kerana hadis-hadis itu tidak menepati syarat beliau yang ketat. Tapi tidak bermakna ianya tidak sahih. Dan daripada tajuk yang dia letakkan, menunjukkan bahawa dia menerima juga Tukang tukang-tukang yang lain. Walaupun dia tidak terima sampai dia masukkan dalam sanad dia, tapi dia telah isyaratkan dalam tajuknya. Begitulah pentingnya tajuk yang Imam Bukhari letakkan. Kita boleh tahu lebih dari dari apa yang letakkan dalam tajuknya.

Imam Bukhari juga menggunakan qiyas dalam tajuk ini: kalau mimbar pun boleh pakai tukang kayu, maka kalau nak bina masjid yang lagi susah itu pun kenalah pakai tukang lain yang mahir juga. Imam Bukhari nak mengajar bahawa salah satu cara untuk memahami hadis adalah dengan menggunakan qiyas. Kalau tak boleh pakai qiyas, susah nak cari hadis yang bertepatan dengan tajuk. Jadi, kita kena pandai pakai mana hadis yang ada, dan mengqiyaskan dengan permasalah dunia semasa.

Imam Bukhari juga hendak menekankan sekali lagi bahwa dalam urusan pembinaan masjid, elok bekerjasama. Lagi ramai orang boleh dapat pahala membina masjid. Dan kelebihan yang ada pada manusia berlainan. Ada yang pandai tukang bahagian ini dan ada orang yang pandai bahagian lain. Kalau yang bekerjasama itu ada kepandaian tertentu lagi molek. Ini nak tambah dari tajuk-tajuk sebelum ini. Sebelum ini hanya sebut pasal bekerjasama secara umum sahaja. Kali ini, ada melibatkan kerjasama antara orang-orang yang ada kemahiran pertukangan.

429 حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُالْعَزِيزِ حَدَّثَنِي أَبُو حَازِمٍ عَنْ سَهْلٍ قَالَ بَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى امْرَأَةٍ مُرِي غُلامَكِ النَّجَّارَ يَعْمَلْ لِي أَعْوَادًا أَجْلِسُ عَلَيْهِنَّ

429. Telah menceritakan kepada kami Qutaibah bin Sa’id berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul ‘Aziz telah menceritakan kepadaku Abu Hazim dari Sahl berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menghantar seseorang (sebagai utusan) kepada seorang wanita dan berkata, “Perintahkan hambamu yang tukang kayu itu membuat mimbar daripada kayu untukku duduk.”

Wanita yang dimaksudkan itu bernama A’isyah. Ini bukanlah Aisyah isteri Nabi. Bermakna ramai juga yang nama A’isyah, Fatimah dan sebagainya. Makna ‘A’isyah’ adalah: perempuan yang hidup dengan sihat dan dapat cari makan sendiri. Boleh berdikari. Kalau Yahya, setakat makna ‘hidup’ sahaja. Aisyah itu adalah seorang boleh hidup sampai dewasa. Jadi, antara orang yang meletak nama anak mereka Aisyah adalah supaya anak itu dapat hidup sampai dewasa. Aisyah adalah satu nama yang elok. Tapi tak payahlah tambah ‘Siti’ sebab Siti tu bermakna ‘puan’. Orang kita ramai yang salah dalam bab bagi nama. Memang dah hendak kepada agama sebab itulah mereka memiliah nama yang berbau Islam tapi banyak yang silap. Kena diperbetulkan sedikit demi sedikit. Maka kena tanya orang yang tahu. Kalau pakai nama ambil dari buku sahaja belum tentu betul lagi.

430 حَدَّثَنَا خَلادٌ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُالْوَاحِدِ بْنُ أَيْمَنَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِاللَّهِ أَنَّ امْرَأَةً قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلا أَجْعَلُ لَكَ شَيْئًا تَقْعُدُ عَلَيْهِ فَإِنَّ لِي غُلامًا نَجَّارًا قَالَ إِنْ شِئْتِ فَعَمِلَتِ الْمِنْبَرَ

430. Telah menceritakan kepada kami Khallad berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul Wahid bin Aiman dari Bapaknya dari Jabir bin ‘Abdullah, bahwa ada seorang wanita berkata, “Wahai Rasulullah, bolehkah aku buatkan sesuatu untuk Tuan, sehingga Tuan bisa duduk di atasnya? Kerana aku punya seorang hamba yang ahli dalam masalah pertukangan kayu.” Baginda menjawab: “Silakan, kalau kamu mau.” Maka wanita itu membuatkan mimbar itu.”

Ini adalah kisah dari orang yang sama juga. Nampak ada canggah tapi tidak sebenarnya. Hadis yang kedua ini yang berlaku dahulu dari segi kronologi. Mulanya dia yang menawarkan dulu kepada Nabi. Kemudian baru kejadian dalam hadis yang pertama iaitu Nabi mengingatkan dia untuk membuat mimbar itu. Jadi kena faham apakah kisah hadis itu. Kalau tak faham lah yang menyebabkan ada yang jadi anti hadis. Jangan nak cepat menolak hadis hanya kerana kita tak faham.

Mimbar Masjid Nabi sekarang.

Sebelum ada mimbar itu, baginda akan bersandar pada sebatang pokok semasa berkhutbah. Selepas ada mimbar itu baginda meninggalkan pokok itu. Menangis pokok itu sampai para sahabat pun dengar. Maknanya, ada tindakbalas dari pokok. Sekarang pun orang sains dah buat kajian yang pokok bertindakbalas dengan muzik dan sebagainya. Daripada hadis, ada dikatakan bahawa segala hidupan semuanya bertasbih kepada Allah cuma kita sahaja tak dapat nak dengar.

Pengajaran yang boleh diambil dari dua hadis diatas:

  1. Keelokan melibatkan orang yang mahir dalam pembinaan masjid. Kalau sesuatu tempat itu digunakan oleh orrang awam, elok melibatkan tukang. Kalau rumah pun kita pakai tukang untuk buat, tentulah masjid lebih-lebih diperlukan lagi.
  2. Keelokan menawarkan diri dalam kerja-kerja agama. Tak payah tunggu orang suruh. Dalam hadis diatas, wanita itu menawarkan khidmat hambanya. 
  3. Elok untuk melibatkan orang bawahan dalam melakukan kerja-kerja agama. Seperti Nabi mengambil kira tawaran dari umatnya. Apabila mereka menawarkan diri, Nabi tak larang. Malah menerima dengan baik. Dan kita boleh lihat bagaimana pandainya para sahabat. Orang-orang biasa pun menawarkan khidmat mereka. Bukan yang besar-besar sahaja. Ini semua adalah hasil asuhan Nabi. Mereka jadi cerdik kerana asuhan Nabi. Allah telah memilih mereka yang mulia untuk mengelilingi dan membantu Nabi. 
  4. Majlis Nabi juga dihadiri oleh orang-orang perempuan. Tidak ada tabir antara Nabi dan mereka. Jadi salah kalau orang kata perempuan tidak boleh terlibat dalam majlis. Banyak sangat hadis yang menunjukkan penglibatan sahabat perempuan. Kalau dalam kelas pengajian pun, dalam hadis dikatakan lelaki sebelah sini dan perempuan sebelah sana. Sama-sama boleh belajar. 
  5. Keharusan bercakap dan berbincang dengan bukan mahram. Jadi tidak benar kalau ada yang kata suara perempuan itu aurat. Sebab tidak kena dengan hadis yang sahih. Tapi ada yang salah faham, sampai kalau orang lelaki telefon pun tidak cakap, senyap sahaja.
  6. Kprihatinan para sahabat tentang keselesaan Nabi. Nabi tak minta tapi mereka sendiri nampak keperluan mimbar itu. Samada dari sahabat lelaki atau perempuan. Jadi memang ada sumbangan sahabiah dalam sejarah Islam. Bukanlah lelaki sahaja yang menyumbangkan tenaga dalam Islam. Ada juga pendapat yang silap kerana golongan wanita dalam Islam.
  7. Boleh menerima sumbangan orangramai untuk menjayakan program agama. Dalam hadis ini, tentulah kayu pun A’isyah itu beri juga. Nabi terima.
  8. Kesediaan untuk menyumbang kepada syiar ugama, walaupun tidak diminta adalah satu sifat yang mulia.
  9. Keharusan menghantar orang sebagai utusan untuk menyampaikan pesanan. Kerana kita mungkin tidak berkesempatan kerana banyak kerja. Bukan nak mengatakan kita sombong sampai tak boleh pergi sendiri. Jangan kita ingat orang sombong pula kalau hantar wakil jumpa kita. Sebab dah ada contoh yang Nabi tunjukkan seperti dalam hadis ini. Sahabat memang bersedia berkhidmat untuk Nabi. Ada yang tunggu sahaja di luar rumah Nabi. Kot-kot Nabi ada kerja untuk mereka.
  10. Mengingatkan seseorang tentang janji yang telah dibuat dibolehkan. Tidak salah kalau buat begitu. Nabi telah menghantar utusan untuk mengingatkan A’isyah tentang janjinya.

 

Advertisements
 

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 50 Bab Sembahyang Apabila Seseorang Itu Pulang Dari Sesuatu Perjalanan June 1, 2013

بَاب الصَّلاةِ إِذَا قَدِمَ مِنْ سَفَرٍ وَقَالَ كَعْبُ بْنُ مَالِكٍ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَدِمَ مِنْ سَفَرٍ بَدَأَ بِالْمَسْجِدِ فَصَلَّى فِيهِ

Bab 32 Sembahyang Apabila Seseorang Itu Pulang Dari Sesuatu Perjalanan. Ka`ab Bin Malik Berkata: “Nabi S.A.W Apabila Pulang Dari Sesuatu Perjalanan Beliau Akan Singgah Di Masjid Dahulu Lalu Bersembahyang Di Situ.”

Solat apabila pulang dari musafir dipanggil: Solatul qudum minnas safar. Pendeknya, kita panggil Solat Qudum sahaja. Boleh buat samada di masjid atau rumah. Lebih molek di rumah. Sebab itu Imam Bukhari masukkan dalam bab masjid. Mungkin kita tak biasa dengar solat ini, itupun sebab kita tak belajar sahaja. Yang pasti, solat ini ada dalam hadis. Jadi ini adalah sunnah dari perbuatan Nabi. Jadi kedudukannya adalah tinggi, malah lebih tinggi dari ada solat yang tidak pasti kesahihannya dari segi syarak, termasuklah yang dikatakan orang solat tasbih.

Ini bukan Solat Tahiyyatul Masjid. Sebab solat itu kena buat khusus di masjid sahaja. Kalau kita buat solat Qudum ini, sudah tidak perlu buat solat Tahiyyatul Masjid  dah. Dalam keadaan selepas pulang dari musafir, lebih molek buat solat qudum ini. Masuk sekali Solat Tahiyatul Masjid dalam solat Qudum ini. Macam kalau kita masuk masjid, imam dah solat, kita masuk terus dalam jemaah. Kalau kita dah biasa buat, akan masuk sekali dah solat tahiyyatul masjid. Macam kalau mandi junub, dah termasuk sekali dengan wuduk, jadi tak perlu wuduk dah. Konsepnya adalah, ibadat yang kecil akan masuk dalam ibadat yang besar. Satu lagi contoh adalah, puasa enam masuk dalam puasa qadha. Jadi, elok buat qadha dalam bulan Syawal sebab dua-dua akan dapat. Ini dinamakan Kaedah tadaakhul.

Perbuatan Solat Qudum ini ada hikmat didalamnya. Memang, kalau Nabi dah buat, tentu banyak hikmahnya. Satunya adalah untuk menyatakan kesyukuran kepada Allah kerana mengembalikan kita dari musafir dan kembali ke rumah dalam keadaan selamat. Banyak risiko dalam perjalanan maka Allah telah selamatkan kita. Itulah salah satu hakikat sembahyang pun – iaitu sebagai tanda kesyukuran. Solat mana-mana pun termasuk solat Fardhu. Banyak orang tak faham kenapa kena solat. Sebenarnya, solat itulah cara kita balas atas segala nikmat yang Allah telah berikan. Banyak sekali nikmat Allah telah berikan nikmat. Itulah cara syukur yang Allah telah sampaikan kepada kita melalui Nabi. Kalau tak, kita tak tahu nak berterima kasih kepada Allah macam mana. Maka, Allah dah ajar kepada kita. Tapi kita kadang-kadang kalau dah dapat musibah baru nak tunjuk rasa syukur.

Keduanya, kita Solat Qudum ini hikmahnya adalah memulakan kehidupan harian selepas pulang dari musafir dengan mengambil keberkatan masjid. Masjid itu seperti yang kita tahu membawa berkat. Kerana itulah Nabi bersungguh membina masjid Quba’ walaupun baginda sekejap sahaja berada disitu. Kalau masjid tidak ada di sesuatu tempat itu, amat kuranglah keberkatan tempat itu.

Ketiganya, memberi peluang kepada sanak saudara bertemu muka di tempat yang selesa. Sebab di masjid, lebih luas dari rumah kita. Terutama kepada yang mempunyai ramai sanak saudara. Kalau semua datang ke rumah melawat kita, tak muat pula rumah. Dan ini terutama sekali kepada pemimpin. Senang kalau jumpa disitu. Boleh terus berbincang dengan anak buah tentang hasil pemergiannya bermusafir itu dan apakah tindakan yang seterusnya mereka akan buat. Senang anak buat hendak jumpa di situ.

Keempat, memberi peluang kepada isteri dan lain-lain ahli keluarga mengemas sebelum yang bermusafir sampai ke rumah. Tidaklah pulang dengan mengejut. Zaman sekarang, dah boleh call dulu dah. Supaya isteri sempat menyiapkan diri. Supaya bersedia melayan suami. Kalau semasa suami bermusafir sebelum itu, mungkin si isteri boleh berehat tak kemas sangat rumah. Tapi bila suami dah dekat nak pulang, kenalah kemaskan rumah dan diri. Taklah serabut suami kalau sampai rumah tengok dalam keadaan tidak terurus. Itu semua memberi ketenangan kepada suami. Jangan cerita benda berat-berat sesampai sahaja suami ke rumah.

Kelima, keluarga dapat tahu dia sudah sampai dan sekarang berada di masjid, mereka boleh menyiapkan makanan. Sebab kadang-kadang tuan rumah balik rumah dalam keadaan lapar. Dengan suami berhenti di masjid untuk solat, ianya memberi masa untuk mereka menyiapkan rumah. Benda-benda kecil macam inilah yang menyebabkan suami isteri ada masalah. Kadang-kadang suami tak cakap dia tak suka, tiba-tiba sahaja dia ceraikan. Tapi kalau diselidiki, benda-benda kecil macam inilah yang menyebabkan suami ada sedikit rasa tak suka dan kurang sayang kepada isteri. Tapi dia segan nak beritahu sebab rasa macam benda kecil. Maka, dia akan berikan alasan lain, tanpa memberitahu alasan yang sebenarnya.

Secara tidak langsung mengajar kita jangan pulang ke rumah dalam mengejut. Jadi kalau zaman sekarang, kita boleh bagitahu semasa dalam perjalanan. Kalau dah boleh telefon sahaja, boleh solat di rumah sahaja. Solat ini bukan kena buat di masjid sahaja. Banyak perkara dalam Sunnah itu, kita boleh tahu apakah maksud Nabi lakukan sesuatu perkara. Boleh diketahui kalau kita belajar. Oleh itu, kalau kita tahu sebab apa Nabi solat di masjid, iaitu nak beri masa kepada keluarganya bersiap, maka kita tak perlu nak buat di masjid, sebab sekarang kita boleh capai maksud memberitahu itu dengan menelefon sahaja. Yang penting, tercapai maksud. Cuma kalau solat di rumah, kuranglah sedikit hikmat yang kita boleh dapat, iaitu keberkatan masjid itu tadi.

Imam Bukhari memasukkan hadis riwayat Kaab bin Malik dalam tajuknya secara taqlik. Iaitu tidak diberikan sanad yang lengkap. Tapi hadis itu memang ada di tempat lain dengan hadis yang panjang. Secara ringkasnya, ianya adalah kisah tentang tiga sahabat tidak pergi menyertai perang Tabuk. Perang itu memerlukan kehadiran ramai peserta kerana belah musuh pun amat ramai dengan kelengkapan yang lebih baik. Kaab bin Malik sebenarnya tidak ada alasan untuk tidak pergi. Kalau tidak pergi perang waktu itu, itu adalah tanda munafik. Tapi Kaab telah bertaubat. Dan sememangnya dia bukan orang munafik. Begitulah dugaan para sahabat. Bukan senang. Kita nak cakap dakwah dengan orang pun payah. Mereka tidak pergi perang pun ditegur dalam Quran. Sampai bila-bila ada kisah mereka. Tapi kita ada pula sampai hati nak kata: kenapakah Allah tak pilih aku sebagai sahabat? Entah larat atau tidak nak menghadapi dugaan menjadi sahabat Nabi .

424 حَدَّثَنَا خَلادُ بْنُ يَحْيَى قَالَ حَدَّثَنَا مِسْعَرٌ قَالَ حَدَّثَنَا مُحَارِبُ بْنُ دِثَارٍ عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِاللَّهِ قَالَ أَتَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ قَالَ مِسْعَرٌ أُرَاهُ قَالَ ضُحًى فَقَالَ صَلِّ رَكْعَتَيْنِ وَكَانَ لِي عَلَيْهِ دَيْنٌ فَقَضَانِي وَزَادَنِي

424. Telah menceritakan kepada kami Khallad bin Yahya berkata, telah menceritakan kepada kami Mis’ar berkata, telah menceritakan kepada kami Muharib bin Ditsar dari Jabir bin ‘Abdullah berkata, “Aku datang menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda sedang berada di masjid -Mis’ar berkata, “saya rasa dia ( Muharib) berkata, ‘Pada waktu dhuha.’-, “Beliau bersabda: “Salatlah dua rakaat.” Ketika itu baginda mempunyai hutang kepadaku. Maka beliau membayarnya selepas aku selesai sembahyang dan malah memberi tambahan kepadaku.”

Ini menunjukkan selain dari Sunnah fi’liah (perbuatan) dari hadis Kaab diatas, ada juga Sunnah qawliah (perkataan) apabila Nabi sendiri menyuruh Jabir melakukan solat dua rakaat. Apabila ada Sunnah qawliah, maka jelaslah kepada kita bahawa perbuatan solat qudum itu bukan hanya khas kepada Nabi sahaja. Maka ianya adalah peringatan kepada seluruh ummat. Kerana kadang-kadang, ada juga perbuatan Nabi, hanya untuk baginda. Kalau macam itu, baginda tak suruh sahabat buat.

Dalam hadis diatas, tidak jelas bahawa Nabi suruh Jabir solat qudum. Mungkin ianya adalah solat lain. Kerana ianya adalah hadis yang ringkas. Dalam hadis yang panjang, memang waktu itu Jabir baru balik dari musafir. Nabi telah sampai dahulu, dan semasa Jabir jumpa Nabi itu, Jabir baru sahaja pulang dari musafir. Yang Nabi suruh solat dua rakaat itu bukan kerana solat tahiyatul masjid. Dan bukan juga solat Dhuha. Ada juga ulama yang mengambil hadis ini sebagai dalil kepada solat Dhuha. Sebab dalam hadis itu, ada juga dikatakan waktu itu adalah waktu dhuha. Tapi yang sebenarnya yang lebih tepat adalah ianya adalah solat Qudum minas Safar.

– Jadi sunnah itu ada banyak jenis. Sunnah fi’liah, qawliah, taqririyah dan yang tak biasa kita dengar adalah Sunnah hammiah. Iaitu jenis yang Nabi tak buat tapi Nabi nak buat. Contohnya Nabi pernah bersabda, kalau sempat tahun depannya, Nabi nak buat Haji Tamattu’. Memang Nabi tak buat, tapi Nabi ada cakap Nabi nak buat.

–  Kisah hadis ini: Nabi telah hutang beli unta dengan Jabir. Unta itu asalnya memang unta Jabir, tapi dalam perjalanan ke Tabuk itu, ianya berjalan sangat perlahan. Nabi telah cucuk unta itu dengan tongkat dan selepas itu, unta itu jadi laju. Lepas itu Nabi minta nak beli pula dari Jabir – dengan cara hutang. Tapi bagi Jabir pakai dulu untuk peperangan itu. Janjinya untuk diberikan bayaran itu nanti di Madinah. Dan Nabi bila bayar, baginda bayar lebih. Itu bukan riba. Selepas bayar tu, Nabi hadiahkan balik unta itu kepada Jabir. Nabi tak pernah pakai pun unta itu. Sayang sungguh Jabir dengan unta itu kemudiannya.

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:

  1. Bayar hutang lebih tanpa perjanjian awal, bukan riba. Itu adalah bayar yang molek. Orang yang beri hutang kepada kita  itu telah melakukan satu budi. Dia telah menolong kita sewaktu kita susah. Jadi, cara untuk kita membalas budi adalah dengan bayar lebih kepada dia.
  2. Nabi sentiasa memberi pandangan baik tentang dunia dan akhirat kepada umatnya. Semua perbuatan Nabi menjadi ikutan untuk kita. Samada dalam hal agama atau hal kehidupan. Maka, dalam hadis ini, menunjukkan dalam perkara berhutang pun Nabi tunjuk panduan untuk kita contohi.
  3. Hadis ini juga menunjukkan kemurahan hati dan tangan Nabi. Jelas menunjukkan Nabi tiada mempunyai kepentingan diri.

Kuliah Maulana Asri

 

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 14 & 15 Bab Bersembahyang Di Atas Sutuh (Bumbung Rumah Yang Rata), Mimbar Dan Kayu April 23, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 8:03 pm
Tags: , , , , , , , ,

بَاب الصَّلَاةِ فِي السُّطُوحِ وَالْمِنْبَرِ وَالْخَشَبِ

Bab Bersembahyang Di Atas Sutuh (Bumbung Rumah Yang Rata), Mimbar Dan Kayu

Sebelum ni Imam Bukhari banyak menceritakan bab pakaian. Itu adalah syarat pertama sebelum sembahyang. Sekarang dia ingin membicarakan bahagian kedua pula iaitu berkenaan dengan tempat solat.

Sutuh adalah bumbung yang rata. Ianya terdedah di bahagian atas. Di Malaysia tidak biasa ada bumbung sebegini kerana kita banyak hujan turun. Tapi di negara tidak banyak hujan, bumbung mereka rata. Mereka akan tidur di bumbung itu dimusim panas kerana ianya terdedah dan ianya sejuk;
Kenapa Imam Bukhari guna perkataan ‘dalam’ sutuh dalam tajuknya? Sepatutnya dia gunakan ‘atas’. Ini kerana memang ada penggunaan macam tu dalam bahasa Arab termasuklah dalam Quran pun. Imam Bukhari akan menggunakan cara Quran sebanyak mungkin.

Imam Bukhari hendak menyampaikan dalam bab ini bahawa boleh solat di mana-mana asalkan tempat yang bersih dan suci. Suci itu bermakna suci dari segi syarak. Kadang-kadang ada tempat yang bersih tapi tidak suci. Boleh juga solat samada di tanah tinggi atau tidak. Rata atau tidak. Berlapik atau tidak.
Dalam hadis, pernah Nabi mengatakan bahawa bumi telah dijadikan kepada baginda sebagai masjid. Maksudnya tempat solat. Tapi bukan maknanya betul-betul kena solat atas tanah. Itu pendapat yang salah termasuk yang mengatakan demikian adalah puak sesat Syiah. Mereka pakai hadis itu dan kata kena sujud atas tanah juga. Tapi kenapa mereka pakai tanah Karbala pula, bukan tanah Makkah kah atau tanah Madinah? Itu semua adalah kerana kesesatan mereka.

Imam Bukhari letak tajuk sebegitu kerana ada khilaf seperti ulama Maalikiah yang pegang bahawa tak sah kalau imam lebih tinggi dari makmum. Dan ada yang kata solat di atas kayu adalah makruh. Jadi kerana ada pendapat-pendapat yang sebegini menyebabkan Imam Bukhari tidak menyatakan dengan terang pendapat beliau kerana beliau menghormati pendapat orang lain. Tetapi kepada yang tahu, mereka akan nampak bahawa sebenarnya Imam Bukhari menolak pendapat itu dengan lembut.

Kesimpulannya Imam Bukhari nak mengatakan bahawa boleh solat atas apa sahaja asalkan bersih dan suci.

قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ وَلَمْ يَرَ الْحَسَنُ بَأْسًا أَنْ يُصَلَّى عَلَى الْجُمْدِ وَالْقَنَاطِرِ وَإِنْ جَرَى تَحْتَهَا بَوْلٌ أَوْ فَوْقَهَا أَوْ أَمَامَهَا إِذَا كَانَ بَيْنَهُمَا سُتْرَةٌ وَصَلَّى أَبُو هُرَيْرَةَ عَلَى سَقْفِ الْمَسْجِدِ بِصَلَاةِ الْإِمَامِ وَصَلَّى ابْنُ عُمَرَ عَلَى الثَّلْجِ

Abu Abdillah (Imam Bukhari) berkata: Hasan berpendapat tidak mengapa bersembahyang di atas air beku (air batu) dan di atas jambatan walaupun di bawahnya, di atasnya atau di hadapannya mengalir air kencing jika ada sutrah diantara tempatnya dan tempat mengalir air kencing itu. Abu Hurairah bersembahyang di atas bumbung masjid dengan mengikut sembahyang imam (dibawahnya). Ibnu Umar pernah bersembahyang di atas salji.

Walaupun kita tidak ada peluang solat diatas ketul ais macam di kutub utara, tapi ulama telah memikirkan perkara ini. Tidak ada masalah solat diatas ketulan ais yang besar. Cuma jangan solat atas ais yang nipis sudah kerana takut nanti ia cair dan kita termasuk dalam air pula.
Dan boleh solat atas kayu juga. Bukan hanya rumah kayu sahaja. Katakanlah kita kena kejar harimau terpaksa panjat pokok dan duduk disitu dalam kadar lama. Solat tidak boleh ditinggalkan walaupun dalam keadaan macam itu. Maka tidak ada masalah nak solat kalau begitu. Untuk menyucikan diri, kita boleh tayammum seperti yang telah diajar sebelum ini. Bukan nak kena pakai tanah. Ini kita telah belajar dalam bab Tayammum dulu mengikut pendapat Imam Bukhari.

Imam Bukhari membawa hadis yang mengatakan Nabi sendiri telah solat diatas mimbar. Itu adalah tempat yang tinggi dan juga tentulah mimbar itu dijadikan dari kayu. Jadi dia hendak menolak pendapat yg mengatakan makruh solat di atas kayu kerana Nabi sendiri melakukannya. Walaupun Nabi tidak sujud diatas mimbar itu, tapi dia telah melakukan sebahagian dari perbuatan solat. Baginda tidak sujud itu pun kerana mimbar itu hanya dalam bentuk tangga sahaja dan tidak boleh sujud disitu dengan sempurna. Mungkin kalau boleh sujud disitu, baginda telah sujud juga.
Berapa banyak langkah Nabi ambil? Tentulah banyak. Tidak ada dalil yang sah mengatakan tidak boleh mengambil langkah yang banyak. Dan tidak disebut bahawa Nabi langkah satu satu. Imam Ahmad mengatakan bahawa kalau selagi manusia nampak kita masih lagi dalam solat, boleh lagi kita nak berjalan. Sebab tangan kita dalam qiyam dan dada kita sentiasa mengadap kiblat.

– Imam Bukhari membawa pendapat Hasan Basri dalam tajuk diatas, yang mengatakan tidak mengapa solat berdekatan dengan najis asalkan ada sutrah antaranya. Bukankah rumah kita sekarang banyak saluran najis? Saluran itu atas kita atau dibawah kita. Asalkan tidak menitik, solat kita sah. Kerana ada pembahagi antara najis itu dan kita. Tidak kena kepada kita pun. Yang tak boleh adalah kalau kita sentuh najis itu. Katakanlah najis berada bawah dada kita masa sujud, sah juga solat itu. Hanya makruh sahaja. Asalkan tidak kena kepada tubuh kita. Sama juga kalau bersentuh dengan budak pakai pampers. Pun sah juga. Asalkan kita tidak menanggung dia.

– Abu Hurairah pernah juga solat diatas bumbung masjid dengan imam berada di bawah. Dalam riwayat yang lain, dikatakan Abu Hurairah tidak berseorang tapi berdua di atas bumbung masjid itu. Ini menunjukkan bahawa boleh kalau jauh dari imam. Dan boleh kalau makmum berada di atas dan imam di bawah. Hadis ini juga menjadi dalil bahawa boleh kalau terpisah antara makmum dan imam asalkan boleh nampak makmum yang lain. Atau kita boleh dengar takbir intiqaalat. Sebab kalau tak macam mana kita nak tahu sudah gerak dari satu rukun ke satu rukun yang lain. Tak boleh nak harapkan kepada speaker atau tv sebab boleh jadi benda-benda itu tiba-tiba tidak berfungsi dan kita sudah tak tahu pergerakan dari satu rukun ke rukun yang lain.

– Kalau Ibn Umar solat atas salji, bermakna dia solat atas benda yang menutupi tanah. Jadi, tidaklah kena dahi itu menyentuh tanah. Itu adalah dalil mengatakan tidak mengapa jikalau dahi tidak menyentuh tanah.

364 – حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو حَازِمٍ قَالَ سَأَلُوا سَهْلَ بْنَ سَعْدٍ مِنْ أَيِّ شَيْءٍ الْمِنْبَرُ فَقَالَ مَا بَقِيَ بِالنَّاسِ أَعْلَمُ مِنِّي هُوَ مِنْ أَثْلِ الْغَابَةِ عَمِلَهُ فُلَانٌ مَوْلَى فُلَانَةَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَامَ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ عُمِلَ وَوُضِعَ فَاسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ كَبَّرَ وَقَامَ النَّاسُ خَلْفَهُ فَقَرَأَ وَرَكَعَ وَرَكَعَ النَّاسُ خَلْفَهُ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ ثُمَّ رَجَعَ الْقَهْقَرَى فَسَجَدَ عَلَى الْأَرْضِ ثُمَّ عَادَ إِلَى الْمِنْبَرِ ثُمَّ رَكَعَ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ ثُمَّ رَجَعَ الْقَهْقَرَى حَتَّى سَجَدَ بِالْأَرْضِ فَهَذَا شَأْنُهُ
قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ قَالَ عَلِيُّ بْنُ الْمَدِينِيِّ سَأَلَنِي أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ رَحِمَهُ اللَّهُ عَنْ هَذَا الْحَدِيثِ قَالَ فَإِنَّمَا أَرَدْتُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ أَعْلَى مِنْ النَّاسِ فَلَا بَأْسَ أَنْ يَكُونَ الْإِمَامُ أَعْلَى مِنْ النَّاسِ بِهَذَا الْحَدِيثِ قَالَ فَقُلْتُ إِنَّ سُفْيَانَ بْنَ عُيَيْنَةَ كَانَ يُسْأَلُ عَنْ هَذَا كَثِيرًا فَلَمْ تَسْمَعْهُ مِنْهُ قَالَ لَا

364. Telah menceritakan kepada kami ‘Ali bin ‘Abdullah berkata, telah menceritakan kepada kami Sufyan berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Hazim berkata, “Orang-ramai bertanya kepada Sahal bin Sa’d tentang terbuat dari apa mimbar Rasulullah? Maka dia berkata, “Tidak ada seorangpun yang masih hidup dari orang ramai yang lebih mengetahui tentang ini selain aku. Mimbar itu terbuat dari pokok asl yang terdapat di Ghaabah, si fulan maula fulaanah telah membuatnya untuk Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri di atas mimbar itulah setelah ia dibuat dan diletakkan. Pernah Rasulullah menghadap kiblat dan bertakbir di atas mimbar itu dan para sahabat terus berdiri dibelakangnya, beliau lalu membaca ayat Quran lalu rukuk, dan sahabat-sahabat pun ikut rukuk di belakangnya. Kemudian baginda mengangkat kepalanya, lalu mundur ke belakang (dengan menuruni anak tangga mimbar) dan sujud di atas bumi. Kemudian beliau kembali menaiki mimbar. Setelah membaca ayat Quran baginda rukuk, kemudian mengangkat kepalanya lalu berundur kebelakang dan sujud di bumi. Itulah perbuatannya.” Abu ‘Abdillah berkata, ‘Ali Al Madini berkata, Ahmad bin Hambal rahimahullah bertanya kepadaku tentang hadits ini. Ali katakan, “Yang aku maksudkan bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berada lebih tinggi daripada orang-orang. Maka berdasarkan hadis ini, tidak mengapa seorang imam berada lebih tinggi daripada makmum.” Kata Ali, “Selanjutnya aku katakan, “Sesungguhnya Sufyan bin ‘Uyainah sering ditanya tentang masalah ini, ‘Apakah kamu tidak pernah mendengar jawapan beliau? ‘ Ahmad bin Hambal rahimahullah menjawab, “Tidak ada.”

– Sahal bin Sa’d adalah sahabat terakhir yang wafat di Madinah. Bukanlah dia kata dalam ayatnya itu menunjukkan dia hendak menyombong. Dah memang dia sahaja yang tahu waktu itu. Jadi tidak salah kalau dia kata sebegitu.
Hamba kepada seorang perempuan yang bernama Aisyah yang buat. Bukan Aisyah isteri Nabi. Hamba itu dikatakan bernama Maimun. Kisahnya adalah Aisyah yang tanya Nabi sebab bila orang masuk Islam sudah semakin ramai, mereka tak nampak baginda solat. Jadi, mereka itu ada yang baru masuk Islam dan tidak berapa tahu cara solat lagi. Dan Aisyah cadangkan buat mimbar kerana diluar negara pakai mimbar. Dan Nabi telah setuju.

Nabi solat macam ini sekali sahaja buat seumur hidup baginda. Bukan untuk diikuti oleh kita. Tujuan baginda adalah untuk menunjukkan cara solat. Sebab waktu itu sudah semakin ramai yang masuk Islam. Walaubagaimanapun, ada juga ulama yang kata boleh buat begitu dengan maksud mengajar.

Mimbar itu ada dua anak tangga dan satu tempat duduk. Banyak pendapat untuk menjawap bilakah mimbar itu dibuat. Paling kuat adalah ianya dibuat dalam tahun ke-9 Hijrah. Waktu itu sudah ramai masuk Islam sampai penuh masjid. Jadi ada yang baru masuk Islam. Nabi solat tinggi supaya mereka dapat lihat cara baginda solat. Dan memang dalam riwayat lain, diberitahu bahawa Nabi cakap selepas kejadian itu bahawa baginda buat macam itu supaya mereka mengetahui cara solat.

Ini menunjukkan bahawa boleh kalau kita solat di tempat yang tinggi. Islam tidak mewajibkan umatnya solat betul-betul di atas tanah. Susah kalau kena solat atas tanah sahaja. Sekarang rumah banyak yang tinggi jadi tentulah susah kalau setiap kali nak solat kena turun ke tanah. Jadi kena faham hadis Nabi yang mengatakan bumi telah dijadikan sebagai tempat sujud.

Hadis ini mengatakan bahwa boleh kalau imam berada di kedudukan yang tinggi. Dan imam juga boleh berada dalam kedudukan yang rendah sepertimana kita telah lihat bagaimana Abu Hurairah telah solat dengan imam berada di bawah.

Boleh gerak lebih dari tiga langkah. Hadis ini digunakan sebagai dalil kepada mereka yang mengatakan bahawa tidak batal solat walaupun berjalan lebih dari tiga langkah. Seperti Imam Ahmad. Ini penting diketahui kerana banyak yang sampai tidak mengisi ruang saf di hadapannya sebab takut bergerak lebih. Itu sebenarnya memberi ruang kepada syaitan untuk masuk dalam saf.

Elok ada mimbar untuk khatib.

Nabi mengambil berat tentang cara solat umatnya. Sebab itu Nabi mengajar cara solat kepada mereka.

Perempuan dizaman Nabi berani dalam agama. Kita lihat dalam hadis ini, seorang perempuan yang mencadangkan kepada baginda untuk ada mimbar itu. Bermaksud, perempuan juga terlibat dalam penyebaran Islam.

Apakah maksud terjemahan bahagian kedua itu? Kenapa Imam Ahmad kata dia tidak pernah dengar jawapan Sufyan bin ‘Uyainah itu? Padahal Imam Ahmad adalah imam hadis juga. Dan Sufyan bin ‘Uyainah itu adalah gurunya juga. Sebenarnya dia tidak dengar selengkap yang Ali Madini dengar dari Sufyan bin ‘Uyainah. Dari guru lain dia dengar dah. Dia cuma dengar kisah mimbar itu dijadikan dari pokok asl daripada Sufyan bin ‘Uyainah. Tapi dia dah dapat keseluruhan hadis itu dari orang lain. Kita tahu perkara ini sebab ada dalam kitab musnad dia.

365 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحِيمِ قَالَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ قَالَ أَخْبَرَنَا حُمَيْدٌ الطَّوِيلُ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَقَطَ عَنْ فَرَسِهِ فَجُحِشَتْ سَاقُهُ أَوْ كَتِفُهُ وَآلَى مِنْ نِسَائِهِ شَهْرًا فَجَلَسَ فِي مَشْرُبَةٍ لَهُ دَرَجَتُهَا مِنْ جُذُوعٍ فَأَتَاهُ أَصْحَابُهُ يَعُودُونَهُ فَصَلَّى بِهِمْ جَالِسًا وَهُمْ قِيَامٌ فَلَمَّا سَلَّمَ قَالَ إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا وَإِنْ صَلَّى قَائِمًا فَصَلُّوا قِيَامًا وَنَزَلَ لِتِسْعٍ وَعِشْرِينَ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ آلَيْتَ شَهْرًا فَقَالَ إِنَّ الشَّهْرَ تِسْعٌ وَعِشْرُونَ

365. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin ‘Abdurrahim berkata, telah menceritakan kepada kami Yazid bin Harun berkata, telah mengabarkan kepada kami Humaid Ath Thawil dari Anas bin Malik, bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah terjatuh dari kudanya hingga mengakibatkan betisnya atau bahunya terluka. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersumpah (ila’) untuk menjauhi isteri-isterinya selama sebulan. Baginda lalu duduk di atas loteng rumahnya yang tangganya terbuat dari batang pokok kurma. Pada masa itu para sahabatnya datang mengunjungi Nabi, pernah baginda mengimami mereka sambil duduk sedangkan para sahabatnya salat dengan berdiri. Setelah memberi salam, beliau bersabda: “Sesungguhnya dijadikan imam itu supaya diikuti. Jika imam bertakbir maka takbirlah kalian, jika rukuk maka rukuklah kalian, jika sujud maka sujudlah kalian, dan jika ia salat dengan berdiri maka salatlah kalian dengan berdiri.” Kemudian Beliau shallallahu ‘alaihi wasallam turun dari lotengnya pada hari yang ke dua puluh sembilan. Mereka pun berkata, “Wahai Rasulullah, bukankah engkau telah bersumpah untuk sebulan? Beliau menjawab: “Sesungguhnya bulan ini dua puluh sembilan hari.”

Dari hadis ini, seperti mengatakan kita kena ikut imam betul-betul. Kalau imam duduk, makmum pun kena duduk juga. Ini nanti akan dibincangkan lagi.

Kejadian Nabi jatuh dari kudan dan peristiwa dikatakan Nabi Ila’ isterinya itu adalah dua peristiwa berbeza. Tasarruf perawi yang meletakkan dua kisah itu di dalam satu hadis yang sama sebab ada persamaan. Iaitu dalam dua-dua keadaan itu, Nabi duduk di atas loteng.

Peristiwa Nabi jatuh kuda itu pada tahun ke 5 Hijrah dan dikatakan kisah  Ila’ itu pada tahun ke 9. Dua-dua Nabi duduk atas loteng. Waktu jatuh Nabi solat fardhu dan sunat di loteng. Waktu ila’ Nabi solat fardhu di masjid dan hanya solat sunat di loteng itu. Duduk di loteng selepas jatuh supaya sahabat senang lawat baginda. Dan baginda duduk di loteng semasa ila’ supaya terpisah dari isterinya.

Ila’ itu adalah sumpah untuk tidak menyetubuhi isteri. Dari segi syarak, ila’ itu adalah untuk tidak menyetubuhi isteri selama 4 bulan keatas. Asalnya adalah amalan masyarakat Jahiliah. Mereka sebenarnya seperti menggantung isteri dengan tidak menceraikan dan tidak memberi nafkah batin. Dia nak cerai sebenarnya. Kalau dalam masa empat bulan itu, boleh dia rujuk balik tapi kena bayar kaffarah sebab melanggar sumpah.

Kenapakah pula Nabi ila’ isterinya? Ada yang kata itu adalah waham perawi. Kekeliruan perawi. Kerana tidak sesuai mengatakan Nabi ila’ isterinya. Kerana ia perbuatan tidak molek. Tambahan kalau ila’, sepatutnya empat bulan tapi dalam kisah ini, sebulan sahaja.
Maka siapakah yang menggabungkan dua kisah ini dalam hadis yang sama? Kita kena ingat bahawa kitab hadis bukanlah Quran. Boleh jadi ada kekeliruan. Kita kena kata perawi yang keliru, bukan kita kata Nabi buat tak elok. Kerana kita kena jaga status Nabi, bukan perawi. Ulama pertikai berkenaan kes ila’ ini. Tak sesuai Nabi buat. Kenapa pula Nabi nak marahkan isterinya? Dan kalau baginda marah pun, baginda tak buat perbuatan yang lagha –  sia-sia. Ini adalah kekeliruan orang lain yang meriwayatkan. Sebagai ulama hadis, mereka bukan hanya melihat sanad, tapi melihat juga matan hadis itu. Mereka akan lihat samada hadis itu sesuai dengan Nabi atau tidak. Sebab ada kemungkinan ada orang ubah hadis dan masukkan dalam sahih Bukhari. Kerana ada kisah ada dalam satu naskhah itu tapi tidak ada dalam naskhah lain. Ingatlah bahawa yang Allah janji untuk jaga hanyalah Quran. Kalau selain dari itu, termasuklah Kitab Sahih Bukhari pun, tidak terjamin.

– Dalam hadis ini Nabi solat atas loteng yang dibuat dari kayu. Tapi ada kata tak jelas lantai itu dari kayu. Yang disebut dalam hadis itu hanya tangga dari kayu. Kalau begitu, kita hanya boleh mengatakan ini dalil Nabi solat atas sutuh sahaja – terpisah dari bumi. Tapi kemungkinan besar lantai itu memang dari kayu pun.

– Imam untuk diikuti. Ini perbincangan yang besar. Dari sinilah mazhab Hanafi pakai kata ikut sahaja, tidak perlu baca fatihah kalau bermakmum. Dan kena tahu apa solat imam itu, sebab kena ikut imam, termasuklah apa solat dia. Contohnya, kalau kita solat tamam tak boleh ikut imam yang solat qasar. Tapi Imam Syafie pegang hadis ini sebagai kita hanya kena ikut perbuatan imam itu sahaja. Tidak perlu untuk kita tahu dia sedang solat apa. Para sahabat dalam hadis ini mereka mengikut Nabi dalam solat sunat. Kadang-kadang mereka tidak tahu apakah solat Nabi itu, tapi mereka terus ikut sahaja.

Ada pendapat kata dah mansukh dah hukum kena duduk kalau imam duduk. Imam Bukhari pun pakai pendapat begini. Hukum dalam Islam ada peringkat. Pada mulanya memang Nabi suruh duduk kalau imam duduk. Sebab tak mahu ikut masyarakat yang silap hormat sampai berdiri sahaja. Contohnya, Nabi tidak suka kalau orang berdiri kalau dia datang. Begitu juga dalam solat. Dia tak mahu orang hormat terlebih.

Berapa ramai solat sekali dengan Nabi? Ramai sampai melimpah ke bawah. Bermakna Nabi berada di atas. Ini juga satu lagi dalil imam boleh ada diatas dan makmum di bawah.
Masjid tetap dijalankan solat fardhu. Bukan ibadat itu bersangkutan dengan Nabi. Tidaklah apabila Nabi tidak ada, solat tidak berjalan.  Mereka solat dengan Nabi itu solat sunat lain. Mereka nampak Nabi solat, mereka ikut sahaja. Tak tanya solat apa pun. Nabi tak tegur pun mereka selepas itu kenapa ikut dia. Inilah dipakai Syafie tidak perlu tahu imam solat apa.

Pengajaran yang boleh diambil:

  1. Nabi juga menderita kesakitan macam manusia biasa. Binatang pun layan Nabi sama macam manusia lain. Tapi seorang Nabi takkan sakit sampai menjauhkan manusia. Jadi tidak benar kalau kita kata Nabi Ayyub menderita penyakit kulit terus sangat sampai manusia tinggalkan dia. Sebenarnya memang dia ada sakit kulit tapi tak teruk sangat. Kerana kalau teruk sangat sampai manusia jijik dengan dia, bagaimana dia hendak berdakwah kepada manusia. 
  2. Dalam uzur tidak perlu ke masjid. Walaupun dekat masjid. Sah solat seorang yang tidak berjemaah dengan orang lain. Kalau tak sakit pun sah solat kalau tak solat berjemaah di masjid. Cuma kurang pahala dan tidak mendapat kelebihan. 
  3. Bulan qamari tidak sentiasa penuh 30.
  4. Islam menggalakkan ibadat walau dalam sakit.
  5. Harus solat duduk kalau tak mampu berdiri.

Kuliah Maulana Asri

 

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 6 Bab Bersembahyang Dengan Memakai Jubah Syam Syria April 15, 2013

بَاب الصَّلَاةِ فِي الْجُبَّةِ الشَّامِيَّةِ

Bab 7 Bersembahyang Dengan Memakai Jubah Syam Syria

Kita kena menutup aurat dalam solat. Tapi bagaimana kalau kain yang dipakai dalam solat itu adalah kain buatan orang kafir? Imam Bukhari nak mengatakan boleh kerana tiidak ada kisah Nabi usul periksa sebelum pakai.

وَقَالَ الْحَسَنُ فِي الثِّيَابِ يَنْسُجُهَا الْمَجُوسِيُّ لَمْ يَرَ بِهَا بَأْسًا وَقَالَ مَعْمَرٌ رَأَيْتُ الزُّهْرِيَّ يَلْبَسُ مِنْ ثِيَابِ الْيَمَنِ مَا صُبِغَ بِالْبَوْلِ وَصَلَّى عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ فِي ثَوْبٍ غَيْرِ مَقْصُورٍ

Hasan berpendapat tidak mengapa memakai kain yang di tenun oleh orang orang Majusi. Ma’mar menceritakan: saya pernah melihat Az Zuhri ada memakai kain dari Yaman yang dicelup dengan air kencing. Ali bin Abi Talib bersembahyang dengan memakai kain yang belum dibasuh.

Hasan al Basri berpendapat bahawa tidak mengapa pakai pakaian yang orang kafir buat. Sebab Majusi itu adalah orang kafir. Kita tidak perlu periksa macam mana dia buat kain itu.
Zuhri adalah guru kepada Ma’mar. Ma’mar menceritakan dia nampak Zuhri pakai kain yang dicelup dengan kencing untuk solat. Bukan bawa untuk jalan-jalan biasa ni. Air kencing itu dijadikan sebagai bahan pencelup pada zaman itu. Adakah dibasuh? Tidak dapat dipastikan dengan jelas. Ada kata kain itu walaupun dirawat dengan air kencing, tapi sudah dibasuh dulu baru dipakai oleh Zuhri. Ada kata air kencing itu adalah dari binatang yang halal dimakan dan memang ada pendapat kata kalau binatang itu boleh dimakan, tidaklah dikira najis air kencing itu.

Disini, kita boleh lihat bahawa Imam Bukhari membawakan perbuatan-perbuatan ahli ilmu. Menunjukkan bahawa mereka tidak berapa kisah tentang pemakaian baju yang digunakan, walaupun dibuat oleh orang kafir. Asalkan mereka menutup aurat.

Kemudian Imam Bukhari membawakan kisah perbuatan sahabat pula, iaitu Saidina Ali. Saidina Ali pakai kain yang belum dibasuh. Iaitu kain yang dibuat oleh orang kafir. Dia tak tanya daripada bahan apakah kain itu dibuat. Ali tak usul periksa, dia terus pakai sahaja. Menunjukkan yang Islam itu berfikiran terbuka terbuka. Tidak jumud. Boleh dipakai selagi tidak pasti kenajisan. Kalau memang jelas nampak najis, memanglah tak boleh pakai. Hadis ini juga menunjukkan boleh pakai fesyen yang biasa dipakai orang kafir. Yang tak boleh pakai itu adalah kalau pakaian itu adalah apa yang dipakai dalam perkara yang berkaitan agama mereka. Contohnya, tidak boleh pakai baju paderi dan baju sami. Sebab jubah Syam yang Nabi pakai itu memang semua tahu lain dari pakaian yang biasa dipakai oleh orang Arab. Asalkan menutup aurat.

350 – حَدَّثَنَا يَحْيَى قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ مُسْلِمٍ عَنْ مَسْرُوقٍ عَنْ مُغِيرَةَ بْنِ شُعْبَةَ قَالَ كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَقَالَ يَا مُغِيرَةُ خُذْ الْإِدَاوَةَ فَأَخَذْتُهَا فَانْطَلَقَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى تَوَارَى عَنِّي فَقَضَى حَاجَتَهُ وَعَلَيْهِ جُبَّةٌ شَأْمِيَّةٌ فَذَهَبَ لِيُخْرِجَ يَدَهُ مِنْ كُمِّهَا فَضَاقَتْ فَأَخْرَجَ يَدَهُ مِنْ أَسْفَلِهَا فَصَبَبْتُ عَلَيْهِ فَتَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلَاةِ وَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ ثُمَّ صَلَّى

350. Telah menceritakan kepada kami Yahya berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah dari Al A’masy dari Muslim dari Masruq dari Mughirah bin Syu’bah berkata, “Aku pernah bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dalam suatu perjalanan, beliau bersabda: “Wahai Mughirah, ambilkan bekas air itu.” Aku lalu mengambilnya, dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pergi untuk membuang air hingga tidak terlihat olehku. Saat itu beliau mengenakan jubah Syam, pada mulanya beliau mahu menyingsing sahaja lengan bajunya namun lengan bajunya terlalu sempit. Lalu beliau mengeluarkan tangannya dari sebelah dalam, lantas aku menuangkan air untuknya kemudian beliau berwudu sebagaimana wudu untuk shalat cuma beliau menyapu kedua khufnya lalu shalat.”

Ada yang tak suka kepada Mughirah dan sebab itu ada yang tak terima hadis yang diriwayatkan oleh Mughirah. Antara yang tak suka itu adalah golongan Syiah sebab dia menyebelahi Muawiyah. Mereka memburukkan peribadi sampai ada yang kata dia berbini sampai 2,000! Memang tak masuk diakal. Padahal dia adalah seorang yang baik yang sentiasa berkhidmat kepada Nabi. Kejadian dalam hadis ini terjadi semasa pergi atau balik dari perang Tabuk iaitu pada tahun 9H. Maknanya hujung hayat baginda. Tak mansukh.

Antara yang kita belajar dari hadis ini adalah, apabila buang air, kena pergi jauh. Itu adalah kerana zaman dahulu tidak ada tandas. Zaman sekarang, kita tidak perlu amalkan sunnah untuk pergi jauh kerana di rumah kita dah ada tandas dah. Pergi jauh itu adalah supaya orang lain tak nampak. Jadi, kalau dah masuk dalam tandas, dah cakap maksud supaya orang lain tak nampak. Jadi kena sesuaikan dengan zaman.

Syam ketika itu adalah satu negara kafir. Jadi, kalau mereka kafir, kita tak tahulah mereka guna bahan apa untuk jadikan baju itu. Tapi Nabi pakai baju tak usul periksa. Dan baginda pakai baju itu untuk solat.

Bagaimana pula kalau baju itu sudah dipakai oleh orang kafir? Ianya adalah makruh pada pendapat Imam Syafie. Ini adalah kerana kita tidak pasti samada mereka memakai baju itu sudah terkena najis atau tidak kerana agama mereka tidak menmntingkan kebersihan.

Hadis ini menunjukkan lelaki boleh pakai baju yang ketat di lengan.

Saranan untuk berkhidmat kepada guru. Itulah yang dibuat oleh para sahabat dulu. Maka seeloknya kita kena ikut juga. Zaman sekarang, banyak buat tak kisah sahaja sebab dah bayar kepada guru itu untuk mengajar. Padahal, kita sebenarnya kena hormat dan khidmat kepada guru. Akan ada kelebihan kalau kita buat begitu.

Harus untuk menyapu khuf dalam perjalanan. Khuf adalah kasut kulit yang selalunya dipakai dalam musim sejuk. Bab ini telah diceritakan dalam bahagian wudu. Boleh kalau tidak basuh kaki dalam wudu jika pakai khuf masa itu. Asalkan cukup syarat penggunaan khuf itu. Ini diceritakan dengan panjang lebar dalam Kitab Wudu. Orang Syiah tak pakai hadis ini. Kepada mereka tidak boleh sapu khuf dalam mana-mana keadaan pun. Padahal, Islam telah memberikan kelapangan kepada umatnya jikalau pakai khuf. Tak perlu buka sebab kalau buka itu mungkin menyusahkan dan menyebabkan kita sakit kalau sejuk sangat air yang kena pada kaki. Boleh naik sampai kepada sejuk itu. Mereka menolak kelebihan yang diberikan ini, sampaikan dalam hal ini, mereka tidak benarkan taqiyyah – menipu supaya orang lain sangka mereka baik. Padahal semua benda lain mereka boleh taqiyyah. Padahal hadis berkenaan khuf ini sudah sampai pada tahap mutawatir sebab banyak hadis hadis yang meriwayatkan.

 

Kuliah Maulana Asri

 

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 3 Bab Wajib Bersembahyang Dengan Memakai Pakaian Yang Menutupi Aurat April 13, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 2:10 pm
Tags: , , , , , , , , , ,

بَاب وُجُوبِ الصَّلَاةِ فِي الثِّيَابِ

Bab Wajib Bersembahyang Dengan Memakai Pakaian (Yang Menutupi Aurat)

Banyak isu dalam tajuk tapi Imam Bukhari hanya bawa satu hadis sahaja. Ada 6 perkara yang hendak dibincangkan dalam tajuk ini sebenarnya. Tapi daripada hadis yang dibawa, ianya adalah dalil kepada 2 permasalahan sahaja. Pensyarah Bukhari yang besar-besar pun musykil.

Imam Bukhari nak kata dalam keseluruhan hujjahnya, ianya adalah wajib untuk menutup aurat. Bukan hanya sunat. Sebab ada juga yang kata tidak wajib. Ada yang kata menutup aurat itu adalah fardhu. Ada kata ianya adalah syarat sah. Bukhari terima sebagai fardhu dan juga sebagai syarat sah.

Allah telah berfirman di dalam al A’raf:31 – “Wahai manusia, pakailah perhiasan mu ketika hendak solat di masjid”. ‘Perhiasan’ itu adalah perkara yang lebih dari perlu. Ayat ini turun sebab waktu itu, para musyrikin mekah tawaf dalam keadaan bogel. Maka, Allah tidak membenarkan lagi mereka berbuat begitu. Bermakna, kenalah menutup aurat semasa melakukan ibadat tawaf. Ibadat tawaf ada persamaan dengan ibadat solat. Tapi ayat ini mengatakan semasa di masjid. Ia sebenarnya bermaksud: solat. Maka dalam solat, wajib menutup aurat . Ianya adalah syarat sebelum solat. Bermakna, seperti juga wudu adalah syarat sah solat, dan perlu dilakukan, maka menutup aurat juga perlu dilakukan sebelum memulakan solat. Sebenarnya, menutup aurat itu bukan hanya untuk solat sahaja. Diluar solat pun kita disuruh menutup aurat juga.

Ayat itu mengatakan wajib tutup aurat. Aurat seperti yang kita, kalau lelaki, hanya antara pusat dan lutut sahaja. Kalau lebih dari itu, barulah dikira sunat. Tapi takkan kita nak solat dengan menutup itu sahaja, sedangkan kita ada baju kain yang boleh menutupi tubuh kita yang lain.

Tapi kalau tiada pakaian untuk menutupi aurat, bagaimana pula? Pendapat yang kuat, kena juga sembahyang sebab tingginya kewajipan sembahyang itu. Kalau pasal tiada penyuci untuk mengangkat hadas, ada yang berpendapat tidak perlu solat. Tapi lain dengan kalau tiada pakaian untuk menutupi badan. Yang kata tidak perlu solat pun ada juga tapi itu adalah pendapat yang ganjil. Bermakna, katakanlah kita tidak dapat menutup aurat kita, seperti kita kena lokap dalam keadaan telanjang, atau pakaian tidak cukup untuk menutup keseluruhan aurat, kita kena juga solat. Tapi nak solat diri atau duduk? Ada kata berdiri sebab boleh buat rukun yang lain dengan lengkap seperti rukuk dan sujud, cuma satu rukun sahaja tidak dapat dipenuhi, iaitu tak dapat tutup aurat sahaja. Dan ada yang kata kena solat dalam keadaan duduk supaya boleh tutup setakat mana yang boleh. Kalau ada secebis kain, tutuplah aurat yang besar. Dan solat itu, elok buat tempat gelap supaya orang lain tak nampak. Dan Imam Nawawi sampai kata, kalau ada ramai orang yang telanjang, pun kena juga buat solat jemaah, sebab kepentingan solat jemaah itu.

Ada simbolik dalam penjagaan aurat ini. Seperti yang kita tahu, apabila Nabi Adam dan Siti Hawa telah melanggar perintah Allah supaya tidak memakan pokok larangan, mereka telah dicabutkan pakaian yang menutupi aurat mereka. Padahal, sebelum ini mereka tidak perlu memikirkan tentang hendak menjaga aurat mereka. Maka Nabi Adam dan Hawa terpaksalah mencari daun-daun kayu untuk menutup aurat mereka. Mereka terpaksa berusaha untuk menutup aurat. Simbolik dari ni adalah: Allah akan menjamin kebaikan untuk kita selagi kita mengikut perintahNya.

وَقَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى{ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ } وَمَنْ صَلَّى مُلْتَحِفًا فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ وَيُذْكَرُ عَنْ سَلَمَةَ بْنِ الْأَكْوَعِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَزُرُّهُ وَلَوْ بِشَوْكَةٍ فِي إِسْنَادِهِ نَظَرٌ وَمَنْ صَلَّى فِي الثَّوْبِ الَّذِي يُجَامِعُ فِيهِ مَا لَمْ يَرَ أَذًى وَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ لَا يَطُوفَ بِالْبَيْتِ عُرْيَانٌ

Allah berfirman: ambil lah (pakailah) perhiasan (pakaian yang menutupi aurat) kamu ketika setiap kali mengerjakan sembahyang di mana-mana masjid atau ketika bertawaf. Orang yang bersembahyang dengan berselimut menggunakan satu kain sahaja (sah sembahyangnya). Disebutkan dari Salamah bin al akwa’ bahawa Nabi Saw bersabda: hendaklah dia (seseorang yang memakai sehelai baju labuh sahaja) mengancingnya walaupun hanya dengan duri. – sanadnya bermasalah, kata Bukhari. Dipertikaikan oleh ulama. Orang yang bersembahyang dengan memakai kain yang telah dipakainya semasa bersetubuh (juga sah sembahyangnya) selagi dia tidak nampak kesan najis pada kainnya itu. Nabi memerintahkan bahawa tidak boleh lagi orang bertelanjang bertawaf di Baitillah.

Inilah dia perkara-perkara yang dikatakan diletakkan dalam tajuk pada kali ini, tapi kali ini Imam Bukhari hanya membawakan satu hadis sahaja. Dan dalam hadis itu, hanya menceritakan dua masalah sahaja. Selalunya, Imam Bukhari, apabila membawakan sesuatu tajuk, dia akan memberikan hadis sebagai dalil kepada tajuknya. Tapi tidak kali ini. Inilah yang menyebabkan para pensyarah Sahih Bukhari kebingungan.

Satu jalan penyelesaian: Selalunya, memang Imam Bukhari akan membawakan hadis sebagai dalil. Tapi kalau kita menerima bahagian kedua tajuk sebagai sebagai dalil, untuk tajuk yang utama, ini akan menyelesaikan kekeliruan yang sedang dihadapi.

Kenapa Imam Bukhari bawa tajuk ini? Kerana kadang-kadang orang susah hanya ada satu kain sahaja. Walaupun mereka ada satu kain sahaja, mereka kena juga tutup aurat sebaik mungkin. Nabi sendiri pernah buat begitu. Dan kalau kita senang pun dan memiliki lebih dari satu kain, pun boleh juga kalau kita hendak menggunakan satu kain sahaja. Asalkan, kita menutup aurat kita. Maknanya yang wajibnya adalah menutup aurat sahaja.

Dalam bahagian kedua tajuk diatas, Imam Bukhari membawakan riwayat dari Salamah bin al akwa’. Iaitu, kena kancing kain yang dipakai sebagai bukti bahawa kena tutup juga aurat. Kalau hanya kita sendiri nampak pun tak boleh. Contohnya, kalau kolar baju kita besar, kalau kita rukuk, maka akan terbukalah bahagian atas itu dan akan nampak sampai ke bawah. Itu pun tidak boleh. Maka, kena kancing bahagian atas supaya tidak nampak. Kalau orang lihat dari bawah, itu tidak kira. Ini kalau kita solat atas rumah berlantai buluh la katakan. Kalau ada orang dibawah rumah melihat keatas semasa kita solat, mungkin mereka akan nampak. Tapi itu tidak dikira. Salamah itu seorang yang kerjanya pemburu. Dia tanya Nabi tentang bolehkan dia memakai satu kain sahaja untuk solat. Takut kalau rukuk, dia sendiri boleh nampak. Itu kalau bahagian dalam kita tidak pakai apa-apa, atau seluar dalam kita tidak menutupi aurat. Maka Nabi kata kena kancing, walaupun dengan pakai duri. Imam Syafie pun berpendapat tak sah kalau nampak aurat dari atas. Dia berdasarkan riwaya Salamah itulah. Tapi, Imam Bukhari kata sah. Sebab hadis tentang kancing riwayat Salamah itu tidak sahih. Bermakan, dia pegang molek sahaja kalau kancing kain itu supaya tidak nampak. Suruhan Nabi tidak semestinya wajib.
Hadis ini walaupun tak sahih, Imam Bukhari bawa juga. Sebab itu dia letak kat tajuk sahaja. Tidak dianggap sahih oleh Imam Bukhari kerana sda perawi yang tak diterima. Salamah ni mempunyai satu kelebihan iaitu dia lari laju. Walaupun namanya macam perempuan, tapi sebenarnya dia adalah seorang lelaki.

Seterusnya, boleh kalau pakai kain yang telah digunakan untuk bersetubuh. Yang penting pakaian itu bersih. Kita pakai sebelum itu untuk apa tidak penting. Jangan was-was dalam perkara ini. Banyak orang ada sahaja was-was mereka. Macam ada yang mahu solat dengan pakai yang mereka pakai semasa kencing. Sampaikan mereka tidak solat. Itu adalah berat, kerana mereka meninggalkan solat yang wajib. Yang penting adalah kita boleh pakai pakaian apa sahaja, selagi kita tak nampak najis. Yang penting tutup aurat. Kalau ada kain itu sahaja pun kena pakai juga. Lagi satu, kepada Imam Bukhari, kalau ada kesan air mani, kena dibasuh kerana padanya, air mani adalah najis. Tapi kepada Imam Syafie, air mani tidak najis, jadi tidak perlu dibasuh.

Imam Bukhari juga membawa riwayat yang mengatakan Nabi tidak membenarkan tawaf dalam keadaan telanjang. Sebenarnya tawaf itu banyak kesamaan macam solat. Ada sama dan tidak. Perkara yang perlu dijaga dalam tawaf lebih ringan. Kerana dalam tawaf, boleh bercakap, bergerak dan sebagainya. Sebab itulah dia ringan sedikit dari solat. Tapi, untuk tawaf, kena dalam keadaan suci, seperti juga untuk solat. Itulah ada persamaan antara dua ibadat penting ini. Walaupun apa yang hendak dijaga dalam tawaf itu lebih ringan, itupun tidak dibenarkan telanjang. Sebab itulah kalau dalam solat, tentulah lagi keras kena jaga aurat. Imam Bukhari menggunakan konsep Qiyas awlawi. Iaitu, kalau yang lebih ringan pun kena jaga juga, apatah lagi kalau perkara yang lebih berat. Kalau dalam tawaf pun kena jaga aurat, tambahan pula kalau dalam solat.

338 – حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ قَالَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ عَنْ مُحَمَّدٍ عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ قَالَتْ أُمِرْنَا أَنْ نُخْرِجَ الْحُيَّضَ يَوْمَ الْعِيدَيْنِ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلُ الْحُيَّضُ عَنْ مُصَلَّاهُنَّ قَالَتْ امْرَأَةٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِحْدَانَا لَيْسَ لَهَا جِلْبَابٌ قَالَ لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا
وَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ رَجَاءٍ حَدَّثَنَا عِمْرَانُ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سِيرِينَ حَدَّثَتْنَا أُمُّ عَطِيَّةَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِهَذَا

338. Telah menceritakan kepada kami Musa bin Isma’il berkata, telah menceritakan kepada kami Yazid bin Ibrahim dari Muhammad dari Ummu ‘Athiyah berkata, “Kami diperintahkan untuk mengajak keluar (wanita) haid dan wanita yang berada di balik tabir (anak anak dara) keluar pada dua hari raya, supaya mereka dapat ikut serta dalam perhimpunan kaum Muslimin dan dapat berdoa bersama mereka, walau bagaimanapun wanita-wanita berhaid hendaklah berada diluar dari kawasan shalat mereka.” Ada seorang wanita bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana jika dikalangan kami yang tidak memiliki jilbab?” Beliau menjawab: “Hendaklah temannya meminjamkan jilbab miliknya kepadanya.” ‘Abdullah bin Raja’ berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Imran telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Sirin telah menceritakan kepada kami Ummu ‘Athiyah aku mendengar Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda seperti ini.”

Jilbab itu adalah tudung kepala. Dalam keadaan keluar untuk meraikan hari raya pun kena tudung, apatah lagi kalau solat. Itu nak berhimpun sahaja. Itupun kalau tidak ada, Nabi kata kena pinjam. Maka, ini menguatkan lagi pendapat Imam Bukhari bahawa wajib untuk menutup aurat dalam solat.

 

Sahih Bukhari Kitab Mandi Janabah Sesi 6 – Bab Bolehkah Orang Yang Berjunub Memasukkan Tangannya Ke Dalam Bekas Sebelum Membasuhnya March 20, 2013

بَاب هَلْ يُدْخِلُ الْجُنُبُ يَدَهُ فِي الْإِنَاءِ قَبْلَ أَنْ يَغْسِلَهَا إِذَا لَمْ يَكُنْ عَلَى يَدِهِ قَذَرٌ غَيْرُ الْجَنَابَةِ

Bab Bolehkah Orang Yang Berjunub Memasukkan Tangannya Ke Dalam Bekas Air Sebelum Membasuhnya Jika Tidak Ada Kekotoran Di Tangannya Selain Janabah

وَأَدْخَلَ ابْنُ عُمَرَ وَالْبَرَاءُ بْنُ عَازِبٍ يَدَهُ فِي الطَّهُورِ وَلَمْ يَغْسِلْهَا ثُمَّ تَوَضَّأَ وَلَمْ يَرَ ابْنُ عُمَرَ وَابْنُ عَبَّاسٍ بَأْسًا بِمَا يَنْتَضِحُ مِنْ غُسْلِ الْجَنَابَةِ

Ibn Umar dan Bara’ bin Aazib memasukkan tangan kedalam air yang akan digunakan untuk bersuci dengan tidak membasuhnya terlebih dahulu kemudian berwudu dengannya.

Ibn Umar dan Ibn Abbas berpendapat tidak mengapa dengan percikan air yang digunakan untuk mandi junub.

– Seperti yang kita pelajari selama ini, terdapat kebijaksaan dalam pemilihan bab oleh Imam Bukhari. Disinilah Imam Bukhari memaparkan feqahnya. Apabila Imam Bukhari meletakkan dalam tajuk itu, soalan seperti ‘Bolehkah…”, itu adalah isyarat kepada adanya khilaf ulama tentang perkara ini. Iaitu samada boleh memasukkan tangan ke dalam bekas air sebelum membasuhnya. Ada pendapat yang mengatakan tidak boleh seperti pendapat Zahiriah. Mereka mengatakan selagi tidak dibasuh, tidak boleh memasukkan tangan kedalam bekas air. Kerana selagi tidak habis mandi janabah, seseorang itu masih lagi dalam keadaan najis. Dalam berhadas besar. Tapi pendapat jumhur ulama mengatakan boleh memasukkan jikalau tiada najis di tangan itu. Kalau ada najis, seperti ada kesan air mani atau air mazi, semua bersetuju bahawa tidak boleh memasukkan tangan ke dalam air. Ini akan menyebabkan air itu kotor. Bukhari memegang pendapat jumhur ulama. Tapi dia tidak terus mengatakan demikian. Dia gunakan ayat yang terbuka. Ini menunjukkan dia hormat pandangan mazhab-mazhab. Terdapat banyak mazhab selain dari empat mazhab yang biasa itu. Ada juga yang dikenali sebagai golongan zahiriah. Ini menunjukkan sikap terbuka Imam Bukhari. Pada zaman Imam Bukhari, semua mazhab itu dah ada dah. Dia pun tahu apakah pandangan mazhab-mazhab itu. Tapi dia adalah seorang mujtahid. Tidak semestinya dia mengikuti mana-mana mazhab. Tapi dia menghormati mereka. Kerana mereka orang yang berilmu yang telah melakukan kajian berdasarkan ilmu mereka yang tinggi. Kerana kita sebenarnya tidak tahu mana yang benar. Hanya Allah yang tahu. Mungkin kita benar, mungkin tidak. Dalam ilmu Aqidah, hanya ada satu kebenaran, tapi dalam ilmu feqah, ianya adalah sedikit terbuka.

Dalam tajuk diatas, menunjukkan bahawa Ibn Umar dan Bara’ bin Aazib (kedua-duanya adalah sahabat) memasukkan tangan mereka tanpa membasuhnya terlebih dahulu. Ini menunjukkan bahawa tangan itu tidak mengotorkan jikalau tiada najis yang jelas. Imam Bukhari, dalam menguatkan pendapatnya, dia kadang-kala mengambil perbuatan sahabat sebagai contoh. Ini menunjukkan bahawa Imam Bukhari mementingkan sahabat. Dan kalau sahabat dah buat itu, mestilah mereka ikut Nabi. Sahabat mestilah dijadikan sebagai panduan kita juga selain dari Nabi. Macam Ibn Umar itu adalah sahabat besar, sampai dipanggil sheikhul sahaabah. Mereka telah diiktiraf dalam Quran pun. Jadi kalau sahabat buat sebegitu, janganlah kita ragu-ragu lagi. Walaupun tidak dimasukkan sanad dalam athar yang menceritakan perbuatan sahabat itu, tapi sebenarnya, dalam kitab yang lain, memang dimasukkan sanad kepada perbuatan mereka itu. Kalau perbuatan sahabat, kena juga macam hadis, kena ada sanad, barulah boleh dipercayai bahawa itu benar perbuatan mereka.

Ada beza antara najis aini dan najis hukmi. Najis aini itu adalah najis yang boleh dilihat dengan pancainder. Samada dengan mata, rasa atau bau. Tapi selain dari najis jenis itu, ada najis yang tidak boleh dilihat. Ianya adalah najis dari segi hukum. Kerana Allah beritahu kepada kita bahawa ianya adalah najis. Dan kita diberitahu bahawa najis itu memang ada sampaikan malaikat pun tak dekat kalau kita berada dalam keadaan najis hukmi itu. Dalam Islam, memandang juga kesucian dari segi itu.

– Dalam tajuk yang seterusnya, Imam Bukhari membawa pendapat Ibn Umar dan Ibn Abbas yang mengatakan tidak mengapa jikalau terkena percikan air bekas mandian junub itu. Katakanlah air dari badan kita jatuh ke lantai dan kena balik ke badan kita. Ianya tidak dikira najis. Kalau kena badan atau baju, tidak mengapa. Kalau air itu masuk balik dalam bekas air yang hendak digunakan untuk berhadas pun tidak mengapa. Tidak jadi air mustaqmal seperti yang dipegang oleh antaranya mazhab Syafie. Air itu tidak tercemar dan boleh digunakan lagi untuk teruskan mandi janabah. Tidak perlu buang air itu dan ganti air lain. Ini kita tahu kerana Nabi pun buat begitu. Tentulah dalam Nabi mandi itu, menitik air dari tangan baginda masuk ke dalam bekas balik kerana tentulah ada bekas air di tangan baginda. Tidak ada dalil yang mengatakan Nabi menjauhkan diri dari bekas air kerana takut menitik. Tidak ada dalil yang mengatakan Nabi cermat sangat kerana takut menitik balik air itu. Dan Nabi dan isteri baginda pun bukan pakai bekas pun untuk menceduk air tapi pakai tangan baginda sendiri. Takkan nak lawan perbuatan Nabi pula. Maka janganlah ragu-ragu. Ini adalah pendapat yang senang dipakai.

 

253 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ أَخْبَرَنَا أَفْلَحُ بْنُ حُمَيْدٍ عَنْ الْقَاسِمِ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ تَخْتَلِفُ أَيْدِينَا فِيهِ

253. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Maslamah telah mengabarkan kepada kami Aflah bin Humaid dari Al Qasim dari ‘Aisyah berkata, “Aku mandi bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dari satu bekas yang sama, dan tangan kami saling berselisih untuk mengambil air dari bekas itu.”

Dalam hadis ini hanya dikatakan Aisyah dan Nabi ‘mandi’ sahaja. Tidak disebut mandi junub. Tapi itulah yang ajaibnya kitab Imam Bukhari ini. Dia menjelaskan bahawa ianya adalah mandi junub dengan dibawakan hadis yang selepas ini. Begitulah juga ayat Quran. Ayat Quran yang lain menjelaskan tentang ayat yang lain. Maknanya, nak faham hadis, kena faham secara menyeluruh. Maka, hadis yang pertama bersifat mutlak – umum. Dan hadis yang kedua bersifat muqayyad – menjelaskan. Dari sini, kita dapat tahu bahawa Imam Bukhari tahu tentang tradisi ilmu Feqah. Barulah boleh dikatakan seorang mujtahid kalau begitu. Ilmunya amat tinggi.

Dari bahasa yang digunakan dalam hadis ini, menunjukkan bahawa Nabi dan Aisyah mengambil air dari dalam bekas menggunakan tangan mereka sahaja. Tidak menggunakan gayong atau mengangkat bekas air itu untuk dicurah keatas mereka. Maka, ini menunjukkan bahawa mereka memasukkan tangan ke dalam bekas air itu. Jadi kerana mereka belum habis mandi lagi, maknanya mereka masih berhadas besar lagi. Maka boleh memasukkan tangan ke dalam air. Itulah hukum yang diambil oleh Imam Bukhari.

Orang kita ramai yang hanya memegang pendapat imam-imam mazhab sahaja. Padahal itu adalah taklid sahaja. Kerana tidak tahu apakah sandaran mereka. Mungkin dari hadis juga. Tapi ada yang hanya pendapat mereka. Tapi kalau kita berpegang dengan pendapat ulama dan kita tahu apakah sandaran mereka hingga sampai kepada sesuatu hukum itu, maka ianya dipanggil ‘ittiba‘. Semua menerima bahawa ittiba‘ lebih baik dari taklid. Kita tahu dari hadis manakah yang digunakan sebagai sandaran ulama-ulama itu.

 

254 – حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا حَمَّادٌ عَنْ هِشَامٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنْ الْجَنَابَةِ غَسَلَ يَدَهُ

254. Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, telah menceritakan kepada kami Hammad dari Hisyam dari Bapaknya dari ‘Aisyah berkata, “Jika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mandi janabat beliau membasuh tangannya terlebih dahulu.”

 

255 – حَدَّثَنَا أَبُو الْوَلِيدِ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ أَبِي بَكْرِ بْنِ حَفْصٍ عَنْ عُرْوَةَ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ مِنْ جَنَابَةٍ
وَعَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ الْقَاسِمِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ مِثْلَهُ

255. Telah menceritakan kepada kami Abu Al Walid berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah dari Abu Bakar bin Hafsh dari ‘Urwah dari ‘Aisyah berkata, “Aku pernah mandi junub bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dari bekas yang sama.” Dan dari ‘Abdurrahman bin Al Qasim dari Bapaknya dari ‘Aisyah seperti itu.”

 

256 – حَدَّثَنَا أَبُو الْوَلِيدِ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ جَبْرٍ قَالَ سَمِعْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْمَرْأَةُ مِنْ نِسَائِهِ يَغْتَسِلَانِ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ
زَادَ مُسْلِمٌ وَوَهْبُ بْنُ جَرِيرٍ عَنْ شُعْبَةَ مِنْ الْجَنَابَةِ

256. Telah menceritakan kepada kami Abu Al Walid berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah dari ‘Abdullah bin ‘Abdullah bin Jabr berkata, aku mendengar Anas bin Malik berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan salah seorang dari isterinya mandi menggunakan air dari bekas yang sama.” Muslim dan Wahb bin Jarir dari Syu’bah menambahkan, “janabah (selepas perkataan mandi).”

– Dalam hadis ini tidak disebut siapakah isteri Nabi yang mandi bersama itu. Ini supaya jangan dikatakan bahawa mandi bersama itu hanya khas kepada Nabi dan Aisyah sahaja. Kerana memang ada hukum-hukum yang kadang-kadang hanya untuk Nabi dan kadang-kadang hanya untuk sesuatu sahabat sahaja. Tapi tidak dalam kes ini. Boleh diamalkan oleh semua orang.

——————————————————————————————————————————-

بَاب تَفْرِيقِ الْغُسْلِ وَالْوُضُوءِ وَيُذْكَرُ عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ غَسَلَ قَدَمَيْهِ بَعْدَ مَا جَفَّ وَضُوءُهُ

Bab Orang Yang Mencurahkan Air Dengan Tangan Kanannya Ke Atas Tangan Kirinya Pada Ketika Mandi

Dicurahkan air ke tangan kiri untuk memulakan mandi. Kerana nak guna tangan kiri untuk membasuh kemaluan. Sekarang kita pakai air pili tidak ada masalah ini. Tahan sahaja air pancut itu. Tidak perlu menggunakan tangan kanan lagi untuk memasukkan air ke tangan kiri.

Kita selalu diajar supaya menggunakan tangan kanan dalam banyak hal. Tapi kadang-kadang kita perlu menggunakan tangan kiri juga. Selalunya untuk perkara-perkara yang ‘tidak molek’, seperti untuk membasuh kemaluan atau untuk beristinjak.

Gunakan akal yang terbuka. Jangan taksub. Jangan dalam kita amalkan Sunnah, kita memandang lekeh orang yg tidak amalkan Sunnah. Macam ada yang tidak menyimpan janggut contohnya. Mungkin dia ada banyak sumbangan dia dari kita.

 

257 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مَحْبُوبٍ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَاحِدِ قَالَ حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ عَنْ سَالِمِ بْنِ أَبِي الْجَعْدِ عَنْ كُرَيْبٍ مَوْلَى ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَتْ مَيْمُونَةُ وَضَعْتُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَاءً يَغْتَسِلُ بِهِ فَأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ فَغَسَلَهُمَا مَرَّتَيْنِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا ثُمَّ أَفْرَغَ بِيَمِينِهِ عَلَى شِمَالِهِ فَغَسَلَ مَذَاكِيرَهُ ثُمَّ دَلَكَ يَدَهُ بِالْأَرْضِ ثُمَّ مَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ وَيَدَيْهِ وَغَسَلَ رَأْسَهُ ثَلَاثًا ثُمَّ أَفْرَغَ عَلَى جَسَدِهِ ثُمَّ تَنَحَّى مِنْ مَقَامِهِ فَغَسَلَ قَدَمَيْهِ

257. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Mahbub berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul Wahid berkata, telah menceritakan kepada kami Al A’masy dari Salim bin Abu Al Ja’d dari Kuraib mantan budak Ibnu ‘Abbas, dari Ibnu ‘Abbas berkata, Maimunah berkata, “Aku menyediakan air mandi dan memasang tabir untuk Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau lalu menuangkan air pada kedua tangannya dan mencuci keduanya sekali atau dua kali. – Aku tidak pasti samada dia mengatakan tiga kali atau tidak – Lalu dengan tangan kanannya beliau menuangkan air pada telapak tangan kirinya lalu mencuci kemaluannya, setelah itu menggosokkan tangannya ke tanah atau ke dinding. Kemudian berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung. Kemudian membasuh muka dan kedua tangannya, lalu membasuh kepalanya dan mencurahkan keseluruh badannya. Setelah itu beliau berganjak dari tempat mandi lalu mencuci kedua kakinya. Saya pun mengulurkan satu cebisan kain tapi beliau mengisyaratkan dengan tangannya begini, bermaksud beliau tidak mahukannya”

 

Sahih Bukhari Kitab Mandi Janabah Sesi 4 – Bab Orang Yang Melimpahkan Air Di Atas Kepalanya Tiga Kali Kitab Mandi Janabah March 17, 2013

بَاب مَنْ أَفَاضَ عَلَى رَأْسِهِ ثَلَاثًا

Bab Orang Yang Melimpahkan Air Di Atas Kepalanya Tiga Kali

– Imam Bukhari nak menyentuh khilaf ulama berkenaan perkara ini, iaitu ada yang berpendapat wajib untuk menggosok anggota mandi junub. Itu adalah pendapat Imam Malik. Padanya, tidak sah mandi junub jikalau tidak menggosok anggota itu. Termasuklah kalau wudu. Imam Bukhari berpendapat ianya adalah tidak wajib. Memanglah baik dan molek kalau buat, tapi kalau tak buat, sudah sah mandi junub. Sebab sekarang kita hendak membincangkan apa yang wajib. Sama juga kalau kita selam dalam sungai, dah kira sah dah mandi janabah kalau dah basah semua badan. Begitu juga kalau ambil wudu dengan cara macam tu.

Kerana itulah Imam Bukhari meletakkan perkataan أَفَاضَ didalam tajuknya kerana nak menunjukkan bahawa tidak perlu menggosok. Sebab perkataan itu bermaksud melimpahkan, tidak ada perkataan ‘menggosok’ di mana-mana.

246 – حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ قَالَ حَدَّثَنَا زُهَيْرٌ عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ قَالَ حَدَّثَنِي سُلَيْمَانُ بْنُ صُرَدٍ قَالَ حَدَّثَنِي جُبَيْرُ بْنُ مُطْعِمٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَّا أَنَا فَأُفِيضُ عَلَى رَأْسِي ثَلَاثًا وَأَشَارَ بِيَدَيْهِ كِلْتَيْهِمَا

246. Telah menceritakan kepada kami Abu Nu’aim berkata, telah menceritakan kepada kami Zuhair dari Abu Ishaq berkata, telah menceritakan kepadaku Sulaiman bin Shurad berkata, telah menceritakan kepadaku Jubair bin Muth’im berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “adapun aku melimpahkan air keatas kepalaku sebanyak tiga kali.” Beliau memberi isyarat dengan kedua belah tangannya.

– Hadis ini adalah hadis yang ringkas, tidak diberikan hadis yang penuh. Ini adalah kerana Imam Bukhari hanya hendak menyampaikan apa yang hendak disampaikannya sahaja. Iaitu berkenaan dengan melimpahkan air atas kepala dan tidak perlu menggosok.
Apabila hadis yang ringkas, itulah sebabnya dimulakan kata Nabi dengan perkataan “adapun aku…” Di dalam hadis yang penuh seperti yang ada dalam Muslim, ianya mengisahkan bahagaimana para sahabat berdebat tentang bagaimana cara mandi janabah. Ada yang kata begini dan begitu. Maka Nabi mengatakan bahawa adapun baginda sendiri hanya melimpahkan air keatas kepalanya tiga kali sahaja. Maka, kalau Nabi dah cakap macam tu, tiada alasan lainlah lagi.

247 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ قَالَ حَدَّثَنَا غُنْدَرٌ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ مِخْوَلِ بْنِ رَاشِدٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَلِيٍّ عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْرِغُ عَلَى رَأْسِهِ ثَلَاثًا

247. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Basyar berkata, telah menceritakan kepada kami Ghundar berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah dari Mikhwal bin Rasyid dari Muhammad bin ‘Ali dari Jabir bin ‘Abdullah berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mencurahkan air ke atas kepala sebanyak tiga kali.”

– Seperti dalam hadis yang lain, dalam hadis ini juga tidak ada kata gosok. Itulah yang Imam Bukhari nak bawa.

248 – حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ قَالَ حَدَّثَنَا مَعْمَرُ بْنُ يَحْيَى بْنِ سَامٍ حَدَّثَنِي أَبُو جَعْفَرٍ قَالَ قَالَ لِي جَابِرُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ وَأَتَانِي ابْنُ عَمِّكَ يُعَرِّضُ بِالْحَسَنِ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ الْحَنَفِيَّةِ قَالَ كَيْفَ الْغُسْلُ مِنْ الْجَنَابَةِ فَقُلْتُ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْخُذُ ثَلَاثَةَ أَكُفٍّ وَيُفِيضُهَا عَلَى رَأْسِهِ ثُمَّ يُفِيضُ عَلَى سَائِرِ جَسَدِهِ فَقَالَ لِي الْحَسَنُ إِنِّي رَجُلٌ كَثِيرُ الشَّعَرِ فَقُلْتُ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْثَرَ مِنْكَ شَعَرًا

248. Telah menceritakan kepada kami Abu Nu’aim berkata, telah menceritakan kepada kami Ma’mar bin Yahya bin Sam telah menceritakan kepadaku Abu Ja’far berkata, Jabir bin ‘Abdullah berkata kepadaku, “Anak bapa saudaramu telah datang kepadaku – mengisahkan Hasan bin Muhammad bin Al Hanafiah-, ia bertanya, “Bagaimana cara mandi janabat? Aku menjawab, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil air dengan tiga ceduk dengan kedua tapak tangannya lalu melimpahkannya ke atas kepalanya terlebih dahulu, kemudian barulah dia meratakan air ke seluruh tubuhnya.” Al Hasan lalu berkata kepadaku, “Aku adalah seorang laki-laki yang berbulu lebat!” Aku lalu menjawab, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bulunya lebih lebat daripadamu.”

– Hadis ini kita telah berjumpa sebelum ini tapi kali ini diterangkan siapakah yang dimaksudkan oleh Jabir. Muhammad bin Al Hanafiah adalah salah seorang anak Saidina Ali dari isteri yang selain Fatimah dan ada mazhab Syiah yang mengambil beliau sebagai Imam mereka. Ramai yang mengatakan bahawa dialah anak Saidina Ali yang paling berilmu sekali. Ini adalah salah satu mazhab dalam Syiah. Hasan bin Muhammad bin Al Hanafiah dalam hadis adalah anak dia. Jadi beliau adalah cucu Saidina Ali.

– Sekali lagi dalam hadis ini tidak menggunakan perkataan ‘gosok’. Tapi hendaklah juga kita melihat kenapa Imam Malik mengatakan kena juga gosok itu. Itu adalah kerana dia berpendapat bahawa kalau Nabi meletakkan air di kepala itu, takkanlah dia tidak menggosok kepalanya. Tentulah dia gosok. Tapi itu adalah hanya pendapat Imam Malik sahaja. Imam Bukhari berpandangan tidak perlu gosok kerana mengambil dari perkataan yang digunakan dalam hadis. Tapi tidaklah mengatakan tidak boleh gosok. Kalau gosok pun elok juga.

————————————————————————————————–

بَاب الْغُسْلِ مَرَّةً وَاحِدَةً

Bab Mandi Sekali Sahaja

Ada dua makna yang boleh digunakan untuk tajuk ini. Satu, maksudnya adalah hanya perlu meratakan air kebadan sekali sahaja. Keduanya, boleh juga bermakna untuk mengatakan kepada mereka yang mengulang bersetubuh lebih dari sekali, tidak perlu mandi setiap kali. Cukup dengan hanya mandi sekali sahaja selepas semua persetubuhan itu. Walaupun banyak kali bersetubuh. Ini akan diterangkan dalam bab yang lain nanti.

Tajuk ini adalah untuk menentang pendapat yang mengatakan kena meratakan air sebanyak tujuh kali. Jawapannya, hanya perlu ratakan sekali sahaja dah sah dah mandi janabah itu.

Dalam ayat yang digunakan dalam hadis, ia menggunakan perkataan jamak (plural) untuk mengatakan tentang kemaluan. Adakah banyak kemaluan? Tidak, ini adalah kerana hendak menerangkan bahawa Nabi membasuh keseluruhan bahagian kemaluan baginda.

249 – حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَاحِدِ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ سَالِمِ بْنِ أَبِي الْجَعْدِ عَنْ كُرَيْبٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَتْ مَيْمُونَةُ
وَضَعْتُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَاءً لِلْغُسْلِ فَغَسَلَ يَدَيْهِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا ثُمَّ أَفْرَغَ عَلَى شِمَالِهِ فَغَسَلَ مَذَاكِيرَهُ ثُمَّ مَسَحَ يَدَهُ بِالْأَرْضِ ثُمَّ مَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَغَسَلَ وَجْهَهُ وَيَدَيْهِ ثُمَّ أَفَاضَ عَلَى جَسَدِهِ ثُمَّ تَحَوَّلَ مِنْ مَكَانِهِ فَغَسَلَ قَدَمَيْهِ

249. Telah menceritakan kepada kami Musa bin Isma’il berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul Wahid dari Al A’masy dari Salim bin Abu Al Ja’d dari Kuraib dari Ibnu ‘Abbas berkata, Maimunah menceritakan, “Aku meletakkan air mandi untuk Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau mencuci kedua telapak tangannya dua atau tiga kali. Kemudian beliau menuangkan air ke telapak tangan kirinya dan membasuh kemaluannya, kemudian beliau usapkan tangannya ke tanah, kemudian berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung, lalu membasuh wajah dan kedua tangannya. Kemudian beliau melimpahkan air keseluruh tubuhnya. Setelah itu beliau beralih dari tempat mandi, lalu mencuci kedua kakinya (sebagai menyempurnakan wudu).”

– Hadis ini adalah hadis yang paling terang tentang cara mandi janabah. Imam Bukhari menjadikan hadis ini sebagai hadis paksi berkenaan mandi janabah.
Dalam hadis ini, jelas mengatakan bahawa Nabi membasuh kemaluan dulu, barulah kemudian mengambil wudu. Hadis ini digunakan oleh mereka yang mengatakan bahawa Nabi tidak memegang kemaluan dalam mandi janabah, kerana itulah dia membasuh kemaluan di awal.
Hadis ini menceritakan satu persatu cara mandi dengan tertib. Dan diceritakan disini adalah sekali sahaja Nabi meratakan air ke badan. Maka itulah yang Imam Bukhari ambil hukum: bahawa sekali sahaja ratakan air kebadan.
Nabi akhiri dengan basuh kaki. Maknanya wudu dihabiskan dengan basuh kaki akhir sekali. Sekali lagi menunjukkan bahawa dalam wudu itu tidak perlu muwalat. Iaitu tidak perlu bertertib.

——————————————————————-

بَاب مَنْ بَدَأَ بِالْحِلَابِ أَوْ الطِّيبِ عِنْدَ الْغُسْلِ

Bab Orang Yang Memulakan Dengan Al-Hilab Atau Wangi-Wangian Ketika Hendak Mandi

Ini adalah bab yang paling memeningkan ulama. Kerana hendak memastikan apakah yang dimaksudkan dengan perkataan الْحِلَابِ al Hilab itu. Maka panjanglah perbincangan ulama. Banyak sangat pendapat yang diutarakan.

250 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ عَنْ حَنْظَلَةَ عَنْ الْقَاسِمِ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنْ الْجَنَابَةِ دَعَا بِشَيْءٍ نَحْوَ الْحِلَابِ فَأَخَذَ بِكَفِّهِ فَبَدَأَ بِشِقِّ رَأْسِهِ الْأَيْمَنِ ثُمَّ الْأَيْسَرِ فَقَالَ بِهِمَا عَلَى وَسَطِ رَأْسِهِ

250. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Al Mutsanna berkata, telah menceritakan kepada kami Abu ‘Ashim dari Hanzhalah dari Al Qasim dari ‘Aisyah berkata, “Apabila Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam hendak mandi janabat, beliau minta diambilkan sesuatu seperti Hilab. Mula-mula baginda menceduk air dengan telapak tangannya dan mencurahkannya disebelah kanan kepalanya kemudian disebelah kiri. Kemudian menuangkan air dengan keduanya tapak tangannya pada bahagian tengah kepala.”

– Asal makna Hilab itu adalah bekas tadahan perahan susu yang cukup untuk memerah perahan susu seekor unta.

Tapi apakah yang dimaksudkan didalam hadis ini? Maka ada banyak pendapat yang diberikan oleh ulama hadis yang cuba untuk meleraikan maknanya. Ini adalah hanya pendapat ulama sahaja. Mungkin benar, mungkin tidak:

1. Pendapat ini mengatakan bahawa perkataan ‘atau’ dalam tajuk yang Imam Bukhari letakkan itu digunakan dalam makna ‘dan’. Ini boleh kerana dalam bahasa Arab, perkataan ‘au’, boleh juga digunakan sebagai makna ‘dan’ selain dari makna yang selalu digunakan iaitu: ‘atau’. Maka kepada mereka, yang dimaksudkan oleh Imam Bukhari adalah, apabila Nabi hendak mandi janabah, baginda akan meminta bekas air dan pewangi. Dan pewangi itu akan digunakan lepas mandi.

2. Pendapat ini menggunakan juga makna ‘atau’ sebagai ‘dan’. Maknanya, Nabi minta dua-dua benda itu juga. Cuma bezanya, mereka berpendapat bahawa pewangi itu digunakan ketika mandi iaitu digunakan seperi sabun yang wangi. Kalau zaman sekarang, seperti kita menggunakan sabun.

3. Pendapat ini mengatakan bahawa Imam Bukhari keliru dengan makna perkataan الْحِلَابِ itu. Kepada mereka, ia bukanlah bermakna ‘pewangi’. Kerana tiada faedah untuk Nabi menggunakan pewangi semasa mandi. Hilanglah kesan itu kalau letak awal dan apabila digunakan air, maka akan hilanglah kesan wangi itu. Dan kalau baginda hendak menggunakan selepas mandi, kenapa minta awal?

4. Pendapat ini mengatakan bahawa silap perkataan yang digunakan. Bukanlah الْحِلَابِ. Ini adalah kesilapan penulis. Yang sebenarnya perkataan itu adalah ‘Gulab’ iaitu bermaksud ‘air mawar’. Maknanya Nabi menggunakan banyak jenis wangian. Ramai tak setuju dengan pendapat ini. Kerana bukan sedikit penulis kitab Sahih Bukhari ini. Semua kata perkataan itu adalah hilab. Dan hadis ini ada juga didalam kitab-kitab hadis yang lain yang juga menggunakan perkataan yang sama.

5. Pendapat ini mengatakan bahawa yang sebenarnya diminta adalah air. Tapi yang disebut adalah bekasnya. Seperti bahasa kita juga. Contohnya apabila kita kata ‘cukur kepala’, bukanlah kepala yang kita cukur tapi rambut kita sebenarnya.
Air boleh juga digunakan sebagai pewangi. Kerana apabila hilang bau badan, maka akan wangilah balik. Kerana ada ditempat lain, Nabi mengatakan bahawa air itu adalah pewangi.

6. Hilab dikatakan mempunyai dua makna. Pertama, bekas susu. Kedua: sesuatu yang diperah. Contohnya pati bunga. Untuk dilumurkan dibadan. Boleh menyegarkan atau mewangikan. Ini adalah budaya orang Arab, walaupun mungkin kita tidak biasa di Malaysia ini. Maka, mandi bunga itu boleh.

7. Pendapat ini mengatakan bahawa Nabi menggunakan wangian itu selepas selesai mandi. Baginda akan minta wangian. Barulah munasabah kalau pakai lepas selesai. Bukan maksud Hilab itu bekas susu.

8. Hilab itu adalah bekas susu. Nak menunjukkan bahawa boleh pakai bekas yang mungkin ada bau sedikit. Tidak salah. Atau ada bekas yang berminyak sikit. Sebab hadis ini pasal mandi. Jadi, mestilah hadis itu hendak menceritakan tentang sah atau tidak mandi janabah itu. Makna tajuk itu nak memberitahu, kalau bekas itu berbau sikit atau terlebih wangi pun dua-dua boleh pakai. Ini adalah pendapat yang paling kuat untuk dipegang.

9. Bukan pewangi yang dimaksudkan. Hilab adalah air yang terdapat didalamnya. Tibb adalah usaha kita untuk membersihkan badan kita dengan mandi.

10. Bukan untuk menyatakan apa yang digunakan semasa mandi tapi apa yang disiapkan untuk selepas mandi. Sebab nak pakai terus selepas mandi.

11. Untuk mengisyaratkan dua hadis dari Aisyah. Kerana ada hadis yang diriwayatkan dari Aisyah yang kata bila Nabi mandi junub, baginda akan melumurkan kepalanya dengan air perahan bunga. Lepas itu tidak basuh dah. Tapi kerana dhaif hadis itu, maka Imam Bukhari tidak memasukkan dalam sahihnya kerana kalau dia nak masukkan dalam hadisnya, ia mestilah mempunyai kekuatan yang tinggi. Jadi maknanya, boleh pakai wangi.

 

Kuliah Maulana Asri