We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 108 Bab Bersembahyang Sunat di Belakang Perempuan January 26, 2014

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 11:58 pm

بَاب التَّطَوُّعِ خَلْفَ الْمَرْأَةِ

Bab ke-77 Bersembahyang Sunat di Belakang Perempuan

Apakah maksud tajuk ini ? Bukanlah hendak mengatakan bahawa boleh lelaki solat di belakang perempuan sebagai imam. Jangan silap faham tajuk pula. Tidak boleh perempuan jadi imam kepada lelaki. Tidak boleh perempuan bercampur saf dengan lelaki. Kalau nak boleh, kelompok lelaki satu belah dan kelompok lelaki sebelahnya. Dan dibatasi dengan pengadang.

Imam Bukhari hendak menyatakan pendapatnya bahawa tidak makruh untuk solat di belakang perempuan. Kerana Nabi selalu buat begitu. Maka tidak boleh dikatakan makruh kalau Nabi selalu buat. Imam Bukhari nak tolak pendapat ulama yang mengatakan ianya makruh. Dan menolak pendapat yang mengatakan solat akan terputus kalau dilintasi perempuan. Itu adalah salah faham dengan hadis Nabi. Imam Bukhari hendak mengatakan ianya tidak menjejaskan dan tidak membatalkan solat seseorang kalau solat di belakang perempuan.

Sebelum ini kita telah belajar bahawa tidak boleh melintas di hadapan orang yang solat. Tapi kalau baring di hadapan dengan tetap dan bukan melintas, tidak berdosa. Bahkan orang yang di hadapan itu boleh dijadikan sebagai sutrah. Selalu para sahabat buat sebegitu. Kalau mereka tidak ada sutrah, mereka akan minta sahabat yang lain untuk duduk di hadapan mereka sebagai sutrah.

Bukan nak kena buat. Tidaklah kita kena ikut seperti apa yang Nabi buat. Takut ada orang yang bodoh, setiap kali nak solat, kena ada perempuan pula. Atau mereka kata, kalau solat di belakang perempuan, akan dapat lebih pahala pula. Itu amatlah bodoh namanya. Ianya cuma hendak mengatakan, kalau ada perempuan, dan kita tidak ada tempat lain nak solat, mungkin rumah kita kecil, maka tidak salah kalau kita buat begitu.

483 حَدَّثَنَا عَبْدُاللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ أَبِي النَّضْرِ مَوْلَى عُمَرَ بْنِ عُبَيْدِاللَّهِ عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِالرَّحْمَنِ عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهَا قَالَتْ كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلايَ فِي قِبْلَتِهِ فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا قَالَتْ وَالْبُيُوتُ يَوْمَئِذٍ لَيْسَ فِيهَا مَصَابِيحُ

483. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengabarkan kepada kami Malik dari Abu An Nadlr mantan budak ‘Umar bin ‘Ubaidullah, dari Abu Salamah bin ‘Abdurrahman dari ‘Aisyah isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, ia berkata, “Aku selalu tidur di depan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan dua kakiku melintang arah kiblatnya. Apabila hendak sujud baginda akan meramas kakiku, lalu aku pun melipat kedua kakiku. Dan setelah baginda berdiri aku meluruskan kembali kedua kakiku.” ‘Aisyah berkata, “Pada zaman itu rumah-rumah tidak mempunyai lampu.”

Bagaimana kita tahu bahawa Nabi sedang solat sunat waktu itu? Sebab tidak diberitahu dengan jelas dalam hadis ini. Ini kita dapat tahu dari kebiasaan Nabi dan suruhan Nabi. Kerana Nabi kata sebaik-baik solat sunat adalah di rumah seperti ada terdapat dalam hadis Nabi. Jadi, kita tahu bahawa solat yang dilakukan oleh Nabi dalam hadis ini adalah solat sunat, bukan solat fardhu. Kerana Nabi akan solat fardhu di masjid bersama dengan sahabat yang lain.

Dan kebolehan ini bukan hanya untuk solat sunat sahaja. Kalau solat sunat boleh, solat fardhu juga boleh. Yang penting, seseorang yang sedang melakukan solat itu tidak terganggu dengan adanya perempuan di hadapannya. Kerana yang penting adalah khusyuk dalam solat. Kalau ada perempuan depan perempuan, kita terganggu, maka tidak molek. Manalah tahu, kalau-kalau ada yang terangsang kalau ada perempuan di hadapannya pula. Walaupun begitu, pendapat Imam Ahmad menyatakan bahawa kalau solat fardhu, ianya adalah makruh. Kerana tidak ada hadis yang mengatakan Nabi buat begitu waktu solat fardhu. Tapi Imam Bukhari hendak menolak pendapat itu kerana padanya, sama sahaja kalau solat sunat dan solat fardhu. Sama juga kalau wudhu untuk solat sunat dan solat fardhu, sama sahaja. Memang Nabi tidak pernah buat begini dalam solat fardhu kerana Nabi memang akan solat fardhu berjemaah di masjid.

Hadis ini juga menunjukkan bahawa Islam tidak menyisihkan isteri dalam hal ibadat. Bukan macam agama lain yang menyisihkan perempuan dalam hal ibadat mereka. Agama lain memandang martabat wanita rendah dan menjauhkan mereka dari tuhan. Begitulah, sampai paderi Kristian tidak boleh berkahwin kerana akan menyusahkan mereka dalam hal agama.

Dalam hadis ini, Nabi telah menyentuh Aisyah untuk memberi isyarat kepada Aisyah untuk menaikkan kaki beliau. Ini sebagai dalil untuk menyatakan bahawa tidak batal wudu kalau menyentuh perempuan. Tidaklah wanita itu kotor sampaikan kalau kita sentuh mereka, solat atau wudu kita akan terbatal. Tapi perlu disebutkan di sini bahawa pihak Syafiiyyah dan Hanbaliah tidak menerima hadis ini sebagai dalil yang mengatakan tidak batal wudu kalau sentuh perempuan. Kerana mereka pegang pendapat yang mengatakan wudu akan batal kalau sentuh perempuan. Kepada mereka, kalau menyentuh perempuan, akan batal wudu dan kalau batal wudu, maka batallah solat. Bukanlah ini bermakna mereka menolak hadis – jangan kita faham begitu. Tapi cara mereka faham hadis ini adalah berlainan dari mazhab-mazhab yang lain. Mereka kata, mungkin semasa Nabi menyentuh kaki Aisyah itu, tubuh Aisyah berlapik. Tapi tahu mana yang kaki Aisyah berlapik? Itu adalah satu andaian sahaja. Bagaimana pula Nabi tahu yang kaki Aisyah berlapik waktu itu? Adakah Nabi agak-agak sahaja? Takkan Nabi akan buat sesuatu yang mungkin membatalkan solatnya. Dalam keadaan gelap pula tu. Maknanya, Nabi tak nampak samada Aisyah berlapik atau tidak. Tambahan pula Nabi solat lama. Takkan Nabi hendak mengambil risiko kena ulang kembali solatnya kalau sentuh dan membatalkan solat baginda. Maka, hujah yang kuat adalah: menyentuh perempuan tidak membatalkan solat dan wudu. Ini adalah salah satu dalil. Banyak lagi dalil, bukan ini sahaja. Maka janganlah kita ragu-ragu dengan hukum ini. Imam Syafie tak terima hadis ini sebab ragu dengan seorang perawi. Tapi setelah dikaji, memang perawi itu tsiqah – boleh dipercayai.

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini.

  1. Harus solat mengadap wanita.
  2. Harus solat mengadap wanita yang sedang tidur. Walaupun dengan keadaan macam-macam boleh berlaku. Mungkin orang yang solat itu boleh tersentuh wanita itu atau mungkin wanita itu boleh terbuka auratnya. Syaratnya adalah kita tidak terganggu. Kalau terganggu, jangan buat. Sebab kita kena jaga khusyuk solat kita.
  3. Menyentuh wanita tidak membatalkan wudu. Berlainan dengan mazhab Syafie.
  4. Solat dalam gelap tidak makruh. Nabi selalu buat macam tu. Memang ada yang kata makruh kalau solat dalam gelap. Tapi pendapat itu tidak kuat.
  5. Elok mengerjakan solat malam. Sebab itu Nabi selalu buat.
  6. Pergerakan sedikit ketika solat tidak membatalkan. Nabi gerak tangan baginda untuk sentuh Aisyah. Dikatakan baginda ramas. Supaya Aisyah terjaga. Termasuk dalam perkara ini, kalau kita garu dalam solat kita.
  7. Harus tidur melintang di hadapan orang yang solat dalam tempat solat.
  8. Memang ada kezuhudan Nabi dan keluarga baginda. Tapi masih ada tilam dan katil. Walaupun Nabi seorang pemimpin yang besar. Boleh sahaja kalau Nabi hendakkan kemewahan dunia. Tapi Nabi tidak lakukan begitu.
  9. Waktu itu tidak ada lampu. Masa Aisyah sampaikan hadis ini, sudah ada lampu dalam masyarakat. Maknanya sudah ada kemajuan dalam masyarakat Islam. Ini kita tahu kerana Aisyah hidup lama selepas Nabi wafat.

Link kepada kuliah Maulana Asri

 

Lompat ke hadis yang seterusnya

 

Lompat kepada permulaan kitab solat

 

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 107 Bab Bersembahyang Di Belakang Orang Yang Sedang Tidur

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 12:26 am
صَّلاةِ خَلْفَ النَّائِمِ

Bab Bersembahyang Di Belakang Orang Yang Sedang Tidur.

Ulama membincangkan tujuan Imam Bukhari membawa tajuk ini:
Membincangkan khilaf ulama tentang orang yang solat di belakang orang yang tidur. Dia tidak buat keputusan dalam tajuknya ini. Selalu juga dia buat macam ini. Kerana pendapat-pendapat yang lain itu ada hujah juga. Dia memberi ruang kepada pendapat-pendapat yang lain. Tapi dari hadis yang dipilihnya ini, menunjukkan dia tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan makruh solat di belakang orang yang tidur. Kerana dalam hadis ini, Nabi sendiri buat begitu. Dan hadis yang dibawanya adalah kuat. Kita boleh mengatakan bahawa ianya tidak makruh kerana Nabi tidak akan melakukan sesuatu perkara makruh berterusan. Kerana selalu Nabi buat sepertimana dalam hadis yang diberikan di bawah.
Isyarat kepada dhaifnya hadis yang melarang solat di belakang orang yang tidur. Memang ada hadis-hadis yang mengatakan Nabi melarang solat di belakang orang yang tidur tapi hadis-hadis itu ada masalah-masalah yang tersendiri. Lalu bagaimana ada ulama yang mengatakan makruh kalau solat di belakang orang yang tidur? Ini adalah kerana ulama mengambil banyaknya hadis-hadis yang dhaif itu dan mengambil maksud bahawa Allah sebenarnya hendakkan kita khusyuk dalam solat. Tambahan pula Allah suruh kita pakai sutrah. Maka semua itu adalah untuk menjaga khusyuk. Itu adalah kaedah mereka. Nak kata pendapat mereka itu salah pun susah juga. Cuma Imam Bukhari tidak mahu cara begitu. Beliau membawakan satu hadis sahih yang kuat yang tidak boleh ditandingi oleh hadis dan hujah yang lain.
482 حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى قَالَ حَدَّثَنَا هِشَامٌ قَالَ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي وَأَنَا رَاقِدَةٌ مُعْتَرِضَةٌ عَلَى فِرَاشِهِ فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يُوتِرَ أَيْقَظَنِي فَأَوْتَرْتُ
 482. Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, telah menceritakan kepada kami Yahya berkata, telah menceritakan kepada kami Hisyam berkata, telah menceritakan kepadaku Bapaku dari ‘Aisyah ia berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam selalu salat ketika sedang aku tidur melintangi di atas tilamnya. Apabila mahu melakukan solat witir, baginda mengejutkan daku maka berwitirlah aku (bersama baginda).”
 Walaupun contoh yang diberikan adalah contoh Aisyah, tapi hukum ini boleh dipakai untuk lelaki juga.
Ulama berbeza pendapat berkenaan kisah dalam hadis ini. Fathul Bari mengatakan ianya adalah kisah yang sama dengan hadis sebelum ini. Syeikh Zakaria pula mengatakan ianya adalah kisah yang lain. Kerana sebelum ini pun telah diberitahu yang Nabi ‘selalu’ lakukan perkara yang sama. Jadi ada kemungkinan ianya adalah kejadian yang lain. Kalau dalam hadis yang sebelum ini, tidak disebut Aisyah tidur. Kali ini disebut Aisyah tidur pula. Allahu a’lam.
Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:
  1. Harus untuk solat belakang orang yang tidur. Tidak kira lelaki atau perempuan. Lihatlah cara Nabi buat. Menghilangkan fahaman agama lama yang menyisihkan perempuan. Dalam agama Yahudi, kalau perempuan kotor, makan sekali pun tidak boleh, apatah lagi kalau dalam ibadat. Datangnya Nabi mengubah pemahaman itu. Agama Islam adalah agama yang praktikal. Nabi sampai cium isterinya sebelum nak solat. Nak beritahu bahawa tidak ada masalah kalau ada hubungan dengan wanita. Hubungan lelaki dan perempuan boleh mesra walaupun dekat dengan ibadat.
  2. Elok mengejutkan orang untuk mengerjakan kebaikan. Lihatlah bagaimana apabila Nabi hendak melakukan solat witir, baginda akan mengejutkan Aisyah. Bukanlah wajib untuk berbuat begitu.
  3. Solat witr boleh juga dilakukan selepas tidur. Macam yang dilakukan oleh Aisyah dalam hadis ini.
  4. Witr boleh dilakukan berjemaah. Kerana dalam hadis ini, Aisyah solat witir berimamkan Nabi. Ada solat sunat yang boleh berjemaah dan ada yang tidak. Kita tahu manakah yang boleh berjemaah dan mana yang tidak dari amalan Nabi. Kita ikut berjemaah mana yang jelas Nabi pernah buat sahaja. Yang Nabi tak solat sunat berjemaah, jangan kita memandai buat. Jangan pakai Qiyas dalam perkara ini. Kita tak boleh fikirkan sendiri hal agama tanpa tuntunan dari Nabi. Ibn Umar pernah baling dengan batu orang yang solat dhuha berjemaah.
  5. Nabi tidak mengajak isterinya beribadat sebanyak yang dilakukan dirinya. Baginda membiarkan Aisyah tidur dahulu. Sebab tak sama kekuatan antara seorang dan orang lain. Kerana ianya adalah perkara sunat, bukan fardhu. Ikut keadaan sendiri. Mungkin seorang isteri itu kepenatan kerana banyak buat kerja rumah yang dilakukannya. Tapi kenapa Nabi bersungguh solat malam? Kerana baginda hendak menjadi hamba yang bersyukur. Maka dari itu kita dapat tahu bahawa solat itu adalah sebagai tanda syukur kita kepada Allah. Dan kerana solat itu memberi kekuatan kepada Nabi. Nabi memerlukan tenaga untuk terus melakukan kerja-kerja dakwah baginda dan solat sebenarnya memberi kekuatan itu kepada baginda. Kita ingat solat akan memenatkan kita, tapi sebenarnya tidak. Ianya adalah seperti petrol yang menyebabkan kereta boleh berjalan. Kita sahaja yang tidak tahu.
  6. Keelokan solat malam di rumah. Walaupun boleh juga dikerjakan di masjid. Tapi sebaik-baiknya solat sunat dilakukan di rumah. Ini dapat mengelak daripada menjadi riak dengan amalan sunat kita. Kalau solat fardhu, memang tempatnya di masjid untuk lelaki.
  7. Solat bersebelahan isteri dan anak-anak yang tidur, dibolehkan. Walaupun ada kemungkinan mereka mengulurkan kaki sampai ada kaki mereka melintang di hadapan kita yang solat. Itu tidak salah. Walaupun ada kemungkin, kalau badan mereka dekat dengan kita, boleh tersentuh suami dengan isteri. Kalau kita mengambil pendapat Imam Bukhari dalam perkara ini, sentuhan lelaki dan perempuan tidak membatalkan solat mahupun wuduk. Islam meraikan kemesraan dalam keluarga. Tidaklah sampai kalau kita hendak beribadat, kita kena menjauhkan diri dari isteri dan anak-anak kita.
  8. Keharusan solat di atas tilam seperti yang dilakukan dalam hadis ini. Janji tilam itu bersih. Dan untuk kita tahu samada tilam itu bersih atau tidak, cukup dengan periksa sekali lalu sahaja. Tak perlu nak pakai mikroskop untuk periksa tilam itu. Kalau dengan mata kasar ianya nampak bersih, maka sudah dikira bersih. Kadang-kadang solat atas tilam lebih elok kerana tilam yang empuk lebih selesa. Tidak ada masalah kalau nak selesa dalam solat. Apabila kita selesa, solat kita pun lebih khusyuk. Kerana Nabi pun ada buat macam itu. Janganlah kita terpengaruh dengan golongan sufi yang mengatakan kena bersusah dalam mengerjakan ibadat. Adakah mereka lebih baik dari Nabi sendiri?
  9. Nabi dan isterinya tidur atas tilam yang sama. Itulah yang sebaiknya. Nabi mesra dengan isterinya. Tilam yang samalah yang digunakan Nabi untuk solat. Bukan ada tilam lain yang digunakan untuk solat.
  10. Solat witr lebih utama dari solat malam yang lain. Sebab itu Nabi gerak Aisyah. Untuk solat yang lain, Nabi tak gerak pun.
  11. Pendapat yang mengatakan tidak makruh solat di belakang orang yang tidur lebih baik diutamakan daripada yang mengatakan ianya adalah makruh. Kerana hadis yang dibawa ini adalah hadis yang sahih dan amat kuat.

Link kepada kuliah Maulana Asri

Lompat ke hadis yang seterusnya

Lompat kepada permulaan kitab solat

 

Cebisan ilmu January 22, 2014

Filed under: Ilmu — visitor74 @ 11:23 am

Assalamualaikum,

Ini adalah cebisan-cebisan ringkasan ilmu dari kuliah-kuliah ustaz-ustaz Sunnah. Diambil dari YouTube account ‘Dokumentari Kuliah’.

Saya ringkaskan sahaja. Untuk maklumat penuh, boleh dengar sendiri kuliah dari Dokumentari Kuliah itu. Semoga Allah membalas dengan baik usaha mereka merakam dan mempersembahkan kuliah asatizah itu. Kalau kita nak pergi sendiri, tak tahu boleh kan kita tuangkan masa.

Allah telah memberi umat dahulu dn kelebihan akal fikiran dan daya ingatan yang tinggi. Kita sekarang tak macam mereka. Dan mereka pula hidup dalam zaman yang macam lebih panjang masa dari kita sekarang. Kerana bayangkan, mereka boleh menulis kitab dengan banyak dan berjilid-jilid. Tapi Allah telah gantikan dengan teknologi yang memudahkan kita mendapat maklumat. Dengan YouTube, dengan Phone yang boleh simpan maklumat macam macam, dengan notebook dan PC yang senang didapati. Allah satu benda dan Allah beri bend yang lain. Subhanallah.

Ini adalah nota untuk ingatan saya sendiri asalnya. Tapi kalau boleh ianya memanfaatkan anda juga, apa salahnya.

——–

Ada ustaz yang kita rasa garang. Macam Nabi Khidr juga lah. Maka jangan kita tak mahu belajar dengan guru yang garang sebab kerana garang sahaja.
Syarat belajar adalah sabar.
Ada Enam perkara yang disebut sebagai syarat pencari ilmu:
Zaka’: akal yang boleh pakai. IQ kenalah ada.
Hirsun: kesungguhan.
Sabar
Bulghah: sedikit duit
Guru
Lama masa

Masukkan mayat dari arah kaki.
Yang sambut mayat dalam liang tidak boleh berjimak malam sebelumnya.
Semasa memasukkan mayat, disunatkan membaca ‘bismillahi wa ala sunnati rasulillah SAW’.
Adakah buka ikatan kepala mayat? Hadis yang mengatakan Nabi suruh buka ikatan itu adalah lemah. Tapi dari perbuatan banyak ahli salaf, maka diterima sebagai makruf. Kalau tak leraikan pun tidak mengapa.
Lepas tutup lahad, tiga kepal tanah. Nabi campak dekat arah kepala.
Ziarah kubur untuk mengingatkan kematian.
Tidak ada waktu afdhal untuk lawat. Bila-bila masa sahaja.
Tidak ada bacaan Quran apa-apa.

Ada hadis yang mengatakan bahawa 70 ribu umat Islam akan masuk syurga tanpa hisab. Antara kriterianya adalah tidak menjampi dan tidak minta dijampi. Lalu bagaimana banyak kisah bagaimana Nabi dijampi Jibrail dan baginda juga menjampi para sahabat? Kena faham maknanya. Imam Qurtubi mengatakan yang tak boleh adalah jampi yang mengandungi unsur syirik; jampi yang tak faham maknanya (macam jampi tok nenek kita – tak tahu hujung pangkal); menggunakan makhluk lain seperti jin.

Tiang jin dinamakan begitu kerana pernah Nabi masuk masjid nak nampak jin sedang menyandar di tiang masjid. Nabi ikat jin itu. Kemudian baginda teringat doa Nabi Sulaiman. Maka Nabi patah balik dan lepaskan jin Ifrit itu.

Al-Bari’ bermaksud ‘yang mengadakan’. Atau melepaskan. Bebas dari sifat kekurangan dan kecelaan. Allah bersifat Kesempurnaan. Apa-apa yang Allah buat adalah daripada sifat kesempurnaanNya. Macam Allah telah menjadikan bentuk badan kita sebegini. Begitu juga dengan hukum dan syariat yang Allah telah buat. Telah sempurna. Jadi kenapa ada yang kata hukum Allah tidak sesuai zaman sekarang.
Ada persamaan dengan zikr subhanallah. Ada nafi dan ithbat.

Al Bari’ juga bermaksud Allah memberi kehidupan kepada segala kehidupan dalam alam ini. Allah buat segalanya sesuai dengan kehidupan. Macam Allah jadikan hujan. Ada sebab Allah jadikan hujan itu. Jangan kita marah dengan hujan kalau banjir. Atau mungkin kita nak buat kerja dah susah. Allah jadikan hujan bukan untuk kita sahaja. Untuk makhluk lain juga. Mungkin kita rasa kita tak perlukan waktu itu. Tapi makhluk lain perlukan. Atau kita rasa kita tak perlu. Tapi sebenarnya perlu.

Aurat bukan hanya menutup badan sahaja tapi lebih lagi. Cara berjalan pun aurat juga. Sebab itu ulama Saudi mengharamkan wanita pakai kasut tumit tinggi. Percakapan pun termasuk juga. Akhlak pun termasuk juga. Ini menjawap soalan orang yang kata tutup aurat pun kena kacau juga.

Hadis Nabi kata hari-hari Tasyriq adalah juga hari dibolehkan korban adalah dhaif. Cuma jumhur ulama kata boleh juga. Sunnahnya berkorban dilakukan pada Hari Nahr – 10 Dzul Hijjah. Sahabat ada juga yang sembelih pada Hari Tasyriq.

Orang berkorban boleh simpan daging korban untuk dirinya. Maka boleh kalau dia nak simpan untuk dia makan. Tidak ada larangan. Cuma tujuan korban adalah untuk diberikan kepada orang yang susah. Kalau banyak kita yang ambil, jadi tak sampai maksud. Pernah Nabi melarang simpan lebih dari tiga hari cuma waktu itu tahun penyakit. Pernah juga Nabi larang simpan kerana pada tahun itu

Pembahagian daging kurban kepada tiga bahagian dan orang berkorban ambil satu pertiga adalah pendapat ulama sahaja. Bukan ada hadis Nabi.

Hari raya haji patutnya ikut mekah lah. Sebab Mina ada di sana.

Imam muslim mengatakan bahawa aurat perempuan dengan perempuan bukan Islam adalah seperti orang asing – kena tutup aurat juga. Kena tutup kepala juga.

Kesyirikan ya hanana: dalam qasidah sesat mereka, ada ucapan: “ya Muhammad, ishfa’lana”. Padahal Nabi Muhammad dah lama wafat. Bukan boleh cakap dengan baginda dah.

Syafaat ada dua wajah: Allah redha kepada pemberi syafaat dan Allah redha kepada penerima syafaat.

Kata Nabi dari naba’, bawa berita.

Hadis jangan menipu atas nama Nabi adalah hadis mutawatir. 80 sahabat meriwayatkan nya.

Nasihat Nabi pendek sahaja. Ada sekali sahabat minta nasihat. Baginda jawap: la taghdab. Jangan marah.

Banyak bertanya pun tidak elok. Tanya yang mengarut. Ada sahabat tanya mana unta dia. Nabi doakan supaya untanya hilang terus.

Doa Nabi luas. Jangan ajar Tuhan.

Terapi istighfar utk dapat anak. Surah Nuh.

Umar apabila dengar Ubai bin Kaab baca ayat setiap org akan jumpa Allah berseorangan, dia terjatuh dan demam seminggu. Takut dengan Allah.

Orang Arab kalau nampak orang lain buat salah, mereka akan tegur dengan kata ‘ittaqillah’ untuk mengingatkan mereka kepada Allah.

Boleh buat perkara pelik supaya tunjuk kepada orang yang jahil. Macam Jabir yang memaki sehelai sahaja kain untuk solat untuk menunjukkan kepada anak muridnya bahawa ianya boleh dilakukan. Walaupun dia ada baju lain.

Makruh solat buka dada.

Masa tawaf, sunat buka bahu kiri. Nak tunjukkan kekuatan umat Islam. Lepas perang Tabuk. Nabi hantar pesan supaya orang musyrik tak buat tawaf waktu itu. Sebab mereka tawaf telanjang. Buka bahu tunjuk gedebe sikit. Tapi masa solat baginda tutup bahu baginda. Bukan nak tunjuk gedebe depan Nabi. Maka makruh kalau buka bahu.

Keburukan sambut hari ibu: bagaimana dengan perasaan mereka yang tidak ada ibu? Bagaimana pula dengan wanita yang tidak ada anak? Kesian kepada mereka. Kepada Islam, setiap hari kita kena buat baik kepada ibu kita. Asal daripada tamadun Greek yang sambut Hari Tuhan Ibu. Jadi ada keburukan dalam sambutan hari Ibu.

Allah ampuhkan dosa umat melainkan dia berterang-terangan dalam dosanya. Menzahirkan dan membanggakan. Berkongsi pun tak boleh. Kalau berbangga lagi teruk. Itu dah mencabar agama. Sebab dia rasa macam tak salah.

Masalah lafaz saiyyidina. Ada yang kata Nabi tawaduk. Itu sebab baginda tak suruh. Tapi dalam hal lain, memang Nabi ada kata baginda adalah penghulu sekalian anak Adam. Maknanya dalam keadaan lain, Nabi cakap. Tapi Nabi tak suruh pun lafaz saiyyidina.

Ulul azmi – semangat kental.

Taubat nasuha – taubat yang boleh memberi nasihat. Kalau nak buat lagi dosa yang sama, dia akan cakap: kan kamu dah taubat?

Leadership is mentioned in Ali Imran:159

Cara jawap salam orang kafir – alaika salam.

La tarluu fi diinakum. Jangan melampau dalam agama kamu. Nabi pilih batu kecil dan kata itulah batu yang digunakan untuk melontar.
Contoh melampau adalah seperti kata Rabiatul Adawiyah yang kata dia tidak beramal kerana hendakkan syurga dan takut neraka.

Jangan berlebihan dalam Islam walaupun atas cinta. Jangan jadi macam kristian dengan isa. Jangan kita buat yang sama dengan Nabi Muhammad.

Jgn pilih satu benda sampaikan tinggalkan yang lain. Macam kalau kita pegang kuat hak ibu tapi sampai lupa dengan hak anak.

Jangan ajar yang tinggi pasal Islam sampai ingat tak boleh buat. Contohnya menceritakan tentang abu bakar bagi seluruh hartanya. Padahal ada lagi sahabat yang lain

Aqidah adalah ikatan. Dengan Allah. Kalau ikatan kuat, senang untuk kita taat dan beramal. Sensitif dengan kehendak Allah.

Hari pertama abu Bakr masuk Islam telah bawa 6 orang masuk Islam hari yang sama. 4 darinya sahabat yang dijanjikan syurga. Termasuk Uthman Abdul Rahman auf.

Bila faham tauhid, akan kuat semangat untuk mempertahankan akidah. Menentang syirik.

Tidak datang kiamat melainkan manusia berbangga dengan masjid nya. Bangga masjid cantik tapi tidak dihidupkan. Akan sampai manusia akan hias masjid dan hias Quran dengan warna. Jadi masjid kena banyak program.

Wala’ wal bara’. Cinta dan benci. Tidak boleh kita duduk dalam majlis maksiat.

Kisah Mus’ab Umair yang pergi sendiri dengar Nabi. Walaupun dia dengar yg tak baik tentang ajaran Nabi. Menunjukkan pentingnya dengar sendiri bukan nak terima sahaja kata-kata orang. Beliau Masuk Islam dan emaknya tak terima. Mogok lapar dan buang anaknya.

Ubaidah bin Jarrah bunuh ayahnya yang kafir dalam perang.

Zalim itu meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Lawan kepada adil. Ketaatan dan pengabdian hanya kepada Allah sepatutnya. Maka kalau tak, itu zalim.

Sunnah puasa 10 Muharam. Tak Sunnah meraikan. Ada yang buat berlawanan dengan Syiah. Itu pun tak sahih. Tak sesuai.

Allah dari makna ilah. Maka dalam nama Allah itu pun dah ada makna disembah.
Mana tahu? Sebab ada dalam syair Arab jahiliah.

Istirja’ adalah kata inna lillahi …
Byk amalan Nabi tak buat lagi.

Logically prove life after death. Scientific facts of the Quran has been proved. Logic of proof of Quran. Robbing. Is bad. But what is the logical answer. No one can prove logical and scientific reason that robbing is bad. So have to prove the existence of Allah. And Allah is never unjust as said in Quran. But in this world there’s so much injustice. So the justice will only in the hereafter. That’s why the belief of hereafter is important. Eg: hitler has killed so many men but you can only kill him one time. But in akhirah, Allah can kill him many many time.

Anas solat belakang Nabi dan tiga khalifah, mereka tidak pernah membaca bismillah dengan kuat dalam solat.

Meninggalkan benda haram lebih baik dari buat amalan sunat. Kerana ada hadis yang mengatakan kalau buat perkara wajib sahaja dah boleh masuk syurga. Tapi kena tidak buat perkara haram lah.

 

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 106 Bab Seseorang Bersembahyang Dalam Keadaan Berhadapan Muka Dengan Lelaki Di Hadapannya January 14, 2014

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 10:46 am

بَاب اسْتِقْبَالِ الرَّجُلِ صَاحِبَهُ أَوْ غَيْرَهُ فِي صَلاتِهِ وَهُوَ يُصَلِّي

Bab 75 Seseorang Bersembahyang Dalam Keadaan Berhadapan Muka Dengan Lelaki Di Hadapannya.

Tujuan Imam Bukhari membawa tajuk ini: Imam Bukhari bimbang kalau manusia keliru. Sebab sebelum ini dikatakan tidak boleh melintas di hadapan orang yang solat. Takut ada yang ingat kalau ada orang yang duduk di hadapan orang yang solat dengan tetap, pun termasuk dalam larangan itu. Ini penting kerana akan ada banyak keadaan dalam solat dimana akan ada orang yang di hadapan kita. Samada orang itu duduk atau pun berdiri. Contohnya dalam solat yang kita masbuk. Selepas imam memberi salam, dan kita berdiri, selalu terjadi, ada makmu yang duduk di hadapan kita – bagaimana dalam keadaan begitu?

Atau kalau imam akan pusing selepas solat, maka dia tentunya mengadap kepada kita. Imam Bukhari nak kata bahawa ianya tidak makruh jika tidak terganggu. Kerana ada khilaf ulama dalam hal ini. Maka Imam Bukhari mengambil pendirian, ianya tidak makruh jikalau orang yang solat itu ‘tidak terganggu’. Pahala kita tidak akan berkurang kalau disebabkan oleh perbuatan orang lain.

Kebanyakan ulama mazhab kata makruh kalau mengadap. Termasuk mazhab Syafaiyah. Sebab nampak macam sembah orang itu pula.

وَكَرِهَ عُثْمَانُ أَنْ يُسْتَقْبَلَ الرَّجُلُ وَهُوَ يُصَلِّي وَإِنَّمَا هَذَا إِذَا اشْتَغَلَ بِهِ فَأَمَّا إِذَا لَمْ يَشْتَغِلْ فَقَدْ قَالَ زَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ مَا بَالَيْتُ إِنَّ الرَّجُلَ لا يَقْطَعُ صَلاةَ الرَّجُلِ
Uthman tidak suka seseorang bersembahyang dalam keadaan berhadapan muka dengan seseorang. Ini sekiranya dia terganggu dengannya. Adapun jika dia tidak terganggu, Zaid bin Tsabit pernah berkata: Aku tak kisah, aku tak peduli, kerana seseorang tidak memotong sembahyang seseorang yang lain.

Kalau kita lihat atsar Uthman, nampak macam makruh pula sebab Uthman tak suka. Tapi Zaid pula cakap tidak apa apa. Jadi kita boleh ambil maksud Uthman di sini, dia tidak suka jikalau terganggu.

Kenapa Imam Bukhari memasukkan dalam tajuk ini jika berhadapan dengan ‘lelaki’. Tapi dalam hadis yang dibawanya, ianya berkenaan Aisyah yang tidur di hadapannya. Bagaimana pula tajuk yang diletakkan, ianya adalah ‘lelaki’. Menarik tajuk yang digunakan oleh Imam Bukhari.

Tajuk boleh dipandang dari beberapa sudut. Ianya akan jadi sesuai kalau kita faham apakah sebabnya Imam Bukhari meletakkan begitu. Pertama, hukum lelaki dan perempuan adalah sama sahaja, kecuali kalau dikhususkan ianya adalah untuk perempuan atau untuk lelaki. Jadi dalam hadis itu, walaupun contoh yang diberikan mengadap perempuan (Aisyah), tapi ianya juga boleh terpakai jikalau mengadap lelaki kerana hukumnya sama sahaja. Asalkan dia tidak terganggu dalam solatnya. Maka, hukumnya sama sahaja. Hadis itu tidak hanya khusus untuk mengadap perempuan sahaja.

Keduanya, kalau mengadap perempuan pun tidak makruh, tambahan pula kalau mengadap lelaki. Kerana kalau lelaki mengadap lelaki, lagilah tidak mengganggu. Kerana kalau lelaki mengadap perempuan, ada kemungkinan fikirannya akan terganggu, tapi Nabi boleh sahaja solat mengadap Aisyah.

Ketiga, lelaki lebih terganggu jikalau ada perempuan di depannya. Tapi solat baginda tidak terjejas. Maka, kalau orang lain, tentulah tidak terganggu kalau yang di hadapannya adalah lelaki. Maka, hukum ini juga boleh dipakai untuk semua orang. Bukan hanya kepada Nabi sahaja. Ini kena kena pastikan bahawa ianya terpakai untuk semua orang. Kerana ada hukum yang khusus untuk Nabi sahaja. Contohnya, hanya Nabi sahaja yang dibenarkan kahwin lebih dari empat.

Tapi adakah jelas bahawa Aisyah mengadap baginda? Ada kemungkinan beliau membelakangi Nabi? Tapi, kalau kita lihat dalam perkataan Aisyah itu, beliau ada mengatakan bahawa beliau tidak suka mengadap baginda. Itu menunjukkan ada masanya Aisyah memang mengadap baginda dan beliau tidak suka.

Adakah dengan kata Aisyah yang dia tidak suka mengadap baginda dalam solat itu dikira sebagai ianya makruh? Ulama mengatakan ini adalah ijtihad Aisyah sahaja. Bukan kata-kata Nabi. Nabi tak pernah larang pun. Kalau ianya makruh, tentulah Nabi tidak akan buat atau Nabi akan tegur awal-awal lagi. Kerana Nabi tidak akan buat perkara makruh selalu. Nabi pun tak pesan kepada Aisyah apa-apa.

481 حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ خَلِيلٍ حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ مُسْهِرٍ عَنِ الاعْمَشِ عَنْ مُسْلِمٍ يَعْنِي ابْنَ صُبَيْحٍ عَنْ مَسْرُوقٍ عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهُ ذُكِرَ عِنْدَهَا مَا يَقْطَعُ الصَّلاةَ فَقَالُوا يَقْطَعُهَا الْكَلْبُ وَالْحِمَارُ وَالْمَرْأَةُ قَالَتْ لَقَدْ جَعَلْتُمُونَا كِلابًا لَقَدْ رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي وَإِنِّي لَبَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ وَأَنَا مُضْطَجِعَةٌ عَلَى السَّرِيرِ فَتَكُونُ لِيَ الْحَاجَةُ فَأَكْرَهُ أَنْ أَسْتَقْبِلَهُ فَأَنْسَلُّ انْسِلالا وَعَنِ الاعْمَشِ عَنْ إِبْرَاهِيمَ عَنِ الاسْوَدِ عَنْ عَائِشَةَ نَحْوَهُ *

481. Telah menceritakan kepada kami Isma’il bin Khalil telah menceritakan kepada kami ‘Ali bin Mushir dari Al A’masy dari Muslim – yakni Abu Shubaih – dari Masruq dari ‘Aisyah, bahawa pernah disebutkan di hadapan beliau tentang perkara-perkara yang dapat memotong salat. Kata mereka, ‘Yang dapat memotong salat diantaranya adalah anjing, himar dan wanita.’ Maka ‘Aisyah pun berkata, “Sungguh kalian telah menjadikan kami (kaum wanita) sebagaimana anjing-anjing. Padahal aku sendiri pernah melihat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan salat, dalam keadaan aku berada di antara baginda dan kiblat. Aku berbaring di atas katil. Apabila aku ada hajat dan aku tidak senang menghadap baginda, maka aku menggelongsor (meloloskan diri melalui kaki katil).” Dan dari Al A’masy dari Ibrahim dari Al Aswad dari ‘Aisyah seperti ini.”

Lompat ke hadis yang seterusnya

Rujuk permulaan perbincangan tentang sutrah di sini

Lompat kepada permulaan kitab solat

 

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 104 & 105 Bab Dosa Orang Yang Lalu Di Hadapan Orang Yang Bersembahyang January 9, 2014

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 2:10 pm

بَاب إِثْمِ الْمَارِّ بَيْنَ يَدَيِ الْمُصَلِّي

Bab 74 Dosa Orang Yang Lalu Di Hadapan Orang Yang Bersembahyang.

Tajuk ini hendak menceritakan tentang dosa besar kepada orang yang melintas di hadapan orang yang sedang solat. Sebelum ini telah diberikan tajuk yang menyuruh kita sekat orang yang hendak lalu di hadapan kita kalau kita sedang solat. Tapi kenapa nak kena sekat? Itulah yang hendak dijelaskan dalam hadis tajuk ini. Kita perlu menyekat orang yang hendak lalu itu sebab dosanya adalah dosa yang besar. Inilah jawapan yang diberikan Imam Bukhari dalam tajuknya kali ini.

Kenapa Imam Bukhari bawa tajuk ini? Ada beberapa maksud yang dibincangkan oleh ulama:

1. Imam Bukhari hendak menerangkan maksud hadis yang dibawakan dibawah. مَاذَا عَلَيْهِ yang dimaksudkan dalam hadis itu adalah ‘dosa’. Kerana takut ada yang tidak faham apakah maksudnya.

2. Berapa besarkah dosanya? Imam Bukhari hendak memberitahu kita bahawa dosanya adalah sangat besar. Kerana kalaulah kita tahu betapa besar dosanya, kita akan sanggup tunggu untuk satu waktu yang lama. Yang disebut dalam hadis ini adalah 40. Tidak pasti 40 apa: 40 hari, bulan atau tahun. Kalau 40 jam pun dah lama dah. Dan dalam riwayat yang lain, ada disebut 40 itu bermaksud ’40 tahun’. Maka besarlah sangat dosanya. Jadi kenalah berhati hati dan berjaga apabila kita hendak melintas di hadapan orang, terutama semasa dalam masjid. Kerana dalam masjid, ramai orang yang sedang solat.

3. Menjelaskan kenapa dalam hadis sebelum ini, Nabi suruh tahan orang yang nak lalu. Persoalan yang timbul adalah: Faedahnya kepada siapa? Imam Bukhari hendak menyatakan faedahnya adalah kepada orang yang melintas. Kesian padanya kerana berdosa besar kalau dia melintas. Itu adalah pendapat Imam Bukhari. Tapi ada juga ulama yang berpendapat bahawa faedahnya kepada orang yang solat itu. Kerana akan mengurangkan pahalanya. Ada atsar yang menyatakan jikalau kita membiarkan orang melintas di hadapan kita, akan mengurangkan separuh pahala solat kita. Tapi bagaimana pula pahala kita boleh bergantung kepada orang lain pula? Itu adalah dari atsar sahabi. Dan sahabat itu adil dan tentu mereka dapat dari Nabi. Tapi setelah dikaji, atsar-atsar itu ada masalahnya masing-masing. Sebab itu Imam Bukhari tidak membawakan riwayat-riwayat itu dan berpendapat bahawa faedah ditahan orang yang hendak melintas di hadapan orang yang solat adalah kepada orang yang hendak melintas itu.

Beberapa keadaan dan hukumnya:

1. Ada ketika, orang yang melintas itu yang berdosa dan orang yang solat itu tidak berdosa. Ini berlaku apabila dia sudah ada sutrah dan memang ada jalan lain – dia tidak menghalang jalan orang untuk lalu – contohnya, dia solat dibelakang tiang, bukan di hadapan pintu laluan. Inilah yang kita boleh ambil dari maksud hadis ini.

2. Ada ketikanya, orang yang bersolat itu yang berdosa dan orang yang melintas itu tidak berdosa. Ini berlaku apabila orang yang bersolat itu tidak ada sutrah dan tiada jalan lain untuk orang lain lalu.

3. Dua-dua dosa. Ini berlaku apabila orang yang solat tidak ada sutrah dan masih ada jalan lain untuk orang itu lalu.

4. Dua-dua tidak berdosa. Ini apabila tidak ada jalan lain. Dan orang yang bersolat itu ada sutrah.

Zahir hadis yang dibawa dibawah ini adalah tentang ‘melintas’ sahaja. Bagaimana kalau duduk di hadapan orang yang bersolat. Tidakkah itu dikira mengganggu orang yang sedang solat? Ada hadis yang menunjukkan tidak mengapa. Kita pun telah belajar bagaimana Aisyah pernah berada di atas katil di hadapan Nabi yang sedang bersolat. Dan ada riwayat yang menceritakan bagaimana sahabat-sahabat akan menggunakan sahabat yang lain untuk duduk di hadapan mereka semasa solat sebagai sutrah. Memang kalau kita hendak fikirkan sama sahaja keadaannya, kalau orang melintas di hadapan dan kalau orang yang duduk di hadapan kita. Tapi itulah agama, kita mengikut nas-nas yang telah disampaikan kepada kita. Kalau kita nak fikirkan sebab apa tidak boleh melintas itu, kita tidak dapat tahu. Jadi kita terima tidak boleh lintas dan kalau berada di hadapan tidak termasuk dalam larangan itu.

Kalau lintas depan makmum boleh. Ini pun kita telah belajar sebelum ini. Kerana sutrah makmum adalah sutrah imam.

480 حَدَّثَنَا عَبْدُاللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ أَبِي النَّضْرِ مَوْلَى عُمَرَ بْنِ عُبَيْدِاللَّهِ عَنْ بُسْرِ بْنِ سَعِيدٍ أَنَّ زَيْدَ ابْنَ خَالِدٍ أَرْسَلَهُ إِلَى أَبِي جُهَيْمٍ يَسْأَلُهُ مَاذَا سَمِعَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَارِّ بَيْنَ يَدَيِ الْمُصَلِّي فَقَالَ أَبُو جُهَيْمٍ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ يَعْلَمُ الْمَارُّ بَيْنَ يَدَيِ الْمُصَلِّي مَاذَا عَلَيْهِ لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَمُرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ قَالَ أَبُو النَّضْرِ لا أَدْرِي أَقَالَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا أَوْ شَهْرًا أَوْ سَنَةً

480. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengabarkan kepada kami Malik dari Abu An Nadlr mantan budak ‘Umar bin ‘Abaidullah dari Busr bin Sa’id bahwa Zaid bin Khalid mengutusnya kepada Abu Juhaim untuk menanyakan apa yang didengarnya dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang orang yang lalu di depan orang yang sedang salat. Abu Juhaim lalu berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sekiranya orang yang hendak lalu di depan orang yang mengerjakan salat mengetahui apa akibat yang akan ia tanggung, niscaya ia berdiri sahaja selama empat puluh lebih baik baginya dari pada dia melintas di depan orang yang sedang salat.” Abu An Nadlr berkata, ” Aku tidak tahu yang dimaksud dengan jumlah ’empat puluh itu’, apakah empat puluh hari, atau bulan, atau tahun.”

Soalan yang diajukan itu adalah ditanya oleh sahabat juga. Kerana dia hendak memastikan apakah hukumnya. Mungkin dia pun sudah tahu, tapi dia hendak memastikan.

Ada riwayat lain yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan 40 itu adalah 40 tahun. Tapi Imam Bukhari tidak memilih riwayat itu, dan Imam Bukhari pilih hadis yang diatas kerana padanya, ianya lebih kuat. Yang penting adalah mereka yang melintas depan orang yang solat adalah berdosa. Kenalah tunggu jangan melintas.

Pengajaran yang boleh didapati dari hadis ini:

  1. Haram melintas di hadapan orang yang solat. Lihatlah ancaman yang diberikan dalam hadis ini. Apabila dikatakan, kalaulah orang itu tahu betapa besarnya dosa melintas di hadapan orang yang solat, mereka akan tunggu lama, itu adalah tanda ianya adalah dosa besar.
  2. Larangan keras untuk lalu di hadapan orang yang solat.
  3. Melintas di hadapan orang yang sedang bersolat adalah satu perbuatan yang tercela. Dosa besar.
  4. Harus berpegang dengan hadis Ahad. Zaid bin Khalid telah menyuruh Busr bin Sa’id untuk bertanya kepada Abu Juhaim dan apabila Busr membawa pulang maklumat yang diterimanya, dia berpegang dengan maklumat itu.
  5. Perkataan ‘Sekiranya’ boleh dijadikan sebagai ancaman. Bukan termasuk larangan kata ‘kalau’. Nabi pernah melarang umat menggunakan perkataan ‘kalaulah’. Contohnya manusia selalu berkata: Sekiranya/kalaulah aku tahu ada orang itu di situ, aku tidak akan datang….. Kalaulah aku tahu, perniagaan ini akan gagal, aku tak akan masuk berniaga…. Itu semua adalah perkataan-perkataan yang salahkan takdir. Dan cara penggunaan perkataan ‘sekiranya’, ‘kalaulah’ dalam hadis ini tidak begitu.
  6. Ada ulama yang berpendapat bahawa dosa besar kalau melintas itu hanya kepada mereka yang tahu. Antara yang berkata begitu adalah Ibn Battal. Tapi, perlu dijelaskan lagi. Sebab kalau salah faham, ini boleh menyebabkan manusia tidak mahu belajar. Mereka akan rasa susah kalau dah ada ilmu. Semua nak kena jaga. Maka, ramailah nanti yang terus nak jadi orang yang jahil. Maksud Ibn Battal itu mungkin kepada mereka yang tidak tahu, tapi dalam lingkungan yang munasabah. Contohnya, kepada mereka yang baru masuk Islam. Mereka baru sangat masuk Islam sampaikan mereka belum lagi belajar agama. Kerana kalau kita yang dah lama Islam ini, kenalah tahu perkara-perkara sebegini. Kerana mempelajari agama adalah fardhu ain. Tambahan pula kalau benda berkenaan dengan solat kerana semua orang bersolat. Tidak boleh tidak. Satu lagi maksud orang yang tidak tahu adalah seperti mereka yang tinggal di tempat langsung tidak ada guru yang boleh mengajar mereka tentang ilmu agama. Kalau ada guru yang boleh mengajar, kalau mereka tidak belajar, itu adalah kecuaian dirinya.
  7. Ancaman berat itu kepada yang melintas sahaja. Tidak kepada yang berdiri tetap.
  8. Kalau makmum, boleh lintas. Kerana kita telah belajar sebelum ini, bahawa sutrah makmum itu adalah sutrah imam.
  9. Kebaikan menuntut ilmu dan memastikan tentang ilmu yang mereka pelajari.
  10. Jangan solat di laluan orang lalu lalang tanpa sutrah.
  11. Dalam hadis ini, terdapat syak perawi – iaitu perawi tidak tahu samada 40 yang dimaksudkan adalah 4o hari, bulan atau tahu. Ini menunjukkan betapa amanahnya para perawi itu.  Mereka tidak agak-agak. Kalau mereka tidak tahu, mereka akan cakap.
  12. Bilangan 40 selalu digunakan dalam bahasa Arab untuk menunjukkan kuantiti yang banyak. Tidak terhad bilangannya itu. Tapi ada juga kemungkinan Nabi memang memaksudkan 40.

Lompat ke hadis yang seterusnya

Rujuk kuliah Maulana di sini

Rujuk permulaan perbincangan tentang sutrah di sini

Lompat kepada permulaan kitab solat