Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 12 Bab Jika Seseorang Bersembahyang Dengan Memakai Pakaian Yang Ada Lambang Salib Ataupun Gambar-Gambar Lain

بَاب إِنْ صَلَّى فِي ثَوْبٍ مُصَلَّبٍ أَوْ تَصَاوِيرَ هَلْ تَفْسُدُ صَلَاتُهُ وَمَا يُنْهَى عَنْ ذَلِكَ

Bab 15 Jika Seseorang Bersembahyang Dengan Memakai Pakaian Yang Ada Lambang Salib Ataupun Gambar-Gambar Lain (Lain Padanya), Adakah Batal Sembahyangnya? Dan Bab Pakaian-Pakaian Yang Dilarang Memakainya Pada Ketika Bersembahyang

Sambungan berkenaan pakaian yang dilarang. Setakat manakah larangannya?

Dalam tajuk ini sebenarnya banyak juzuk. Pertamanya, tentang pakaian bergambar salib. Keduanya, pakaian yang bergambar. Sebelum ini tentang baju bercorak. Samada gambar adalah gambar makhluk bernyawa atau tidak. Ketiganya, hukum solat dengan pakaian-pakaian itu. Keempat, tentang pakaian yang dilarang dalam solat.

Kain itu samada dipakai atau diletak berdekatan. Kerana dalam tajuk Imam Bukhari meletakkan tajuk memakai, tapi dalam hadis yang diberikan sebagai dalil, kain itu tidak dipakai.
Bukhari sebenarnya tak nyatakan hukum dalam tajuknya. Hanya pertanyaan. Itu adalah kaedah dia. Isyarat kepada ada khilaf. Imam Bukhari tahu bahawa ada khilaf ulama tentang perkara ini dan mereka pun ada hujjah masing-masing. Tapi kita tahu bahawa jawapan kepada soalan yang dikemukakan dalam tajuk diatas ada dalam hadis. Kalau mengerti apa yang hendak disampaikan oleh Imam Bukhari, maka kita akan tahu, apakah pegangan beliau. Pada Bukhari, memakai pakaian sebegitu adalah makruh. Tidak batal solatt itu. Kerana padanya, pakaian dalam solat hanya kena tutup aurat dan bersih. Kita tahu bahawa ianya tidak membatalkan solat sebab Nabi tak henti solat. Kalau solat dia itu batal, dia tentu sudah memberhentikan solatnya. Dia pun kemudian dari itu, tidak larang dengan jelas hingga menunjukkan bahawa jelas bahawa solat tidak sah. Cuma memang ada ulama yang kata tak sah. Perbezaan yang ada ini adalah sebab mereka menggunakan kaedah yang berbeza. Adakah apabila Nabi suruh buang kain langsir itu menunjukkan bahawa solat batal atau tidak. Begitu juga jikalau ada kata-kata Nabi yang mengatakan dalam bentuk larangan, adakah ianya wajib untuk diikuti atau sunat sahaja?

Jelas bahawa akan rosak akidah seseorang yang pakai salib dengan menganggap ia mulia. Tapi kalau dia tak perasan bahawa ada lambang salib? Atau ada lambang macam salib tapi kita tak anggap ia mulia? Iaitu samada ia ada dibaju atau di tempat lain seperti di pinggan makan? Tidak pernah hadis yang kata Nabi larang sebegitu. Sepatutnya Nabi kena cakap kalau salah. Jadi, daripada ini, Imam Bukhari mengambil pendekatan bahawa tidak batal solat.

Bagaimana dengan ada gambar? Di zaman sekarang, gambar ada merata-rata termasuklah ada dalam duit dan kita sentiasa membawa duit itu dalam dompet atau kocek kita. Ulama membahagikan pula mana gambar yang haram dan mana yang tidak. Ada yang membahagikan samada gambar itu adalah benda bernyawa atau tidak. Samada gambar itu penuh atau tidak – kerana kalau tak penuh, tentulah tidak dapat hidup – macam gambar harimau kepala sahaja. Kemudian, ada yang membahagikan jikalau gambar itu dipuja atau tidak. Kerana faham kenapakah Nabi melarang gambar. Nabi tak beri ada gambar kerana pada zamannya gambar-gambar itu dipuja. Jadi Nabi melarang ada gambar kerana baginda nak hapuskan yang boleh menyebabakan manusia jadi syirik. Dan tidak semestinya hanya gambar binatang atau makhluk hidup sahaja yang boleh dipuja. Yang bukan binatang pun ada dipuja seperti gambar matahari – dipuja oleh orang Jepun, contohnya. Atau gambar pokok Krismas, atau gambar pokok yang dipuja oleh orang Hindu dan sebagainya. Pendek kata, kita kena sensitif dengan gambar yang digunakan, jangan guna gambar item yang dipuja orang kafir.

Jangan taksub sangat tentang gambar ini. Ingatlah bahawa dalam TV pun ada gambar juga. Dan gambar ini penting dalam pembelajaran. Contohnya nak ajar tentang anatomi spesimen. Begitu juga kalau ada yang kata gambar itu adalah benda yang hidup, bagaimana pula dengan robot? Bukankah robot itu memang dah sebagai bentuk manusia dan boleh bergerak pula lagi? Bagaimana pula dengan gambar Pasport? Gambar itu perlu, kalau tidak, tidak dapat dipastikan siapakah pemilik passport itu dengan cepat. Dan dalam dunia polis, gambar penjenayah amat penting untuk diletakkan supaya orang kenal siapakah penjenayah. Maka, dalam banyak keadaan, memang gambar itu diperlukan. Kita kena ingat bahawa asal hukum adalah nak tutup pintu syirik. Menjaga aqidah itu yang penting.

Kalau orang lain, perbuatan itu adalah makruh. Tapi Nabi tidak membuat yang makruh. Perbuatan Nabi itu adalah untuk mengajar umatnya bahawa ianya tidak haram. Kerana kalau baginda tidak buat, mungkin manusia akan sangka bahawa perbuatan itu adalah haram. Ini adalah satu pendapat. 

361 – حَدَّثَنَا أَبُو مَعْمَرٍ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَمْرٍو قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَارِثِ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ صُهَيْبٍ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ كَانَ قِرَامٌ لِعَائِشَةَ سَتَرَتْ بِهِ جَانِبَ بَيْتِهَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمِيطِي عَنَّا قِرَامَكِ هَذَا فَإِنَّهُ لَا تَزَالُ تَصَاوِيرُهُ تَعْرِضُ فِي صَلَاتِي

361. Telah menceritakan kepada kami Abu Ma’mar ‘Abdullah bin ‘Amru berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul Warits berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul ‘Aziz bin Shuhaib dari Anas bin Malik, Aisyah ada sehelai langsir, beliau menutup satu sudut rumahnya dengan langsir itu. Setelah melihatnya, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam lalu bersabda: “Buangkan langsir itu dari hadapanku, kerana gambar-gambarnya terus mengganggu salatku.”

Tidak jelas didalam hadis ini yang kain itu mengandungi gambar salib. Tapi kenapa Bukhari letak didalam tajuk itu berkenaan dengan salib pula? Dan bukan Nabi pakai pun pakaian yang ada salib. Padahal dalam tajuk Bukhari letak ‘memakai’.

Langsir Nabi suruh buang itu mengandungi gambar kuda bersayap. Ini kita ketahui dari riwayat yang lain. Ini menunjukkan Nabi larang perkara yang ada unsur khurafat, tahyul dan khayalan. Islam mengajar umatnya duduk dalam realiti. Mana ada kuda yang ada sayap. Oleh itu, jangan kita letak gambar yang sebegitu, samada ada orang sembah gambar itu atau sebab khayalan. Walaubagaimanapun, Imam Bukhari kata solat itu sah. Ada pula yang kata bila Nabi dah larang, kita tak boleh pakai dan kalau pakai juga, solat tak sah. Itu adalah pendapat ulama yang lain. Mereka menggunakan kaedah yang berbeza. Sebab itu Bukhari letak dalam bentuk soalan sebab ada khilaf. Imam Bukhari menghormati pendapat orang lain. Tapi dalam kitabnya ini, tentulah dia hendak memberitahu pendapat dia.

Jadi, kenapa Bukhari letak pasal salib pula?:

1. Larangan itu berdasarkan kaedah lebih lebih lagi. Atau dinamakan Mimbaabil awla. Kalau langsir itu dilarang, memakainya lagi terlarang. Kalau gambar pun dilarang, kalau gambar salib lagilah.
2. Gambar yang melibatkan perkara khayalan pun tak boleh.
3. Kalau letak pada langsir pun tidak elok, kalau dipakai lagi tak elok.
4. Makruh kalau gantung. Kalau dipakai, lagilah.

Kalau pakai pakaian yang ada gambar Salib lagi teruk . Nabi tidak biarkan. Membawa kesesatan.

Selepas Nabi suruh buang, Aisyah telah potong-potong kain langsir itu dan buat jadi sampul bantal. Nabi tengok dan baginda tidak marah. Kerana dalam keadaan itu, sudah tidak muliakan. Lain kalau digantung.

Antara pengajaran lain yang kita boleh dapat dari hadis ini:

Langsir boleh pakai. Yang Nabi larang itu bukanlah sebab pasang langsir, tapi sebab langsir itu ada gambar tak elok. Ini adalah dinamakan Haram lighairih. Iaitu haram sebab benda lain. Berbeza dengan daging babi, contohnya. Itu dinamakan haram dizaatih. Daging babi akan sentiasa haram, buatlah masak macam mana pun. Akan jadi haram juga.

Elok jikalau seorang isteri itu ingin buat sesuatu untuk menyenangkan hati suami. Aisyah pasang langsir itu pun sebab nak mencantikkan rumah.

Dilarang memasang salib atau sesuatu yang dipuja. Terutama kalau nampak masa solat.

Kalau pakai lagi dilarang.

Orang nak solat kena hilangkan apa-apa perkara yang boleh hilangkan khusyuk.

Gambar mengganggu, bukan membatalkan. Ini kerana kita boleh lihat bahawa Nabi tak solat semula.

Jangan pakai baju bertulisan. Kurang pahala. Nanti orang lain akan tengok pada baju kita dan cuba baca pula. Itu akan mengurangkan pahala orang yang pakai baju itu dan yang melihat. Rugi sahaja, padahal datang solat berjemaah tu nak pahala lebih.

Lagi makruh kalau ada patung. Ada ulama sampai kata kalau patung adalah haram.

Islam membenarkan perhiasan yang cantik.

Jangan ada perkara yang boleh menyebabkan jin syaitan suka bertempek. Mereka suka tempat macam gambar yang tidak elok. Padahal kita disuruh buat supaya buat supaya malaikat suka dekat dengan kita. Baru bertambah baik hidup kita.

Kuliah Maulana Asri

Advertisements

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 11 Bab Jika Seseorang Bersembahyang Dengan Mengenakan Pakaian Bercorak-Corak Dan Dia Pula Memerhatikannya

بَاب إِذَا صَلَّى فِي ثَوْبٍ لَهُ أَعْلَامٌ وَنَظَرَ إِلَى عَلَمِهَا

Bab 14 Jika Seseorang Bersembahyang Dengan Mengenakan Pakaian Bercorak-Corak Dan Dia Pula Memerhatikannya

Pakai yang bercorak-corak elok untuk tidak dipakai. Kepada sesetengah orang yang mungkin terganggu dengan corak itu. Kalau tak terganggu tidak mengapa. Mungkin seseorang itu tidak terganggu kerana dah biasa lihat. Lebih-lebih pada zaman sekarang, dah banyak corak dah. Tapi jangannya pakai corak yang pelik sangat atau dengan tulisan yang menyebabkan orang lain nampak dan terbaca pula. Tapi, walaupun tidak molek, ini tidaklah sampai haram hukumnya. Dan sah solat mereka yang memakai baju bercorak itu. Asalkan pakaian itu suci dan tutup aurat. Itulah yang hendak disampaikan.

Dan tajuk itu mengatakan kepada mereka yang ‘memerhatikan’. Kalau seseorang itu tidak lihat, atau tidak boleh melihat, tidak mengapa. Seperti seorang yang buta, tentulah dia tidak nampak corak itu.

Nabi telah mengambil langkah untuk tidak pakai lagi selimut bercorak itu. Tapi solat itu sah. Walau kurang khusyuk. Kita tahu solat itu sah sebab Nabi tak ulang balik solatnya. Kalau solat itu tidak sah, sudah semestinya Nabi kena ulang solat dia. Menunjukkan ianya adalah makruh sahaja. Oleh itu, elok dijauhkan perkara yang boleh mengganggu solat.

Secara ringkasnya, pakaian bercorak tidak haram untuk dipakai samada dalam solat atau luar solat. Itu adalah pendapat jumhur termasuk Imam Bukhari. Kalau haram dipakai untuk solat, tentu Nabi pesan semasa hantar balik kain itu kepada Abu Jahm agar beliau tidak memakainya. Tapi tidak ada disebut di mana-mana yang Nabi ada kata begitu. Salah kalau ianya adalah haram dan Nabi tidak memberitahu bahawa ianya haram. Itu pegangan kita tentang Nabi, iaitu baginda kena cakap kepada umatnya kerana itu adalah tugas baginda.

Perbuatan memakai baju bercorak yang dapat mengganggu kekusyukan solat itu, hukumnya adalah samada makruf atau khilaf awla – lebih ringan dari makruh – atau dipanggil juga makruh tanzihi. Yang berat ke arah haram dinamakan makruh tahrimi. Lebih baik tak pakai pakaian yang bercorak. Tapi kenapa Nabi buat? Nabi buat menjadi pengajaran kepada kita menunjukkan yang ianya tidak haram. Tidak selalu Nabi buat perkara sebegini. Menunjukkan boleh kalau kita buat. Nabi takkan buat benda haram. Kerana Nabi adalah maksum. Jangan kita ada cakap yang Nabi ada buat benda-benda yang haram.

Mengelak dari perkara yang boleh mengganggu solat bukan hanya berkenaan pakaian sahaja. Apa-apa sahaja yang mengganggu solat. Macam pasang radio atau tv waktu solat. Solat adalah amat penting dan perlu dijaga kesempurnaannya. Hilangkan apa sahaja yang boleh mengganggu. Contohnya, anak kita menangis sebab lampinnya penuh. Itupun boleh mengganggu solat kita. Jangan sebab kita nak jemaah suami isteri sampai kita lupakan anak tidak berjaga sampai terganggu solat sebab anak menangis. Dan jangan kita mengganggu pula kekusyukan orang lain. Seperti contoh, ada yang pakai baju yang ada tulisan kat belakang bajunya. Maka, orang yang dibelakang pula yang tidak khusyuk solatnya. Maka yang kurang pahala adalah kita yang pakai baju bertulisan itu dan orang yang membacanya di belakang. Ini adalah amat tidak elok sekali.

360 – حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يُونُسَ قَالَ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ شِهَابٍ عَنْ عُرْوَةَ عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى فِي خَمِيصَةٍ لَهَا أَعْلَامٌ فَنَظَرَ إِلَى أَعْلَامِهَا نَظْرَةً فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ اذْهَبُوا بِخَمِيصَتِي هَذِهِ إِلَى أَبِي جَهْمٍ وَأْتُونِي بِأَنْبِجَانِيَّةِ أَبِي جَهْمٍ فَإِنَّهَا أَلْهَتْنِي آنِفًا عَنْ صَلَاتِي
وَقَالَ هِشَامُ بْنُ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُنْتُ أَنْظُرُ إِلَى عَلَمِهَا وَأَنَا فِي الصَّلَاةِ فَأَخَافُ أَنْ تَفْتِنَنِي

360. Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Yunus berkata, telah menceritakan kepada kami Ibrahim bin Sa’d berkata, telah menceritakan kepada kami Ibnu Syihab dari ‘Urwah dari ‘Aisyah bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam salat dengan memakai sehelai selimut yang bercorak-corak. Baginda memerhatikannya sejenak. Apabila selesai salat baginda berkata: “Bawa pergi selimutku ini kepada Abu Jahm dan bawa ke mari selimut ambijaninya (selimut kosong yang tidak bercorak-corak). Kerana sesungguhnya selimut ini tadi telah melekakan aku daripada sembahyangku.” Hisyam bin ‘Urwah berkata dari Bapaknya dari ‘Aisyah berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tadi ketika aku bersembahyang melihat pada coraknya dan aku khawatir ia mempesonakan daku.”

Abu Jahm adalah orang yang memberikan hadiah selimut bercorak itu kepada Nabi. Sebelum itu Abu Jahm telah membawa dua jenis selimut kepada Nabi sebagai hadiah. Satu adalah kosong (ambijani) dan satu lagi yang bercorak itu. Nabi memilih kain yang bercorak sebab cantik. Kebiasaan orang Arab adalah pakai selimut macam shawl. Bukanlah besar kain itu macam selimut. Nabi pun selalu pakai sebegitu. Dia akan balut kain itu di bahagian belakang. Bukan letak pada bahu sahaja sebagaimana yang dilakukan oleh orang sekarang.

Siapakah Abu Jahm? Selain daripada hadis ini, namanya tersebut sekali lagi di dalam hadis melibatkan Fatimah bint Qais. Fatimah telah dipinang oleh dua orang. Abu Jahm dan Muawiyah. Maka dia telah tanya Nabi siapakah yang lebih baik antara keduanya. Nabi kata Abu Jahm tak letak tongkat turunkan tongkat dari bahunya dan Muawiyah pula sesak. Tidak pasti dengan jelas apakah yang dimaksudkan dengan ‘tidak pernah menurunkan tongkatnya dari bahu’. Satu, mungkin bermaksud dia adalah seorang yang garang. Kedua, ia mungkin bermakna dia adalah seorang yang suka berkelana kerana mereka kalau kalau berkelana akan menggunakan tongkat. Jadi kalau seorang itu suka berkelana, mungkin ada kesusahan sedikit kepada sang isteri untuk bermesra dengan suaminya kerana suaminya selalu tidak ada. Nabi telah menyarankan kepada Fatimah untuk mengahwini Ubaadah. Walaupun Ubaadah seorang yang tidak kacak, kerana itu mulanya Fatimah tidak minat, tapi akhirnya dia telah berkahwin dengan Ubaadah. Kemudian dia telah berkata bahawa dia gembira dengan Ubaadah. Abu Jahm adalah seorang yang panjang umur. Dia adalah antara mereka yang tampil ke hadapan untuk menguruskan jenazah Saidina Uthman. Waktu itu, ramai yang tidak berani menguruskannya kerana keadaan sudah kecoh.

Hadis Fatimah bint Qais itu juga menunjukkan bahawa keluarga Abu Sufyan telah berhijrah ke Madinah sebelum Fathul Makkah. Kerana itulah Muawiyah seorang yang miskin. Kerana apabila mereka tinggalkan Mekkah, mereka terpaksa meninggalkan segala kemewahan mereka di Mekkah.

Macam mana Nabi boleh terganggu dengan corak selimut itu? Padahal dia dah pernah lihat syurga dalam solatnya? Alangkan melihat syurga pun tidak mengganggu solatnya, takkan perkara dunia kecil ini sudah mengganggunya? Ini perlu dijelaskan. Ada kemungkinan kain itu ‘hampir’ melekakan baginda, bukan sudah melekakan. Tidak benar-benar berlaku lagi. Itu tidak sesuai dikatakan kepada Nabi. Dalam melihat hadis, kena lihat apakah yang sesuai kepada Nabi. Kena andaikan. Itu kaedah ulama. Dalam riwayat yang kedua pun ada kata Nabi ‘khuatir’ ia akan mempersonakan baginda. Maknanya belum terjadi lagi. Ini adalah pendapat yang pertama.

Pendapat kedua mengatakan tidak perlu di takwil hadis itu. Kekalkan dengan makna Nabi terleka itu. Tetapi sedikit sahaja Nabi leka yang tidak menjadi kesalahan. Nabi leka sedikit sahaja dia dah terasa dah dan sudah tidak diterima oleh Nabi. Kalau berlaku apa yang berlaku kepada Nabi, tidak menjadi apa-apa. Nabi terleka sedikit tetapi tidak sampai mempersonakan. Kerana Nabi itu seorang yang sensitif, sebelum terkesan lagi Nabi dah terasa dah. Yang Nabi bimbang itu adalah mungkin akan terus sampai ke tahap mempersonakan baginda.

Kenapa Nabi bagi balik kepada Abu Jahm? Bukankah itu nanti akan menyebabkan Abu Jahm pula yang akan terleka? Tapi bila Nabi pulangkan, tidaklah Nabi suruh dia pakai untuk solat. Tapi, kalau begitu, ada juga kemungkinan Abu Jahm akan guna untuk solat. Tentulah dia akan lagi leka, kan? Padahal, Nabi sepatutnya bukan jaga diri baginda sahaja tapi kepada umatnya juga. Takkan baginda nak lepaskan diri baginda sahaja. Ulama membincangkan apakah kemungkinannya:

  1. Kain itu mungkin tidak menyebabkan Abu Jahm terpesona kerana dia adalah seorang yang buta. Makruh itu hanya kalau seseorang itu boleh nampak corak kain itu. Kalau tidak nampak, tidak ada masalah. Itulah sebabnya Imam Bukhari membawakan perkataan ‘memerhatikannya’ dalam tajuknya. Kalau memang orang itu tak nampak atau pakai dibawah baju yang lain sampai tak nampak, tidak ada masalah. Benarkah Abu Jahm buta? Padahal dia dikatakan rajin berkelana. Tidak terjawab.
  2. Tidak semestinya sesuatu yang mengganggu Nabi akan mengganggu orang lain. Macam buah durian, hanya akan mengganggu orang yang meminatinya sahaja. Kalau tak minat durian, tidak kisah pun. Begitu juga, dalam zaman sekarang dah macam-macam jenis corak manusia pakai. Kalau corak itu manusia di zaman kita sudah biasa, sampaikan mereka tidak terkesan pun, tidaklah mengapa. Nabi mengajar secara praktikal. Yang tidak sesuai untuk seseorang tidak semestinya tidak sesuai untuk orang lain.

Antara pengajaran lain yang kita boleh dapati dari hadis ini:

  1. Hukumnya harus untuk pakai kain bercorak. Tidak batal. 
  2. Harus solat dengan memakai kain bercorak. Lelaki perempuan.
  3. Sedikit lintasan hati tidak membatalkan solat. Memanglah kurang pahala. Lima peringkat lintasan hati itu. Jangan sampai peringkat azam nak buat sesuatu. Kena tolak kalau perasaan itu datang.
  4. Kita hendaklah tinggalkan perkara yang menjauhkan kita dari Allah. Sebelum yang lebih buruk terjadi.
  5. Berhati dengan dunia dan fitnah personanya. Takut jadi hubbud dunya (cinta dunia).
  6. Larangan memandang sesuatu yang melalaikan dalam solat. 
  7. Boleh panggil seseorang dengan kuniah mereka. Kuniah itu adalah nama panggilan. Orang Arab memang suka pakai kuniah. Nabi panggil Abu Jahm dengan nama kuniah dia, nama sebenarnya lain. 
  8. Makruh menghiaskan mihrab masjid. Berpada-pada. Tidaklah perlu nak letak khat apa bagai. Sampaikan orang yang dalam solat teringin nak membaca ayat apakah itu. Sudahlah bila khat tu, orang yang melukiskan buat abstrak sebab kononnya cantik. Bukannya itu telah menyebabkan hilang khusyuk makmum? Takkan tak tahu bahawa Masjid Nabi kosong sahaja.
  9. Harus untuk beri dan terima hadiah.
  10. Boleh menerima hadiah dari orang yang lebih rendah taraf dari kita.
  11. Boleh mengambil hadiah dari orang buta atau yang kurang upaya.
  12. Boleh kembalikan hadiah kalau kita tahu dia tidak akan berkecil hati.
  13. Kena jaga hati sahabat handai supaya mereka jangan terkilan.
  14. Keharusan menukar barang kualiti tinggi dengan yang rendah oleh kerana sebab-sebab tertentu.
  15. Sesetengah corak tidak sesuai untuk seseorang. Kena sesuaikan dengan keadaan.
  16. Sesetengah corak tidak sesuai untuk digunakan dalam solat kerana akan melekakan seseorang.
  17. Corak dan gambar meninggalkan kesan kepada jiwa.
  18. Berbagai jenis kain dipakai Nabi dan sahabat.
  19. Nabi amat menjaga solatnya. Begitulah kita juga sepatutnya begitu. 

Kuliah Maulana Asri

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 10 Bab Apa Yang Disebutkan Tentang Paha

بَاب فِي كَمْ تُصَلِّي الْمَرْأَةُ فِي الثِّيَابِ

Bab 13 Berapa Helai Kain Perlu Dipakai Oleh Perempuan Untuk Bersembahyang

Sekarang Imam Bukhari membincangkan pakaian untuk perempuan pula. Sebelum ini banyak tentang aurat lelaki. Aurat perempuan dan lelaki tidak sama. Secara ringkasnya, Imam Bukhari nak kata bahawa walaupun perempuan itu ada sehelai kain sahaja, tapi dia kena juga solat sebab solat itu amat penting. Untuk perempuan, semua anggota kena tutup kecuali muka dan tangan. Ijmak ulama mengatakan bahawa tak boleh tutup muka dalam solat. Itu juga dijadikan hujah kepada mereka yang kata muka bukan aurat – jadi tidak perlu pakai purdah. Kerana kalau dalam solat pun tidak boleh tutup muka, tentulah tidak diwajibkan diluar solat.

Persoalan yang timbul adalah tentang kaki perempuan dalam solat. Adakah ianya aurat yang perlu ditutup atau tidak? Kepada Imam Abu Hanifah, ianya bukan aurat yang wajib ditutup.

وَقَالَ عِكْرِمَةُ لَوْ وَارَتْ جَسَدَهَا فِي ثَوْبٍ لَأَجَزْتُهُ

Dan berkata Ikrimah: Sembahyang seorang perempuan yang menutupi seluruh tubuhnya (selain muka dan dua tapak tangannya) dengan sehelai kain juga sah.

Tak jelas pegangan apa pegangan Imam Bukhari tentang kaki wanita, samada aurat atau tidak. Tidak juga dijelaskan di dalam kitab-kitab syarah Sahih Bukhari. Kita cuma boleh buat andaian, kerana kita nampak dia bawa kata-kata Ikrimah itu, macam dia anggap kaki adalah aurat juga. Kerana kata Ikrimah itu yang boleh terbuka hanyalah muka dan tapak tangan. Tapi kita tahu dalam perbahasan sebelum ini, bahawa Imam Bukhari memberikan pendapat tentang aurat kecil dan besar. Ada kemungkinan kaki itu dianggap oleh beliau sebagai aurat kecil sahaja.

359 – حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ قَالَ أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي عُرْوَةُ أَنَّ عَائِشَةَ قَالَتْ لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي الْفَجْرَ فَيَشْهَدُ مَعَهُ نِسَاءٌ مِنْ الْمُؤْمِنَاتِ مُتَلَفِّعَاتٍ فِي مُرُوطِهِنَّ ثُمَّ يَرْجِعْنَ إِلَى بُيُوتِهِنَّ مَا يَعْرِفُهُنَّ أَحَدٌ

359. Telah menceritakan kepada kami Abu Al Yaman berkata, telah mengabarkan kepada kami Syu’aib dari Az Zuhri berkata, telah mengabarkan kepadaku ‘Urwah bahwa ‘Aisyah berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam salat fajar dan ikut juga wanita-wanita Mu’minat yang wajahnya tertutup dengan kerudung, kemudian kembali ke rumah mereka masing-masing tanpa diketahui oleh seorangpun.”

Kuliah Maulana Asri