Sahih Bukhari / Kitab Tayammum / Bab Bertayammum Ketika Hadhar Yakni Tidak Bermusafir / Hadis 325

بَاب التَّيَمُّمِ فِي الْحَضَرِ إِذَا لَمْ يَجِدْ الْمَاءَ وَخَافَ فَوْتَ الصَّلَاةِ

Bab Bertayammum Ketika Hadhar Yakni Tidak Bermusafir. Apabila Seseorang Tidak Mendapati Air Dan Bimbang Akan Terlepas Waktu Solat

Dalam Islam, ada tiga jenis penempatan:

Mastautin: jikalau seseorang itu memang menetap di sesuatu tempat dan tidak ada niat untuk berpindah sampai bila-bila.

Mukim: Duduk di sesuatu kawasan dalam kadar agak lama. Tapi, tidak berniat nak tinggal terus di situ, kerana ada maksud untuk pergi ke tempat lain. Sebagai contoh, pelajar yang tinggal di Pondok Pengajian untuk belajar.

Musafir: untuk tinggal sekejap sahaja. Selalunya dalam masa beberapa hari sahaja.

Hadhar dalam tajuk yang Imam Bukhari letak itu bermaksud mereka yang mastautin atau mukim. Bolehkah mereka bertayamum dalam keadaan sebegitu? Soalan ini timbul kerana dalam dua-dua ayat tayammum, Allah letakkan kebolehan bertayamum itu jikalau dalam perjalanan.

Maknanya, tayamum dikaitkan dengan safar dan juga dalam keadaan sakit. Imam Bukhari buat tajuk ini, kerana dia takut orang faham hanya dalam dua keadaan itu sahaja tayamum dibenarkan. Sebab itu kena tengok Sunnah supaya jangan salah faham. Dalam ayat Qur’an itu, diletakkan perkataan: “jika engkau tidak mendapati air”. Banyak makna boleh difahami dengan maksud ‘tidak mendapati air’ itu. Bukan hanya dalam musafir sahaja.

وَبِهِ قَالَ عَطَاءٌ وَقَالَ الْحَسَنُ فِي الْمَرِيضِ عِنْدَهُ الْمَاءُ وَلَا يَجِدُ مَنْ يُنَاوِلُهُ يَتَيَمَّمُ وَأَقْبَلَ ابْنُ عُمَرَ مِنْ أَرْضِهِ بِالْجُرُفِ فَحَضَرَتْ الْعَصْرُ بِمَرْبَدِ النَّعَمِ فَصَلَّى ثُمَّ دَخَلَ الْمَدِينَةَ وَالشَّمْسُ مُرْتَفِعَةٌ فَلَمْ يُعِدْ

Pada pendapat Atha bertayammum dalam keadaan itu dibolehkan. Pendapat Hasan berhubung dengan orang sakit dan mempunyai air tetapi dia tidak mendapati orang yang boleh memberikan air kepadanya, dia boleh bertayammum. Ibn Umar datang daripada tanahnya di Juruf, waktu asar masuk ketika beliau berada di Marbadil Naam dan beliau terus solat (yakni dengan bertayammum) kemudian baru masuk ke Madinah. Matahari masa itu masih lagi tinggi. (Yakni waktu asar masih lagi luas) tapi beliau tidak mengulangi solatnya.

Syarah: Atha adalah seorang tabein yang sangat alim orangnya. Tapi walaupun begitu dia amat merendah diri. Dia tak bercakap banyak dengan orang. Dan dia jarang mahu jumpa orang. Kalau ada yang minta kebenaran nak ziarah dia pun dia akan tanya kenapa pula nak jumpa dia dan dia kata dia tidak layak diziarahi.

Dia kata, teruk sangat dunia ini kalau orang macam dia pun orang nak datang jumpa. Tapi manusia suka nak jumpa dia kerana apabila dia bercakap, seperti dia mendapat ilham kerana tinggi sungguh ilmunya.

Oleh kerana dia tinggal di Mekah, dia telah buat 70 kali haji. Dia menjadi rujukan semua mujtahid. Imam Bukhari pakai pendapat Atha ini sebagai isyarat bahawa itulah pendapat dia (Imam Bukhari) juga. Memang ada lagi pendapat ulama lain termasuk ada pendapat yang tak sama dengan pendapat dia, tapi Imam Bukhari nak beri isyarat bahawa dia bersetuju dengan pendapat Atha dalam hal ini. Bukanlah semua pendapat Atha dia pakai. Sebab Bukhari bukanlah seorang muqallid. Dia boleh datang dengan pendapat dia sendiri kerana dia juga seorang mujtahid.

Tapi daripada tajuk yang Imam Bukhari letak, kita dapati bahawa bukan boleh terus tayamum kalau bermukim/mastautin dan kita dapati tiada air. Kena ada kebimbangan akan terlepas waktu solat kalau tak tayamum juga.

Jadi, kena tunggu sampai hujung waktu dan selepas berusaha mencari air. Sebab, kalau kita solat awal, tiba-tiba jumpa air pula, maka itu tidak boleh. Dan lepas solat menggunakan tayammum itu tidak perlu qadha atau mengganti solat itu kalau ada lagi waktu. Ini adalah kerana solat itu telah dikira sah.

Ada juga keadaan dimana air ada, tapi tak boleh guna. Contohnya jikalau tiada orang yang boleh hulurkan air itu kepada kita. Katakanlah seseorang itu sudah lembik tak boleh nak gerak ke tempat air, dan tiada orang lain pula yang boleh tolong dia untuk mendapatkan air. Maka, dalam keadaan itu, dia boleh tayammum. Itu juga termasuk dalam keadaan ‘tidak dapati air’ sepertimana dalam ayat Qur’an.

Ini juga adalah pendapat Hasan Basri yang seorang tabein juga. Dia menjadi rujukan ramai orang, termasuklah ulama hadis dan juga ulama sufi. Hasan juga berpendapat kena tunggu hingga hujung waktu baru boleh guna tayamum, sama macam Imam Bukhari.

Ini adalah pendapat Ibn Umar juga. Tidak ada dalam kata-kata di atas itu yang kata dia bertayamum. Yang dalam kurungan itu adalah tambahan sahaja. Dan dia solat di awal waktu pula. Jadi, bagaimana pula Imam Bukhari menggunakan kisah Ibn Umar itu sebagai penguat kepada hujah dia (yang kata kena tunggu hujung waktu)? Itulah yang kena belajar, baru tahu. Kalau baca sendiri, boleh pening.

Memang Ibn Umar telah melakukan tayamum seperti dalam hadis itu, sebab ada disebutkan dia tayamum dalam kitab-kitab lain. Mungkin penyalin tercicir dalam menyebut atau Imam Bukhari nak mengajar kita supaya periksa juga dengan kitab lain. Sebab dalam kitab lain seperti Muwatta’ dan Musnad Imam Syafie ada mengatakan Ibn Umar tayamum pada ketika itu.

Kita boleh terima bahawa ada juga yang tercicir dalam Kitab Sahih Bukhari ini sebab ianya bukan Qur’an. Hanya Qur’an sahaja yang terselamat dari salah dan silap, walaupun satu huruf. Rosak akidah kita kalau kita kata ada satu huruf pun yang tertinggal dalam Qur’an. Tapi kalau kita ada kesilapan pada Kitab Sahih Bukhari, maka tidaklah salah.

Jarak antara tempat Ibn Umar solat itu dan Madinah sebenarnya dekat sahaja. Maknanya, dia bukanlah dikira sebagai musafir pada waktu itu, tapi dia bermukim. Kedudukan tempat itu hanya sebatu sahaja dari Madinah. Ini kerana dalam pendapat Imam Bukhari, jarak itu tidaklah dikira sebagai bermusafir lagi sebab dekat sangat.

Manakah syarat kedua (kena ada kebimbangan akan habis waktu solat)? Imam Bukhari berpendapat bahawa waktu itu Ibn Umar sangka yang dia akan berhenti lama. Dan kalau dia tidak solat juga pada waktu itu, dia memang tidak akan sempat sampai ke Madinah. Itulah sebabnya dia solat terus, walaupun luas lagi waktu Asar pada ketika itu. Maknanya, telah ada kebimbangan dalam dirinya bahawa dia tidak sempat bersolat di Madinah dalam waktu Asar.

Tetapi, bukankah selepas itu dia sampai ke Madinah, ada lagi masa? Itu adalah kerana dia sempat menyelesaikan urusannya awal di luar jangkaannya. Ataupun dia tidak jadi duduk lama di tempat itu. Maknanya, tidak mengulangi solat juga boleh. Begitulah Ibn Umar tidak mengulangi solat walaupun semasa dia sampai ke Madinah, ada waktu lagi.

Maknanya, perkiraan sama ada sempat atau tidak itu adalah perkiraan dalam diri sendiri. Kalau sendiri rasa tak sempat, sudah cukup dan boleh diterima. Kerana masa Ibn Umar bersolat itu, dia memang sangka dia tidak akan sempat nak sampai.

325 – حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ قَالَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ جَعْفَرِ بْنِ رَبِيعَةَ عَنْ الْأَعْرَجِ قَالَ سَمِعْتُ عُمَيْرًا مَوْلَى ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ أَقْبَلْتُ أَنَا وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ يَسَارٍ مَوْلَى مَيْمُونَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى دَخَلْنَا عَلَى أَبِي جُهَيْمِ بْنِ الْحَارِثِ بْنِ الصِّمَّةِ الْأَنْصَارِيِّ فَقَالَ أَبُو الْجُهَيْمِ الْأَنْصَارِيُّ أَقْبَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ نَحْوِ بِئْرِ جَمَلٍ فَلَقِيَهُ رَجُلٌ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى أَقْبَلَ عَلَى الْجِدَارِ فَمَسَحَ بِوَجْهِهِ وَيَدَيْهِ ثُمَّ رَدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ

325. Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Bukair berkata, telah menceritakan kepada kami Al Laits dari Ja’far bin Rabi’ah dari Al A’raj ia berkata, “Aku mendengar Umair mantan budak Ibnu Abbas, dia berkata, “Aku dan Abdullah bin Yasar, mantan budak Maimunah, isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengunjungi Abu Juhaim Ibnul Harits bin Ash Shimmah Al Anshari, dia berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam kembali dari Bi`ar Jamal (nama tempat), lalu ada seorang laki-laki menemui baginda seraya memberi salam, namun baginda tidak membalasnya. Baginda kemudian pergi ke dinding dan menepuk tangan ke dinding, lalu mengusap muka dan kedua belah tangannya. Baru kemudian membalas salam kepada orang itu.”

Syarah: Sekarang, Imam Bukhari bawa dalil dari Nabi pula. Dalam hadis ini juga ada dua syarat seperti yang telah ditetapkan oleh Imam Bukhari dalam tajuknya. Tapi tak disebut dengan jelas dalam hadis ini. Kerana itu kena belajar hadis dengan guru, kalau tidak, mungkin tidak nampak.

Imam Bukhari menggunakan ijtihad beliau dalam hal ini. Itulah tugas ulama-ulama, iaitu berusaha untuk mencapai kepada sesuatu hukum yang boleh diambil dari hadis berdasarkan kepada pemikiran mereka yang tinggi.

Dalam hadis ini, Nabi telah menepuk dinding untuk melakukan tayamum, baru baginda jawab salam sahabat itu. Di manakah syarat bimbang tidak sempat itu? Kerana baginda bimbang kalau baginda tidak jawab dengan segera, orang yang memberi salam itu akan pergi ke lorong lain dan baginda tidak sempat nak panggil dia balik.

Di mana pula bahagian tidak sempat solatnya? Waktu itu Nabi bukan nak solat pun. Di sini, Imam Bukhari menggunakan konsep Qiyas. Menjawab salam tidak perlu untuk berada dalam keadaan suci. Dalam perkara sunat macam itu pun Nabi tayamum, apatah lagi kalau dalam perkara yang lebih besar seperti solat yang memang memerlukan berada dalam keadaan suci?

Dan Nabi ketika itu berada di Bi`ar Jamal, iaitu tempat itu dalam Madinah juga. Maknanya Nabi dalam keadaan bermastautin, bukan dalam keadaan musafir. Jadi, hadis ini mencapai semua perkara: tidak dalam musafir, tiada air dan bimbang akan terlepas waktu.

Dalam hadis itu disebut Nabi tepuk dinding, bukan tanah. Memang ada hadis ini dalam riwayat lain yang mengatakan Nabi ketika itu mencucuk-cucuk dinding sebab nakkan debu, tapi riwayat itu tidak kuat. Dalam hadis yang dhaif itu juga dikatakan bahawa Nabi bertayamum dengan menyapu sampai ke lengan. Ini tidak ada dalam riwayat perawi lain dalam hadis yang sama. Yang memegang mengatakan kena sapu tangan sampai ke lengan pegang hadis inilah (tapi tidak kuat untuk dijadikan sebagai hujah).

Rumah di Madinah selalunya menggunakan batu hitam. Nabi berkemungkinan besar menepuk dinding rumah yang diperbuat dari batu, bukan dari tanah. Kalaulah ia bukan batu, kenalah disebut dalam mana-mana tempat, kerana dalam keadaan normal, rumah-rumah di Madinah diperbuat dari batu. Ini menunjukkan bahawa boleh pakai bahan yang tidak ada debu. Sebab batu tentu tidak melekat debu padanya.

Bolehkah batu dijadikan sebagai bahan tayammum? Batu berasal dari bumi, tapi ada yang telah dijadikan dinding rumah. Masih lagi boleh dipakai sebagai bahan Tayammum. Hadis ini adalah dalil mengatakan boleh guna bahan yang telah diubah. Macam kalau kita ambil tanah dan kita letak dalam bekas. Maka kalau ada yang kena duduk dalam wad dan tidak boleh kena air atau bergerak ke tandas, boleh letak tanah dalam bekas dan tayammum dengan tanah itu.

Hadis yang Imam Bukhari bawa ini adalah mukhtasar (ringkas). Ini boleh dilakukan sebab kalau Qur’an pun ada yang kita pendekkan sahaja ayat-ayat sebab hanya nak pakai yang berkenaan sahaja, maka tentu dengan hadis pun boleh juga.

Begitu juga dalam kes ini, ada maksud yang Imam Bukhari nak sampaikan. Jadi dia ambil bahagian penting sahaja. Dalam hadis yang lengkap, ada menyebut bahawa Nabi baru lepas kencing. Dan Nabi tayamum kerana orang yang memberi salam itu hampir untuk pergi ke lorong lain. Kalau Nabi tak jawab segera, orang itu akan hilang.

Dan dalam hadis yang lengkap, Nabi ada berkata bahawa baginda tidak suka menyebut nama Allah dalam keadaan tidak suci. Kerana dalam salam itu ada perkataan as-Salam, iaitu salah satu nama Allah.

Tapi Imam Tohawi mengatakan bahawa hadis-hadis yang mengatakan Nabi tidak suka menyebut nama Allah dalam keadaan tidak suci semuanya telah mansukh jadi kita tidak perlu ikut. Kerana ada hadis lain yang diriwayatkan oleh Aisyah bahawa baginda sentiasa menyebut nama Allah dalam semua keadaan – bermakna termasuk jikalau baginda dalam hadas juga.

Dan ada hadis riwayat Ibn Abbas yang mengatakan apabila Nabi bangun selepas tidur untuk solat malam, dan sebelum baginda mengambil wudu, baginda membaca dahulu beberapa potong ayat Qur’an.

Maknanya baginda waktu itu tidak dalam keadaan suci. Dan kejadian itu adalah semasa baginda bersama dengan Maimunah, dan kita tahu bahawa baginda berkahwin dengan Maimunah hampir hujung hayat baginda. Maka dari situ kita boleh tahu bahawa akhir hayat baginda, baginda ada juga menyebut nama Allah walaupun dalam keadaan baginda tidak suci. Kerana waktu tu baginda baru sahaja bangun dari tidur, maka kita boleh terima bahawa baginda tidak dalam keadaan suci dari hadas waktu itu.

Allahu a’lam. Sambung ke hadis yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Asri

Advertisements

Kewajipan menegur keluarga

Pernah Hassan, cucu Nabi makan kurma dari harta zakat dan Nabi suruh luahkan. Hassan masa itu belum baligh tapi dah mumayyiz. Walaupun dia kecil, tapi Nabi tegur juga. Maka, kita pun kena tegur ahli keluarga kita juga kalau mereka melakukan kesalahan. Jangan kita kata: “alahhh, bebudak lagi, biarkanlah…..”. Kalau kita buat macam itu, mereka tidak akan belajar mana yang benar, dan mana yang salah.
Macam sekarang, kita tidak menegur anak-anak yang lalu depan kita masa solat. Kita tidak mengajar pula mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah. Tegurlah dengan cara yang baik yang mereka boleh terima. Bukan kanak-kanak sahaja, orang tua pun kena tegur juga sebab kadang-kadang yang dah tua pun tak tahu lagi.

Kenapa Hassan boleh sampai makan buah tamar zakat itu? Sebab zaman Nabi, harta zakat diletakkan di rumah baginda sahaja. Zaman itu tidak ada lagi baitulmal. Bila dah penuh rumah baginda, barulah diletakkan di masjid dan dijaga oleh Abu Hurairah iaitu ketua ahli suffah. Ada dalam 60 orang ahli suffah pada ketika itu.
Disitulah ada kisah iblis yang kita biasa dengar, yang datang mencuri harta zakat dan ditangkap oleh abu Hurairah. Dipendekkan cerita, iblis menceritakan kisah mengenai membaca ayat kursi untuk menghalau hantu syaitan. Iblis menjual maruah dia sebab nak makan.

Timbul satu persoalan: Siapakah keluarga Nabi?
Ada kata sampai Hasan Hussin sahaja
Ada yang semua sahabat dan sesiapa yang beriman
Ada yang kata semua yang dari keturunan Nabi.

Jadi, banyak pendapat.

Janganlah bangga sangat kalau ditakdirkan seseorang itu dari keturunan Nabi, sampai ada yang tak boleh berkahwin dengan keturunan Sayed pulak. Takut kena tulah. Itu hanyalah orang yang tidak belajar sahaja.

Yang diharamkan makan harta zakat adalah keturunan bani Hashim dan bani Abdul Mutallib.
Mereka boleh makan infak dan harta rampasan perang. Tapi sekarang tidak ada perang dah. Ada yang kata sebab dah tiada harta rampasan perang, sebab dah tiada perang, maka mereka dah boleh makan zakat dah, tapi pendapat yang rajih adalah masih tidak boleh juga.