We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 21 (Sambungan) Bab Menghadap Qiblat April 29, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 12:13 am

379 – حَدَّثَنَا نُعَيْمٌ قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ الْمُبَارَكِ عَنْ حُمَيْدٍ الطَّوِيلِ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَقُولُوا لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ فَإِذَا قَالُوهَا وَصَلَّوْا صَلَاتَنَا وَاسْتَقْبَلُوا قِبْلَتَنَا وَذَبَحُوا ذَبِيحَتَنَا فَقَدْ حَرُمَتْ عَلَيْنَا دِمَاؤُهُمْ وَأَمْوَالُهُمْ إِلَّا بِحَقِّهَا وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ

قَالَ ابْنُ أَبِي مَرْيَمَ أَخْبَرَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ حَدَّثَنَا حُمَيْدٌ حَدَّثَنَا أَنَسٌ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ الْحَارِثِ قَالَ حَدَّثَنَا حُمَيْدٌ قَالَ سَأَلَ مَيْمُونُ بْنُ سِيَاهٍ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ قَالَ يَا أَبَا حَمْزَةَ مَا يُحَرِّمُ دَمَ الْعَبْدِ وَمَالَهُ فَقَالَ مَنْ شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَقْبَلَ قِبْلَتَنَا وَصَلَّى صَلَاتَنَا وَأَكَلَ ذَبِيحَتَنَا فَهُوَ الْمُسْلِمُ لَهُ مَا لِلْمُسْلِمِ وَعَلَيْهِ مَا عَلَى الْمُسْلِمِ

379. Telah menceritakan kepada kami Nu’aim berkata, telah menceritakan kepada kami Ibnu Al Mubarak dari Humaid Ath Thawil dari Anas bin Malik berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku diperintah untuk memerangi manusia (kafir harbi) hingga mereka mengucapkan Laa ilaaha illallah (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah) ‘. Jika mereka mengucapkannya kemudian mendirikan salat seperti salat kita, berkiblat ke kiblat kita dan memakan sembelihan kita, maka darah dan harta mereka haram bagi kita kecuali dengan hak dan perhitungan tentang diri mereka yang sebenarnya terserah kepada Allah.” Ibnu Abu Maryam berkata, telah mengabarkan kepada kami Yahya bin Ayyub telah menceritakan kepada kami Humaid telah menceritakan kepada kami Anas dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Dan ‘Ali bin ‘Abdullah berkata, telah menceritakan kepada kami Khalid bin Al Harits berkata, telah menceritakan kepada kami Humaid berkata, “Maimun bin Siyah bertanya kepada Anas bin Malik, “Wahai Abu Hamzah, apa yang menjadikan haramnya darah dan harta seorang hamba?” Anas menjawab, “Siapa yang mengucap Laa ilaaha illallah (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah), berqiblatkan ke kiblat kita, salat seperti salat kita dan memakan sembelihan kita, maka dia adalah Muslim, dia mendapat hak seperti yang diperolehi oleh orang Muslim yang lain dan bertanggungjawab seperti orang muslim yang lain.”

Kita selalu melihat nama Anas bin Malik dalam sanad hadis. Ibunya bernama Umm Sulaim dan bapa tirinya adalah Abu Talhah. Ayahnya yang sebenar tidak mahu masuk Islam apabila Umm Sulaim hendak masuk Islam. Umm Sulaim telah memberikan Anas kepada Nabi untuk berkhidmat kepadanya sebagai khadam Nabi. Banyak diceritakan dia diberikan kepada Nabi itu semasa dia berumur 10 tahun. Tapi sebenarnya bukan 10 tahun sebab Anas telah menyertai Perang Badr dan Uhud. Takkan dia berumur 10 tahun waktu itu. Kerana kalau muda, Nabi tidak akan membenarkan dia menyertai perang. Ibn Umar yang berumur 14 pun tidak dibenarkan menyertai perang. Para sahabat yang muda mereka beriya-iya untuk ikut berperang, bukan nak lari. Sampai mereka ada yang berhujah dengan Nabi untuk masuk. Kalau kita, tentu lari dari nak perang. Jadi berkemungkinan dia diberikan kepada Nabi sebagai khadam semasa umurnya 14 atau 15 tahun. Tapi ada yang mengatakan takkan dia diberikan semasa umurnya sudah hampir dewasa kerana nanti bukankah dia akan duduk bersama dengan keluarga Nabi? Tentulah dia akan nampak aurat isteri dan anak-anak Nabi. Jawapannya adalah hukum hijab bukan diturunkan di awal Islam tapi kemudian lagi. Anas ini banyak meriwayatkan hadis. Selalu sahaja kita dengar nama dia.

Dalam hadis ini, Nabi berkata: Aku diperintah untuk memerangi manusia. Yang kafir harbi itu adalah tambahan penafsir. Memang disebut baginda disuruh memerangai ‘manusia’. Adakah semua manusia? Sebab kalau orang Islam pun manusia juga. Sebenarnya bukan semua manusia. Pemahaman kita adalah hanya diperangi Kafir Harbi sahaja. Kalau bukan kafir harbi tak boleh diperangi mereka. Buat apa kita hendak perang dengan orang yang berbaik dengan kita. Kerana tidak tahu tentang perkara inilah yang menyebabkan nama Islam terpalit di mata dunia. Sampai orang mengatakan kita ni kerjanya nak serang negara lain sahaja. Perkara ini perlu dijelaskan. Tapi kalau sendiri pun tidak belajar dan tidak faham, macam mana kita nak jelaskan kepada orang lain? Padahal dalam surah Baqarah ada dikatakan bahawa tidak ada paksaan dalam agama. Jadi, bukan tugas kita untuk memaksa manusia yang bukan Islam masuk Islam. Orang-orang yang mengatakan kena serang orang kafir sampai mereka masuk Islam itu pula sampai mengatakan bahawa ayat itu sudah mansukh.

Ayat dalam hadis ini bukan kata ‘bunuh’ tapi ‘memerangi’. Tidak sama makna antara kedua itu. Kalau perang, maknanya ada dua pihak. Kita sebenarnya hanya memerangi mereka yang memerangi kita. Ayat itu dalam bentuk umum tapi kita tak boleh pakai secara umum. Jadi jangan kata makna hadis itu untuk suruh kita perang semua manusia. Makna ayat itu pun adalah bermakna ‘saling membunuh’. Itu bermakna perang juga. Ada ayat-ayat yang kalau sekali baca nampak umum tapi kita kena faham sebagai khas. Dalam Quran pun menggunakan cara sebegini juga. Contohnya, ada ayat yang menyuruh kita mengajak ‘manusia’ menunaikan haji. Tapi kita bukanlah disuruh mengajak manusia semuanya, kita disuruh mengajar orang Islam sahaja. Tambahan pula kita telah belajar bahawa orang musyrik sudah tidak dibenarkan untuk bertawaf di Kaabah lagi selepas Fath Makkah. Ayat yang jenis ini dipanggil Amm makhsus.

Dalam hadis ini Nabi kata: ‘hingga mereka mengucapkan Laa ilaaha illallah’. Adakah ucapan ini sahaja cukup? Padahal syahadah ada dua kalimah? Sebenarnya ada riwayat hadis ini di tempat lain, Nabi mengatakan dua kalimah syahadah dengan lengkap. Ini bermakna, hadis diatas adalah riwayat ringkas. Ataupun kita boleh kata ia adalah jenis yang sebut sikit tetapi bermaksud semua.
Atau mungkin sebab ini adalah dalam perkara perang. Tidak sempat kalau dalam peperangan nak sebut dua kalimah syahadah sekali. Katakanlah kita sedang nak memancung seseorang, tiba-tiba dia hendak masuk Islam. Kalau waktu macam itu, tak sempat nak sebut dua kalimah. Satu kalimah sahaja dah cukup. Adakah boleh diterima kalau mereka dah dekat nak kena bunuh, tiba-tiba mengucap? Boleh terima kah? Kita sebenarnya hanya disuruh melihat yang zahir sahaja. Samada mereka ikhlas atau menipu, bukan tugas kita untuk memastikan. Kalau mereka sebut macam itu sahaja, kita kena lepaskan. Begitulah yang terjadi kepada seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid. Dia hampir membunuh seseorang, tapi tiba-tiba orang itu mengucap. Dia bunuh juga orang itu. Apabila diberitahu kepada Nabi, baginda marah. Dia memberi alasan bahawa orang itu hanya berhelah sahaja. Tapi Nabi tanya balik, mana dia tahu? Oleh kerana kejadian itu, Usamah sangatlah menyesal, sampaikan dia rasa lebih baik kalau dia belum masuk Islam sebelum saat itu. Sebab dia rasa Islam dia sebelum itu tidak diterima kerana kejadian itu.

Kalau mereka tak ikhlas, itu antara mereka dengan Allah. Allah yang akan menghisab mereka. Kadang-kadang orang yang kita sangka Islam pun, sebenarnya mereka munafik. Sebab kita tidak tahu isi hati manusia. Kadang-kadang kita nampak dia kafir, tapi disisi Allah dia adalah Islam. Contohnya seseorang itu sedang mengkaji agama mana yang betul. Tapi dia mati tidak sempat masuk Islam. Cuma belum masuk Islam atau mengucap lagi. Ulama khilaf tentang mereka yang seperti ini. Ada yang kata mereka Islam. Hanya Allah sahaja yang mengetahui isi hati manusia. Itulah yang dimaksudkan oleh Nabi: perhitungan tentang diri mereka yang sebenarnya terserah kepada Allah.

Syahadah kita ini amat penting dijaga. Kena faham maknanya. La ilaaha illa Allah bermaksud kita percaya kepada Allah dan hakikatnya kita percaya kepada ajaran Quran. Dan Muhammadur Rasulullah itu kita percaya Nabi itu adalah rasul dan kita percaya dan ikut hadis baginda. Kalau ada perkara dari dalam Quran dan hadis kita tak terima, maka hakikatnya kita bukan Islam lagi. Syahadah kita terbatal. Bukan susah nak keluar Islam ini. Pernah Nabi bersabda bahawa ada umatnya akan berpagi-pagi dalam Islam dan berpetang-petang dalam kekafiran. Kalau kita Melayu, sampai bila pun kita Melayu. Atau kita dah adik beradik kita tidak akan putus. Tapi Islam itu bukanlah kalau kita Islam, terus kita Islam sampai bila-bila. Kalau ada faham kita yang salah dari segi akidah, kita boleh terkeluar dengan sendiri. Contohnya ada ajaran tak terima hadis, hanya Quran sahaja. Itu bukan Islam dah tu. Atau Syiah yang mengatakan sahabat Nabi jahat padahal Quran kata mereka baik dan Allah redha kepada mereka.

Syahadah itu adalah dua kalimah itu sahaja. Tidak lebih. Macam Syiah siap ada tambah kata Ali adalah wali. Itu kafir dah tu. Maka janganlah percaya kalau ada ajaran yang melebihkan syahadah.

Hadis ini menjelaskan lagi hadis sebelum ini. Hadis sebelum ini mengatakan mereka yang mengucap, mengadap kiblat dan memakan sembelihan Islam terjamin oleh Allah dan rasulNya. Kali ini dijelaskan lagi bahawa ‘darah dan harta mereka haram bagi kita’. Ini menjelaska apakah jaminan itu? Iaitu terjamin nyawa dan harta mereka. Tidak tidak boleh ambil nyawa dan harta mereka dengan sewenang-wenangnya. Kalau kita buat begitu, bermakna kita melanggar Allah dan rasul. Bukan dua perkara itu sahaja, tapi termasuk dengan hak-hak yang lain. Pemerintah kena lindungi hak-hak itu.

Nabi menyambung ‘kecuali dengan hak’. Apakah maknanya? Dalam keadaan tertentu, kita boleh mengambil nyawa mereka. Contohnya mereka membunuh orang lain. Ini adalah dalam hukum Qisas. Dan pemerintah boleh mengambil harta mereka kalau mereka tidak mengeluarkan zakat.

Hadis ini bukan untuk mengatakan ini sahaja kewajipan seorang Islam. Banyak lagi nak kena buat.

 

Kuliah Maulana Asri

 

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 20 Bab Seseorang (Yang Bersembayang) Perlu Merenggangkan Dan Memisahkan Lengannya (Daripada Kedua Lambungnya) Ketika Bersujud April 28, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 9:10 pm

بَاب يُبْدِي ضَبْعَيْهِ وَيُجَافِي فِي السُّجُودِ

Bab 27  Seseorang (Yang Bersembahyang) Perlu Merenggangkan Dan Memisahkan Lengannya (Daripada Kedua Lambungnya) Ketika Bersujud

Seperti telah disebutkan sebelum ini, tajuk ini menghairankan pengkaji sahih Bukhari kerana tajuknya agak berlainan dengan tajuk sebelum-sebelum ini iaitu memperkatakan tentang pelapik dalam solat. Antara dalil yang mengatakan ini bukanlah tempat yang sepatutnya adalah, ini adalah bukan hadis yang menunjukkan tentang isyarat akhir. Selalunya Imam Bukhari akan memasukkan isyarat akhir kalau sampai di bahagian hujung kitab. Tapi di dalam hadis ini tiada isyarat mati, akhir atau penutup.
Tapi ulama membincangkannya juga. Ada kena juga tajuk ini berkenaan dengan pakaian. Iaitu dalam kita pakai baju, maka janganlah pakaian yang terlalu ketat atau terlalu terbuka sampai menampakkan aurat. Kalau nampak ketiak tidak mengapa lagi sebab ketiak bukan aurat. Dalam hadis ini, ketiak Nabi kelihatan.

Kalau dalam keadaan boleh nampak ketiak, nak jaga yang mana – samada nak jaga sunnah mendepangkan lengan atau nak jaga adab? Dari hadis ini, nampak bahawa kena juga sempurnakan sujud walaupun nampak ketiak. Maknanya kena juga jaga sunnah sujud itu. Keadaan nampak ketiak ini boleh terjadi kalau dalam keadaan memakai satu kain macam selimut keliling badan.

Maka, dalam sujud kena buka lengan. Bukan semua orang kena buat macam itu. Orang perempuan tidak disuruh buat macam itu. Tak sesuai kalau mereka pun buat macam tu juga. Hukum buka lengan ini khusus untuk lelaki. Iaitu kepada yang menjadi imam dan yang solat seorang. Kalau dalam jemaah jangan buka sangat takut kena orang lain. Sebab itu mazhab Hanafi, dalam tahiyyat akhir mereka duduk sama macam tahiyyat awal sebab tak mahu menyusahkan orang sebelah. Dan makmum dalam mazhab Hanifi tak baca apa. Memang ikut sahaja apa perbuatan imam dalam solat. Pada mereka, itulah kesatuan dalam jemaah.

Perempuan dan khunsa dikehendaki menutup lengannya. Dan merapatkan anggotanya dengan anggota lain.

Ketiak lelaki bukan aurat.

Hadis ini menunjukkan juga supaya jangan malu mengamalkan Sunnah Nabi walaupun nampak ketiak.
Juga menunjukkan bahawa Nabi adalah sangat putih. Ketiak dia pun putih. Selalu pelipatan lebih gelap. Tapi macam mana dengan bulu ketiak? Ketiak Nabi nampak putih kerana Nabi cabut bulu ketiak. Itulah sunnah Nabi. Tapi kalau rasa sakit, tak buat pun tidak mengapa. Janganlah sampai menyusahkan sangat diri kita.

377 – أَخْبَرَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ حَدَّثَنَا بَكْرُ بْنُ مُضَرَ عَنْ جَعْفَرِ بْنِ رَبِيعَةَ عَنْ ابْنِ هُرْمُزَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَالِكٍ ابْنِ بُحَيْنَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا صَلَّى فَرَّجَ بَيْنَ يَدَيْهِ حَتَّى يَبْدُوَ بَيَاضُ إِبْطَيْهِ
وَقَالَ اللَّيْثُ حَدَّثَنِي جَعْفَرُ بْنُ رَبِيعَةَ نَحْوَهُ

377. Telah mengabarkan kepada kami Yahya bin Bukair telah menceritakan kepada kami Bakar bin Mudlar dari Ja’far bin Rabi’ah dari Ibnu Hurmuz dari ‘Abdullah bin Malik bin Buhainah, bahwa jika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam salat, beliau merenggangkan kedua tangannya (dari kedua lambungnya) hingga tampak putih kedua ketiaknya.” Al Laits berkata, telah menceritakan kepadaku Ja’far bin Rabi’ah semakna itu.”

 

——————————————————————————–

أَبْوَابُ اسْتِقْبَالِ الْقِبْلَةِ

Bab Menghadap Qiblat

بَاب فَضْلِ اسْتِقْبَالِ الْقِبْلَةِ يَسْتَقْبِلُ بِأَطْرَافِ رِجْلَيْهِ قَالَ أَبُو حُمَيْدٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Bab 1 Kelebihan Menghadap Qiblat. Seseorang Itu Hendaklah Menghadap Qiblat Dengan Hujung-Hujung Jari Kedua Kakinya. (Demikian) Disebut Oleh Abu Humaid (Diambilnya) Daripada Nabi S.A.W

Qiblat adalah salah satu dari syarat sah solat. Sebelum ini Imam Bukhari telah membawa dua syarat. Yang pertama adalah suci dari hadas dengan wudu atau mandi junub. Syarat itu adalah sesuatu yang dilakukan sebelum dilakukan sesuatu ibadat. Ianya bukan sebahagian dari solat. Rukun itu ada dalam ibadat itu sendiri. Jadi mengadap kiblat adalah syarat sah. Bukan sebahagian dari solat. Syarat kedua selepas suci dari hadas adalah menutup aurat. Dan sekarang adalah syarat ketiga iaitu mengadap kiblat. Lepas ini tentang masjid pula. Lepas itu baru tentang sembahyang.

Tak sah solat kalau tak mengadap kiblat. Itulah kepentingan qiblat.
Imam Bukhari bawa tajuk kelebihan qiblat ini sebab manusia akan suka nak buat sesuatu kalau tahu kelebihannya.
Kalau berdiri, kaki kena mengadap kiblat. Bukan mencapang macam yang biasa kita lihat orang buat. Termasuk semasa sujud, jari kena mengadap kiblat. Padahal itu susah nak pada sesetengah orang. Bukan muka dan dada sahaja mengadap kiblat. Lebih-lebih lagi dada. Kepala boleh lagi kalau pusing sikit.

Banyak kelebihan kiblat. Ianya adalah salah satu dari syiar utama Islam. Ia membezakan Islam dengan agama lain. Agama lain pun sembahyang juga tapi mereka tidak mengadap Kaabah. Kita tanam mayat pun mengadap kiblat. Doa pun molek ngadap kiblat. Inilah sebenarnya kiblat ahli tauhid. Agama lain percaya tuhan tapi dalam keadaan syirik kepada Allah. Macam sikh menyembah kubur atau replika kubur Guru Nanak.
Ada orang-orang kafir kata kita pun sembah batu. Kita sebenarnya bukan sembah Kaabah. Katakanlah kalau Kaabah itu runtuh, kita kena sujud arah situ juga. Ianya adalah lambang perpaduan ummah. Kita disuruh sembah arah Masjidilharam, bukan Kaabah. Maksud kita sebenarnya adalah sujud kepada Allah. Bukan Allah duduk dalam Kaabah itu walaupun kita panggil ia Baitillah.

378 – حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ عَبَّاسٍ قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ الْمَهْدِيِّ قَالَ حَدَّثَنَا مَنْصُورُ بْنُ سَعْدٍ عَنْ مَيْمُونِ بْنِ سِيَاهٍ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى صَلَاتَنَا وَاسْتَقْبَلَ قِبْلَتَنَا وَأَكَلَ ذَبِيحَتَنَا فَذَلِكَ الْمُسْلِمُ الَّذِي لَهُ ذِمَّةُ اللَّهِ وَذِمَّةُ رَسُولِهِ فَلَا تُخْفِرُوا اللَّهَ فِي ذِمَّتِهِ

378. Telah menceritakan kepada kami ‘Amru bin ‘Abbas berkata, telah menceritakan kepada kami Ibnu Al Mahdi berkata, telah menceritakan kepada kami Manshur bin Sa’d dari Maimun bin Siyah dari Anas bin Malik ia berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa salat seperti salat kita, berqiblatkan kiblat kita dan memakan sembelihan kita, maka dia adalah seorang Muslim, yang dijamin oleh Allah dan Rasul-Nya. Maka janganlah kalian mengkhianati jaminan Allah itu.”

Qiblat disebutkan khusus dalam hadis ini. Tiada lagi agama lain yang mengadap qiblat kita. Inilah tanda mudah untuk mengenal orang Islam. Nak tengok samada seseorang itu Islam atau tidak. Agama lain kena tanya dia agama apa. Sebab tidak ada tanda apa yang boleh kita tengok. Untuk Islam, tunggu waktu solat sahaja. Sebab seorang Islam akan selalu melakukan solat setiap hari.

Sembelihan itu adalah bermaksud yang hanya memakan sembelihan cara Islam sahaja. Orang kafir itu makan sembelihan cara Islam juga, tapi mereka boleh makan sembelihan lain. Apabila kita hendak makan di sesuatu kedai, kita cuma lihat adakah tanda-tanda dia orang Islam. Itu sudah cukup. Tidak perlu kita tanya samada dia sembelih cara betul atau tidak. Kalau dia tak betul, dia yang salah. Jangan tanya samada dia Islam atau tidak. Kerana kalau kita tanya dan dia bukan Islam, tentulah dia akan terasa.

Kenapa tidak dimasukkan berkenaan haji dan zakat? Kerana itu bukan perkara yang selalu terjadi. Sebab kalau orang tak mampu, dia tak perlu jalankan.

Allah telah memberi jaminan keselamatan kepada orang orang Islam. Jangan kita pula yang sakiti mereka. Ini diterangkan dengan lebih jelas dalam hadis berikutnya.

Kuliah Maulana Asri

 

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 19 Bab Bersembahyang Dengan Memakai Khuf

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 8:07 pm
Tags: , , , ,

بَاب الصَّلَاةِ فِي الْخِفَافِ

Bab 25 Bersembahyang Dengan Memakai Khuf

Sebelum ini dalam tajuk-tajuk sebelum ini, Imam Bukhari telah membincangkan berkenaan memakai kasut, sekarang khuf pula. Khuf adalah satu jenis penutup kaki yang menutup buku lali. Selalunya dibuat dari kulit. Ini pun jenis kasut juga. Dan salah satu jenis pakaian juga kerana itulah Imam Bukhari masukkan dalam bahagian ini.

Dan kerana ini juga adalah sebahagian dari pakaian yang lengkap semasa hendak sembahyang. Kalau musim sejuk, khuf lah antara pakaiannya yang selalunya dipakai. Nampak Imam Bukhari nak membawa kearah kena khusyuk dalam solat. Kerana kalau sejuk, selalunya orang akan memakai khuf supaya mengurangkan sejuk. Jadi elok kalau pakai khuf. Walaupun asalnya nampak macam pakai kasut macam tak molek, tapi kerana nak mendapatkan khusyuk, dibenarkan memakainya. Begitu jugalah dengan khuf. Ianya boleh dikira sebahagian dari bahagian pakaian yang lengkap. Ini sesuai dengan ayat Quran dalam al A’raf:31 – “Wahai manusia, pakailah perhiasan mu ketika hendak solat di masjid”.

Atau tujuan dia adalah nak menceritakan keharusan memakai khuf dalam solat. Menolak pendapat orang yang kata tidak sah solat dengan pakai khuf. Sebab mereka kata khuf itu dibawa berjalan jadi terdedah kepada kekotoran. Tapi zaman Nabi pun khuf dipakai bawa berjalan juga. Tidaklah Nabi melarang waktu itu. Maknanya boleh dipakai sebab Nabi pun benarkan. Kalau ada kekotoran, cukup dengan sapu bahagian bawah khuf itu ditanah yang suci. Nabi tak suruh cabut pun kalau nak solat.

Atau tujuannya nak isyarat kepada hadis riwayat Shaddad yang mengatakan memakai khuf elok untuk menyalahi perbuatan orang Yahudi. Sama macam pakai kasut juga yang telah dibincangkan sebelum ini. Sebab orang Yahudi tidak benarkan pakai kasut atau khuf dalam sembahyang jadi kita kena menyalahi suruhan mereka. Mereka tidak benarkan memakai kasut dan khuf. Kita dituntut untuk tidak menyerupai mereka. Tambahan pula mereka kaum yang dipandang tinggi waktu itu. Jadi nak umatnya menjauhkan diri dari mereka.

Atau Bukhari nak membuktikan tentang keharusan solat berlapik. Sebelum ini memakai lapik pada dahi. Khuf pun satu jenis lapik juga, iaitu lapik kepada kaki. Memang Nabi ada kata tujuh anggota sujud. Itu termasuk juga kaki. Tapi tidaklah bermaksud tidak boleh berlapik. Seperti juga kalau lutut pun berlapik dengan pakaian juga.

Dia juga nak kritik Syiah. Mereka pun sama sahaja macam Yahudi. Sebenarnya banyak ajaran mereka kita boleh lihat sama macam Yahudi. Antaranya, mereka tidak suka dengan malaikat Jibrail dan Mikail. Mereka juga tidak benarkan pakai khuf dalam solat, seperti juga Yahudi yang tidak benarkan memakai kasut dalam sembahyang mereka. Mereka memang pandang berat pasal khuf ini. Sampaikan bab khuf ini mereka tidak benarkan taqiyyah. Bayangkan kalau bab lain, mereka suruh taqiyyah. Contohnya mereka tidak ada qiyam dalam solat. Tapi atas dasar taqiyyah (menipu orang sunnah), mereka suruh pengikut mereka qiyam juga. Tapi kalau khuf ini, tidak boleh taqiyyah.

374 – حَدَّثَنَا آدَمُ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ الْأَعْمَشِ قَالَ سَمِعْتُ إِبْرَاهِيمَ يُحَدِّثُ عَنْ هَمَّامِ بْنِ الْحَارِثِ قَالَ رَأَيْتُ جَرِيرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ بَالَ ثُمَّ تَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ ثُمَّ قَامَ فَصَلَّى فَسُئِلَ فَقَالَ رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَنَعَ مِثْلَ هَذَا
قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَكَانَ يُعْجِبُهُمْ لِأَنَّ جَرِيرًا كَانَ مِنْ آخِرِ مَنْ أَسْلَمَ

374. Telah menceritakan kepada kami Adam berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah dari Al A’masy berkata, aku mendengar Ibrahim menceritakan dari Hammam bin Al Harits berkata, “Aku melihat Jarir bin ‘Abdullah kencing, lalu ia berwudu dan mengusap dua khufnya lalu berdiri salat. Maka hal itu ditanyakan kepadanya, ia lantas menjawab, “Aku pernah melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berbuat seperti ini.” Ibrahim berkata, “mereka suka sangat dengan jawapan Jarir ini karena Jarir adalah termasuk di antara orang yang terakhir masuk Islam”.

Mereka suka kepada penerangan Jarir itu adalah kerana baru jelas kepada mereka bahawa boleh sapu khuf. Sebab ayat wudu surah Maidah:6 itu turun hampir akhir hayat baginda. Jadi mereka takut kebolehan menyapu khuf itu telah mansukh. Maka kalau Jabir yang masuk Islam akhir-akhir juga pun pernah nampak Nabi sapu khuf, maka maknanya boleh sapu khuf. Kerana Jarir memang masuk Islam setelah keseluruhan surah Maidah telah diturunkan.

Orang Syiah memang tak suka dengan Jarir ini. Dia adalah salah seorang yang dimusuhi oleh mereka. Kerana dia membawakan hadis berkenaan khuf inilah. Padahal Jarir ini adalah seorang yang amat baik. Selepas dia masuk Islam, dia dikatakan sayang sangat kepada Nabi sampai tak mahu berpisah dengan Nabi, nak lihat Nabi sahaja. Pernah Nabi arahkan dia untuk memusnahkan berhala ditempatnya. Dia kata boleh tapi dia kata dia tak kuat. Nabi telah tepuk dada dia dan dia menjadi berani selepas itu. Nabi pernah berkata kalau mahu melihat Yusuf zaman itu, lihatlah kepada Jarir kerana dia kacak sangat.

Pengajaran yang kita boleh ambil dari hadis ini:

  1. Harus kencing di tempat orang boleh lihat. Dalam hadis ini, perawi nampak Jarir kencing. Bukanlah sampai nampak kemaluan. Ada juga hadis lain yang menceritakan Nabi kencing berdiri dan dibelakangnya adalah seorang sahabat. Itu pun dikira nampak juga. Jadi, tidak ada masalah lah kalau kita kencing di tandas zaman sekarang yang nampak apa kita sedang kencing itu. 
  2. Harus sapu khuf.
  3. Suka dan gembira dengan hukum. Dalam hadis ini, para tabein mendapat tahu tentang hukum yang menyenangkan.
  4. Kekotoran ringan pada khuf boleh sental dibumi sahaja.
  5. Berkhidmat kepada pemimpin dan guru. Elok untuk kita mudahkan dengan melakukan kerja-kerja ringan supaya pemimpin dan guru boleh menumpukan kepada perkara-perkara penting. Ini adalah pengajaran dari hadis Mughirah selepas ini iaitu dia menuangkan air wudu untuk baginda. 
  6. Nabi pakai khuf dalam solat.

Kalau dikirakan ini adalah akhir bab, disini kita boleh lihat isyarat akhir. Kerana Imam Bukhari sentiasa memberi isyarat akhir di hujung bab. Disini ada disebutkan bahawa Jarir adalah akhir sekali masuk Islam. Akhir disini adalah nisbah kepada hayat Nabi. Memberi isyarat tentang kematian.

375 – حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ نَصْرٍ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ مُسْلِمٍ عَنْ مَسْرُوقٍ عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ قَالَ وَضَّأْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ وَصَلَّى

375. Telah menceritakan kepada kami Ishaq bin Nashr berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah dari Al A’masy dari Muslim dari Masruq dari Al Mughirah bin Syu’bah berkata, “Aku menuangkan air wudu kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau lalu mengusap kedua khufnya dan salat.”

Mughirah ini pun Syiah tak suka. Sampai mereka mengeluarkan tohmahan bahawa dia ada sampai dua ribu isteri. Padahal kisah itu tak masuk akal langsung. Mana boleh seorang lelaki bernikah sampai dua ribu orang?

—————————————————————————————————-

بَاب إِذَا لَمْ يُتِمَّ السُّجُودَ

Bab 26 Apabila Seseorang (Yang Bersembayang) Tidak Menyempurnakan Sujud

376 – أَخْبَرَنَا الصَّلْتُ بْنُ مُحَمَّدٍ أَخْبَرَنَا مَهْدِيٌّ عَنْ وَاصِلٍ عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ حُذَيْفَةَ رَأَى رَجُلًا لَا يُتِمُّ رُكُوعَهُ وَلَا سُجُودَهُ فَلَمَّا قَضَى صَلَاتَهُ قَالَ لَهُ حُذَيْفَةُ مَا صَلَّيْتَ قَالَ وَأَحْسِبُهُ قَالَ لَوْ مُتَّ مُتَّ عَلَى غَيْرِ سُنَّةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

376. Telah mengabarkan kepada kami Ash Shaltu bin Muhammad telah mengabarkan kepada kami Mahdi dari Washil dari Abu Wa’il dari Hudzaifah, bahwa ia pernah melihat seorang laki-laki tidak sempurna dalam rukuk dan sujudnya. Setelah orang itu selesai shalat, Hudzaifah berkata kepadanya, “Kamu belum salat!” Perawi berkata, aku rasa dia berkata lagi, “Seandainya kamu meninggal, maka kamu meninggal dunia bukan di atas sunnah Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.”

Kenapa ada tajuk ini disini? Tajuk ini (bab 26) dan selepas ini bab 27 tentang membuka lengan dalam sujud seperti tidak kena dengan bahagian pakaian. Kerana selama ini Imam Bukhari sedang membincangkan tentang pakaian dan tajuk ini bukan melibatkan pakaian dengan jelas. Tambahan pula ada hadis yang sama, sanad yang sama dan tajuk yang sama akan ada nanti di tempat yang lain (bab sifat solat). Ini amat menghairankan pengkaji Sahih Bukhari. Tambahan pula Imam Bukhari telah meletakkan syarat bahawa dia tidak akan mengulangi hadis yang sama dengan tajuk dan sanad yang sama. Dua bab ini nampaknya melanggar syarat itu. Hafiz Ibn Hajar dengan terang-terang mengatakan bahawa ini adalah kesilapan penyalin dalam menyalin kitab ini. Tambahan pula ada dalam nuskhah yang lain, seperti Nuskhah Mustamli, tidak terdapat dua bab ini. Teknologi percetakan zaman dahulu bukan macam sekarang jadi ada kemungkinan ada kesalahan dalam menyalin.

Tapi Hafiz Ibn Hajar menghormati juga susunan yang ada dalam nuskhah yang ada dan cuba memberikan pendapatnya. Dalam bab ini, mungkin Imam Bukhari hendak menyampaikan bahawa jikalau tidak memenuhi syarat solat, seperti menjaga tumakninah, seperti tidak menjaga rukun juga. Dan dalam bab kemudian (bab 27), dia hendak mengatakan bahawa membuka lengan semasa sujud tidaklah dikira membuka aurat walaupun nampak ketiak.

Anwar Shah Kashmiri kata dalam sujud kena jaga pakaian. Dia kata memang Imam Bukhari berniat hendak memasukkan tajuk ini di bahagian ini. Kena pakai yang sesuai iaitu yang menutup aurat. Kalau terdedah yang bukan aurat tidak mengapa.

Ataupun satu pendapat lagi mengatakan kena jaga kesempurnaan solat. Dan dalam menjaga kesempurnaan solat itu, melibatkan juga bahagian pakaian. Kalau panas sangat, pakai pelapik. Jangan nak cepat solat sebab panas sampai tak sempurna. Kadang-kadang sebab seseorang itu terlalu cepat solatnya sampai tidak menjaga tumakninah adalah kerana tidak selesa dalam solat itu kerana lantai panas kah, sampai dia tak selesa. Sunnah Nabi adalah pakai pelapik. Supaya sempurna solat.

Apa maksud Huzaifah apabila dia mengatakan “Kamu belum salat!”? Adakah dia maksud solat itu tidak sempurna sahaja atau memang solat itu langsung tidak sah? Setengah ulama ada mengatakan tidak sempurna solat itu tapi Imam Bukhari kata tak sah sebab tumakninah adalah rukun. Pada Hanafi tumakninah sunat sahaja. Maka, eloklah kita menjaga tumakninah itu.

Huzaifah menggunakan ayat: “kamu mati bukan di atas sunah Muhammad shallallahu”. Dia tidak kata “kamu mati bukan atas agama Islam”. Ada bezakah antara duanya? Ulama khilaf tentang makna perkataan. Ada kata seseorang itu masih Islam lagi, tidak terkeluar dari Islam. Cuma tidak mengikut sunnah. Dalam banyak keadaan, Nabi menasihatkan kita supaya solat tidak menyerupai binatang. Jangan macam ayam yang mematuk makanan. Itu bukan cara orang yang merendah diri kepada Allah. Dia juga tak beri letak tangan masa sujud macam anjing. Banyak lagi dia bagi contoh supaya jangan jadi macam binatang. Sifat solat kita sebenarnya menyerupai malaikat. Ada malaikat yang sujud sahaja, rukuk sahaja sampai bila-bila. Setiap perbuatan solat kita ada yang dilakukan oleh malaikat. Kita juga disuruh supaya tidak menyerupai cara ibadat orang kafir.
Yang Huzaifah maksudkan adalah tidak mengikut amalan Nabi yang fardhu dan sunat. Mungkin orang itu meninggalkan sunnah Muhammad. Tumakninah pun tidak ada dalam Quran. Yang disebut adalah hanya sujud dan rukuk.

Hadis ini menunjukkan kepentingan tumakninah dalam solat. Ada yang kata ianya adalah fardhu dalam solat. Ada juga yang kata ianya adalah sunat.

Orang yang tidak melakukan sunnah Nabi masih dikira muslim tapi muslim yang tidak mengikut sunnah atau muslim yang jahil.

 

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 18 Bab Sujud Di Atas Kain Pada Ketika Sangat Panas April 27, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 1:11 am

بَاب السُّجُودِ عَلَى الثَّوْبِ فِي شِدَّةِ الْحَرِّ

Bab 23 Sujud Di Atas Kain (yang dipakai seseorang) Pada Ketika Sangat Panas

Sebelum ini dibincangkan keharusan memakai pelapik dalam solat. Kali ini pelapik yang tidak khusus untuk solat seperti sejadah. Macam sejadah dan khumrah, itu memang disediakan awal sebelum solat lagi. Dalam tajuk ini adalah berkenaan orang yang solat menggunakan sebahagian kain baju dia sahaja sebagai lapik semasa sujud. Itu adalah jenis pelapik yang tidak dikhaskan untuk solat. Imam Bukhari nak mengatakan bahawa ini boleh dilakukan.

Kebolehan menggunakan kain baju ini bukan hanya kalau keadaan terlalu panas atau terlalu sejuk. Ketika keadaan biasa pun boleh. Yang Imam Bukhari letak kerana panas dalam tajuk itu kerana ada dalam hadis, jadi Imam Bukhari memasukkannya dalam tajuknya. Kebetulan sahaja, bukanlah nak menghadkan kebolehan itu hanya pada keadaan panas sahaja. Tidak diikat dengan sebab panas sahaja. Sebab sebelum ini, kita telah belajar hadis riwayat Anas, dalam hadis itu tidak mengatakan waktu panas. Apabila dalam hadis itu meletakkan satu keadaan, tidak semestinya hanya boleh dipakai dalam keadaan itu sahaja. Dalam Quran pun tidak semestinya apabila Allah meletakkan keadaan tertentu, hanya tertakluk kepada keadaan itu sahaja. Contohnya apabila Allah memberikan kemudahan untuk solat qasar ‘apabila takut diganggu orang kafir’, bukanlah bermakna ianya hanya boleh waktu takut sahaja. Nabi sendiri berkata bahawa ianya adalah hadiah dari Allah untuk manusia. Berkenaan masa takut itu hanya menceritakan keadaan semasa sahaja. Ini dinamakan qaid intifaqi. Ataupun dalam ayat lain, mengatakan tidak boleh kahwin dengan anak tiri ‘yang dalam ribaan kamu’. Tidaklah hanya anak-anak tiri yang kecil sahaja yang tidak boleh dikahwini. Kalau anak tiri itu sudah besar pun tidak boleh dikahwini juga. Ada satu lagi ayat Quran tentang tidak boleh menyuruh orang perempuan melacurkan diri ‘jikalau mereka mahukan kehidupan yang suci’. Ini tidaklah mengatakan bahawa kalau mereka pun hendak juga melacur, kita boleh benarkan. Jadi, kena faham juga tu.

Imam Bukhari sebenarnya nak tolak pendapat Imam Syafie secara lembut. Sebab Imam Syafie kata tidak sah kalau berlapik dengan kain yang dipakai. Itu adalah sebenarnya adalah pendapat minoriti. Kerana jumhur ulama mengatakan boleh kalau bahagian sujud pun dilapik dengan pakaian yang dipakai semasa solat.

Sujud dalam solat adalah perbuatan merendahkan diri kepada Allah. Terdapat tujuh anggota sujud. Antaranya, Nabi kata muka, sambil tunjuk ke hidung. Asal ada sentuh dimuka. Hidung pun sebahagian dari muka. Pipi pun sebahagian dari muka juga, tapi tak sesuai kalau pakai lekap pipi kita pada tanah pula. Ulama kata asal salah satu dari dahi atau hidung menyentuh tempat sujud sudah cukup. Dalam Syafie, dahi paling penting, seeloknya dengan hidung sekali. Imam Ahmad pula berpendapat kena dahi dan hidung menyentuh tempat sujud baru sah. Itu adalah yang terbaik. Imam Bukhari berpendapat selagi kena hidung sudah cukup. Anggota sujud yang lain pun kita terima boleh kalau tertutup. Contohnya lutut selalunya tertutup dengan seluar atau kain. Kaki juga boleh tertutup kalau pakai khuf atau tangan pun boleh tertutup kalau pakai sarung tangan. Maka kalau begitu, tentulah dahi pun boleh kalau tertutup. Kita pun bukan nak ada kesan pada dahi. Bukanlah kita nak ada kesan hitam didahi macam sesetengah orang tu. Yang kesan yang kita hendak itu adalah masa di akhirat nanti, bukan di dunia.

Dan yang paling kuat adalah memang sahabat sendiri solat dengan melapik dahi dengan kain baju yang dipakai mereka semasa solat dengan Nabi. Ada yang kata itu tidak boleh diterima kerana Nabi tak nampak. Tapi, dari hadis yang sahih, kita tahu bahawa Nabi pernah berkata bahawa Nabi nampak perbuatan sahabat semasa solat di belakang. Allah telah memberikan kebolehan itu kepada Nabi. Tidaklah kita nak tanya bagaimana Nabi boleh dapat macam itu, adakah dia ada mata lain di belakangnya atau apa. Maka, kerana kita terima bahawa Nabi nampak perbuatan solat sahabat dan kalau baginda nampak dan perbuatan itu salah, Nabi kena tegur. Salah Nabi kalau tak tegur perbuatan salah para sahabat.

وَقَالَ الْحَسَنُ كَانَ الْقَوْمُ يَسْجُدُونَ عَلَى الْعِمَامَةِ وَالْقَلَنْسُوَةِ وَيَدَاهُ فِي كُمِّهِ

Hasan al basri berkata: para sahabat bersujud di atas serban dan songkok sementara kedua tangan mereka pula berada di dalam lengan baju mereka.

372 – حَدَّثَنَا أَبُو الْوَلِيدِ هِشَامُ بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ قَالَ حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ الْمُفَضَّلِ قَالَ حَدَّثَنِي غَالِبٌ الْقَطَّانُ عَنْ بَكْرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ
كُنَّا نُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَضَعُ أَحَدُنَا طَرَفَ الثَّوْبِ مِنْ شِدَّةِ الْحَرِّ فِي مَكَانِ السُّجُودِ

372. Telah menceritakan kepada kami Abu Al Walid Hisyam bin ‘Abdul Malik berkata, telah menceritakan kepada kami Bisyir bin Al Mufadlal berkata, telah menceritakan kepadaku Ghalib Al Qaththan dari Bakar bin ‘Abdullah dari Anas bin Malik berkata, “Kami selalu salat bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, dikalangan kami ada yang meletakkan hujung kain yang dipakainya di tempat sujud kerana terlalu panas (tempat sujud).”

Pengajaran yang kita boleh dapat dari hadis ini adalah:

  1. Harus solat diatas apa sahaja hamparan.
  2. Harus sujud atas kain yang sedang dipakai dalam solat.
  3. Pergerakan yang sedikit walaupun bukan pergerakan solat tidak membatalkan solat. Jangan pelik kalau kita lihat cara solat orang lain. Terutama mazhab lain dengan kita. Mereka ada yang banyak bergerak. Boleh lapkan cermin mata dalam solat pun ada.
  4. Ibadat dalam Islam tidak menyeksakan. Kalau tempat sujud panas, bukan kita nak kena juga sujud tanpa lapik. 
  5. Hadis sahabat yang mengatakan ‘kami melakukan begini begitu bersama Nabi’ boleh dikelaskan sebagai hadis marfu‘. Seperti Nabi sendiri mengatakan boleh buat begitu.
  6. Sahabat ada pakai serban dan ada pakai songkok dalam solat. Ada juga yang tak pakai apa-apa penutup kepala pun ada. Kerana mereka kebanyakannya miskin dan tidak mempunyai baju atau pakaian yang banyak.
  7. Cuaca di Madinah sangat panas di musim panas. Pernah Nabi suruh lambatkan solat zuhur sebab panas. Yang penting adalah khusyuk. Kerana kalau solat dalam keadaan yang panas sangat, tidak dapat khusyuk pula nanti.

————————————————————————————————

بَاب الصَّلَاةِ فِي النِّعَالِ

Bab 24 Bersembahyang Dengan Memakai Kasut

Ini adalah tajuk yang boleh dikatakan kontroversi. Bukan Imam Bukhari nak kata molek pakai kasut dalam solat. Tapi dibenarkan sahaja dalam keadaan tertentu. Sebelum ini tajuk lapik dalam solat adalah berkenaan dengan lapik dahi. Kalau dahi dibenarkan lapik dalam solat, tidakkah kaki juga memerlukan pelapik kerana berdiri dalam keadaan yang panas? Katakanlah cuaca panas sangat. Imam Bukhari nak kata boleh pakai. Sebab nak jaga khusyuk juga. Pakai kasut yang kita rasa selesa. Kalau kita boleh pakai pelapik yang tidak khusus untuk dahi, maka bolehlah juga pakai pelapik untuk kaki. Dan kasut pun boleh dikatakan pelapik juga.

Dalam hadis, kita dapat tahu bahawa Nabi dan sahabat ada pakai kasut juga dalam solat. Dikatakan bahawa tujuan Nabi menyuruh pakai kasut itu adalah untuk membantah amalan orang Yahudi. Kerana mereka setiap kali sembahyang kena buka kasut. Mereka tidak boleh pakai kasut dalam ibadat mereka.
Jadi nampaknya arahan Nabi itu adalah untuk menyalahi perbuatan Yahudi. Kerana waktu itu mereka sembahyang tanpa kasut. Jadi kalau kita sekarang, kenalah buka kasut pula kerana mereka sekarang sembahyang pakai kasut. Mereka dah tukar. Dan hukum Islam itu mengikut keadaan. Kalau keadaan berubah, hukum yang asal pun berubah mengikut keadaan. Macam zaman sekarang, Yahudi dah tak buka kasut. Dan mereka pula simpan janggut panjang. Dan ada golongan sikh yang pakai serban juga. Janggut mereka pun panjang. Maka ada eloknya kalau kita tidak ikut identiti mereka. Zaman Nabi itu Nabi nak menyalahi agama lain. Ada eloknya kalau kita tidak menyebelahi mana-mana identiti. Supaya nampak bahawa Islam ini adalah untuk semua. Supaya semua manusia akan rasa selesa dengan kita.

Dan mungkin juga Imam Bukhari nak mengatakan sunat memakai kasut kerana tanpa kasut, tidak lengkap pakaian. Kerana ayat Quran yang menyuruh kita memakai pakaian yang lengkap sebagai perhiasan untuk solat. Ini adalah andaian.

Ada yang kata tajuk ini untuk menyangkal pendapat Yahudi yang mengatakan batal sembahyang kalau pakai kasut. Mereka salah faham dengan perintah Allah kepada Musa semasa Allah menyuruh Nabi Musa membuka kasut di lembah Tuwa. Kerana ketika itu dia sedang berada di tempat suci. Sekali imbas ayat ini menyuruh tidak berkasut di tempat suci seperti masjid. Nabi Muhammad ingin menghapuskan pengaruh dan pendapat mereka itu maka baginda memakai kasut dan menyuruh sahabat memakai kasut. Baginda faham suruhan Allah untuk mencabut kasut itu adalah untuk beradab sahaja. Tidaklah perintah itu bermaksud wajib.

373 – حَدَّثَنَا آدَمُ بْنُ أَبِي إِيَاسٍ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ قَالَ أَخْبَرَنَا أَبُو مَسْلَمَةَ سَعِيدُ بْنُ يَزِيدَ الْأَزْدِيُّ قَالَ سَأَلْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ أَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي نَعْلَيْهِ قَالَ نَعَمْ

373. Telah menceritakan kepada kami Adam bin Abu Iyas berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah berkata, telah mengabarkan kepada kami Abu Maslamah Sa’id bin Yazid Al Azdi berkata, “Aku bertanya kepada Anas bin Malik, “Apakah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah salat dengan memakai sandal?” Dia menjawab, “Ya.”

Adakah sentiasa Nabi pakai kasut? Tidak sentiasa. Tidakkah memakai kasut akan menyebabkan kekotoran pada tempat ibadat kita? Padahal ajaran Islam mementingkan kebersihan. Maka kena faham apakah suruhan dan perbuatan Nabi. Jangan nak terus pakai sahaja.

Nabi tidak sentiasa berkasut. Dalam hadis riwayat Anas itu bermaksud kadang-kadang sahaja baginda berkasut. Kadang kadang tidak berkasut.
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum berkasut dalam solat. Ulama terbahagi kepada beberapa golongan.
1. Golongan pertama mengatakan sunat pakai kasut. Pada mereka, elok memakai kasut dalam solat. Dengan syarat kasut itu bersih. Walaupun kasut itu pernah digunakan di jalanan. Antara yang memegang pendapat ini adalah Imam Ahmad dan mazhab Zahiri. Begitu juga dengan Imam Syaukani dan Ibn Battal (salah seorang pensyarah Sahih Bukhari). Dalil mereka adalah hadis-hadis yang ada mengatakan bahawa Nabi dan sahabat pakai kasut. Kalau kita kata itu hanya kerana Nabi menyalahi Yahudi jawapannya adalah seperti juga solat qasar bukan hanya kerana takut dikacau orang kafir. Bukanlah kita hanya boleh solat Qasar kalau takut diganggu oleh orang kafir. Zaman kita memang lagi boleh pakai kasut yang bersih. Sebab dah tak kotor jalanan macam zaman dulu. Memang boleh pakai kasut yang bersih kerana jalan pun bersih. Tidak lagi terpijak tahi lembu dan binatang yang lain.
2. Pendapat kedua mengatakan elok solat dengan kasut kalau bertujuan hendak menyalahi pegangan orang Yahudi. Kalau bukan sebab itu, ianya adalah harus sahaja. Kalau sekarang orang Yahudi pula memakai kasut, sudah tidak ada kebaikan dalam pakai kasut. Yang memegang pendapat ini adalah Imam Syafie dan golongan Hanafiah.
3. Golongan ketiga mengatakan memakai kasut adalah satu rukhsah (kemudahan yang Allah beri) dalam keadaan tertentu. Kalau lantai terlalu panas, terlalu sejuk atau menggerutu. Bukan elok untuk setiap keadaan. Boleh pakai kalau hendak. Imam Bukhari berpendapat begini. Kita kenalah ingat bahawa orang Islam ada macam-macam jenis. Lihat askar contohnya. Kalau mereka kena buka dan pakai kasut mereka dalam peperangan atau dalam hutan, tentulah susah. Bila dah buka kasut, tiba-tiba kena serang, kan susah nak pakai kasut itu balik? Islam memudahkan umatnya untuk beribadat. Dalam banyak keadaan, solat perlu dilakukan juga. Tidak ada alasan untuk tidak solat. Ini bermakna, ada keperluan memakai kasut dalam keadaan tertentu.
4. Elok berkasut sebab termasuk dalam perhiasan. Ayat Quran menyuruh kita memakai perhiasan setiap kali solat. Dan kasut pun adalah sebahagian dari pakaian juga.
5. Makruh. Kecuali jikalau memenuhi syarat. Iaitu kena lihat jenis kasut dan sebagainya.

Seeloknya tak payah pakailah kasut. Susah nanti nak kawal. Wajar kalau kita tidak benarkan pakai kasut. Zaman Nabi dulu masjid lantainya dari tanah, sesuailah kalau nak pakai kasut. Dan kalau ada kegunaan kesesuaian seperti panas kah atau terlalu sejuk, kita tidak mengalami keadaan begitu. Cuma kenalah tahu bahawa Nabi pernah pakai kasut dahulu dan ada kegunaan jika perlu boleh pakai kasut.

————————————-

Bolehkah kita talfid? Iaitu tukar-tukar mazhab? Contoh ambil wudu mazhab Syafie tapi bab batal pakai mazhab Hanafi. Tidak ada dalil yang terang mengatakan tidak boleh talfid. Sebenarnya ikut yang kita faham. Tabein pun dalam satu masalah pakai pendapat satu sahabat tapi bab batal wudu tanya pendapat sahabat lain pula. Yang tidak sama pendapat mereka berdua. Asalkan mereka dua-dua alim. Tidaklah kena pakai satu mazhab dari mula sampai habis. Tidak ada ijmak tentang perkara talfid yang mengatakan tidak boleh. Ini pendapat masing-masing. Kalau nak susah, sendiri pakailah.

Bagaimana nak sujud kalau kat depan kita adalah belakang orang? Macam kat Mekah yang penuh manusia. Kita buat setakat mana yang boleh. Boleh sebenarnya nak sujud atas badan dia tapi takut dia terkejut pula. Eloknya tunggulah dulu.

Ada yang tidak pakai tujuh anggota sujud. Kaki sampai terangkat pun ada, padahal kita mewajibkan perut jari kaki kena sentuh lantai. Yang buat macam itu memegang pendapat mengatakan bahawa yang tujuh anggota itu adalah sunat sahaja.

 

 

 

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 17 Bab Bersembahyang Dengan Melapik Sejadah Kecil April 25, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 9:37 pm

بَاب الصَّلَاةِ عَلَى الْخُمْرَةِ

Bab 21 Bersembahyang Dengan Melapik Sejadah Kecil

Imam Bukhari masih lagi membincangkan tentang penggunaan lapik dalam solat. Walaupun sebelum ini telah disentuh dalam bab yang lain tapi Imam Bukhari meletakkan dalam satu tajuk yang khas. Supaya manusia tidak terkeliru. Takut ada yang baca hadis tentang Nabi mengatakan bahawa bumi dijadikan tempat sujud. Takut ada yang ingat kena betul-betul sujud atas tanah. Tidak begitu.

Perbuatan Nabi menggunakan pelapik itu menunjukkan harus. Bukanlah Sunnah. Sebab bukanlah sentiasa Nabi pakai pelapik. Ada ketikanya Nabi sujud terus atas tanah. Cuma bagus kalau dengan pelapik itu akan menyebabkan kita lagi khusyuk kerana sebab-sebab tertentu, seperti tempat sujud panas. Atau tempat sujud kotor dan sebagainya.

368 – حَدَّثَنَا أَبُو الْوَلِيدِ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ قَالَ حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ الشَّيْبَانِيُّ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ شَدَّادٍ عَنْ مَيْمُونَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي عَلَى الْخُمْرَةِ

368. Telah menceritakan kepada kami Abu Al Walid berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah berkata, telah menceritakan kepada kami Sulaiman Asy Syaibani dari ‘Abdullah bin Syaddad dari Maimunah ia berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam selalu solat dengan melapik khumrah (sejadah kecil).”

Dari segi bahasa, hadis menunjukkan Nabi selalu pakai khumrah. Bukan setiap kali dan bukan hanya sekali sekala sahaja. Kalau faham bahasa Arab, kita boleh faham banyak benda dari ayat yang ringkas sahaja. Sebab itu ada yang kata Sunnah dan ada kata tidak.

————————————————————————————————–

بَاب الصَّلَاةِ عَلَى الْفِرَاشِ

Bab 22 Bersembahyang Di Atas Tilam

وَصَلَّى أَنَسٌ عَلَى فِرَاشِهِ وَقَالَ أَنَسٌ كُنَّا نُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَسْجُدُ أَحَدُنَا عَلَى ثَوْبِهِ

Anas bin Malik bersembahyang di atas tilamnya. Anas berkata: Kami selalu bersembahyang bersama Rasulullah SAW dalam keadaan ada diantara kami orang yang bersujud di atas kain yang dipakainya – (dipakainya sendiri)

Hadis ini menunjukkan solat atas tilam bukan khusus untuk Nabi sebab Anas pun buat. Takut ada yang kata bahawa solat atas tilam itu hanya khusus kepada Nabi sahaja. Tapi kali ini kita boleh lihat, Anas pun solat atas tilam juga. Ini terjadi lepas wafat Nabi. Jadi kebolehan solat di atas tilam tak mansukh.

Nabi sering solat atas tilam. Dan tilam itu bukan yang khusus untuk solat. Memang tilam yang dipakai untuk tidur. Tidak kotor kah kalau begitu? Hukumnya adalah, kalau tak nampak kekotoran, boleh pakai. Mudah kalau begitu. Boleh pakai walaupun tilam yang sama digunakan untuk bersetubuh dengan isteri. Sebab nanti kita akan lihat ada hadis yang menunjukkan tilam yang digunakan oleh Nabi itu adalah tilam yang sama digunakan oleh baginda dan isterinya.

Bahagian kedua tajuk diatas menunjukkan boleh menggunakan sebahagian kain yang dipakai. Contohnya, sebahagian dari lengan baju, sebahagian dari serban, sebahagian dari kain kelubung wanita dan sebagainya. Ini hendak menolak pendapat syafiiyah yang kata tak boleh sujud atas kain baju yang bergerak sekali dengan kita. Kalau pakai kain lengan, tentulah bergerak sekali sebab kain itu bergerak bersama dengan kita. Imam Bukhari nak mengatakan bahawa boleh kalau berlapik dengan kain yang macam itu pun. Dan inilah juga pendapat jumhur ulama. Kalau mazhab Syafie kata tak jelas bahawa itu adalah kain yang dipakai dibadan, mungkin kain lain yang dipakai mereka, jawapannya adalah zaman itu memang sahabat tak banyak kain.

Ini bukan guna kain yang lain tapi yang dipakai oleh kita. Yang ada ditubuh. Kalau ada hadis yang mengatakan tidak boleh, itu adalah bercanggah dengan hadis yang sahih. Kerana memang hadis yang mengatakan Nabi tidak menggunakan ‘kain dalam’ sebagai lapik sujud. ‘Pakaian dalam’ disini bukan kain dalam yang macam kita faham tapi adalah bermaksud yang kena tubuh. Hadis itu tidak kuat.

369 – حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ قَالَ حَدَّثَنِي مَالِكٌ عَنْ أَبِي النَّضْرِ مَوْلَى عُمَرَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهَا قَالَتْ كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلَايَ فِي قِبْلَتِهِ فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا قَالَتْ وَالْبُيُوتُ يَوْمَئِذٍ لَيْسَ فِيهَا مَصَابِيحُ

369. Telah menceritakan kepada kami Isma’il berkata, telah menceritakan kepadaku Malik dari Abu An Nadlr mantan budak ‘Umar bin ‘Ubaidullah, dari Abu Salamah bin ‘Abdurrahman dari ‘Aisyah isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, ia berkata, “Aku tidur di depan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan kakiku berada di sebelah Qiblatnya (melintang di tempat sujud). Baginda akan mengisyaratkan kepadaku dengan menyentuh kakiku apabila hendak sujud, maka aku melipat kedua belah kakiku. Dan apabila baginda bangun, aku kembali meluruskan kakiku.” ‘Aisyah berkata, “Pada masa itu di rumah-rumah tidak ada lampu.”

Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi sedang solat atas tilam walau tidak nyata. Sebab kalau dilihat bahawa Aisyah tidur depan Nabi. Tentulah Aisyah tidur atas tilam. Itu adalah lihat dari keadaan.
Ada juga hadis yang mengatakan ada tiga perkara yang boleh memotong solat: perempuan, himar dan anjing. Tapi hadis ini menunjukkan kalau lintas jalan tak boleh tapi kalau tidur tetap macam Aisyah ini, boleh.
Hadis ini juga menunjukan bahawa kalau sentuh perempuan tidak batal wudu. Selalunya kalau seseorang itu tidur, ada kemunginan kakinya terdedah. Keadaan waktu itu gelap pula sebab Aisyah sendiri kata masa itu rumah tidak ada lampu. Nabi pun tak pesan awal-awal kepada Aisyah untuk menutup bahagian tubuhnya. Tiada dalil pun yang kata Aisyah itu berlapik. Kerana kepada mereka yang kata kaki Aisyah waktu itu berlapik, tidak ada dalil. Kalau menyentuh perempuan akan membatalkan wudu, tentu Nabi akan berhati-hati. Tapi tidak nampak dalam hadis ini. Nabi terus sahaja sentuh kaki Aisyah. Takkan Nabi nak ambil kebarangkalian solatnya akan terbatal pula. Sudahlah dah lama solat, tapi waktu sujud, terbatal pula.

Lelaki boleh solat dengan perempuan dihadapan. Tidak memotong atau membatalkan solat itu. Asalkan tidak terganggu. Janganlah buat macam itu kalau sambil solat itu, teringat pula apa yang dia nak buat kepada isterinya.

Sedikit pergerakan tidak membatalkan. Dalam hadis ini, Nabi menjamah kaki Aisyah. Itu bukanlah sebahagian dari perbuatan solat.

Boleh mengadap orang tidur. Walaupun terbuka kepada berbagai kemungkinan. Ada kemungkinan kaki dia akan sepak kita, dia tersentuh kita dan sebagainya.

Selalu kita dengar Nabi solat tapi isterinya tidur. Ini kerana kepada Nabi, solat sunat malam adalah wajib bagi baginda, tapi tidak kepada orang lain. Nabi tidak menyusahkan isteri-isteri baginda. Tapi selalunya, selepas waktu tertentu, Nabi akan menggerak juga isterinya untuk solat juga. Jadi, kalau kita kuat untuk solat malam, tidak semestinya isteri kita juga kena solat bersama kita. Mungkin mereka penat menjaga anak dan memasak. Kena faham situasi mereka.

370 – حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ قَالَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ حَدَّثَنِي عُقَيْلٌ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ قَالَ أَخْبَرَنِي عُرْوَةُ أَنَّ عَائِشَةَ أَخْبَرَتْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي وَهِيَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ عَلَى فِرَاشِ أَهْلِهِ اعْتِرَاضَ الْجَنَازَةِ

370. Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Bukair berkata, telah menceritakan kepada kami Al Laits telah menceritakan kepadaku ‘Uqail dari Ibnu Syihab berkata, telah mengabarkan kepadaku ‘Urwah bahwa ‘Aisyah mengabarkan kepadanya, sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam salat diatas tilam isterinya dalam keadaan dia terlintang diantara baginda dan kiblat (tempat sujudnya) seperti terlintangnya jenazah (apabila disembahyangkan).”

Hadis ini jelas bahawa bukanlah tilam itu tilam khas untuk solat tapi tilam yang digunakan untuk tidur.

Kepala Aisyah di sebelah kanan Nabi. Macam itulah juga cara solat perempuan. Menunjukkan boleh belaka nak letak jenazah. Lelaki perempuan. Kerana di tempat kita, ada yang meletakkan kepada jenazah di bahagian kiri makmum solat jenazah. Padahal tidak begitu. Dan imam solat jenazah juga berada di bahagian mana-mana jenazah itu samada jenazah lelaki atau perempuan.

Kaki Aisyah waktu itu ada di tempat sujud.

371 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ يَزِيدَ عَنْ عِرَاكٍ عَنْ عُرْوَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي وَعَائِشَةُ مُعْتَرِضَةٌ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ عَلَى الْفِرَاشِ الَّذِي يَنَامَانِ عَلَيْهِ

371. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah menceritakan kepada kami Al Laits dari Yazid dari ‘Irak dari ‘Urwah, bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam shalat dalam keadaan ‘Aisyah terlintang diantara baginda dengan kiblatnya, di atas tilam yang berdua mereka tidur.

Tilam yang sama pakai tidur dan bersetubuh tentunya. Menunjukkan boleh pakai tilam itu walaupun ada kemungkinan najis. Asalkan tidak nampak najis. Atau kalau ada bekas mani atau mazi pada bahagian lain tilam itu, kalau tidak kena pada bahagian tubuh kita waktu solat, tidak membatalkan wudu.

 

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 16 Bab Jika Ketika Bersujud Kain Seseorang Yang Sedang Bersembahyang Terkena Isterinya

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 1:19 am

بَاب إِذَا أَصَابَ ثَوْبُ الْمُصَلِّي امْرَأَتَهُ إِذَا سَجَدَ

Bab 19 Jika Ketika Bersujud Kain Seseorang Yang Sedang Bersembahyang Terkena Isterinya

Kali ini Imam Bukhari hendak menceritakan tentang tempat solat dengan lebih khusus. Iaitu khusus kepada perbuatan Nabi sendiri. Sebelum ini diceritakan dalam bentuk umum sahaja.

Secara ringkasnya, Imam Bukhari hendak memberitahu bahawa tidak batal dan tidak makruh kalau baju kita tersentuh kepada perempuan yang dalam haidh. Sebab banyak kali kejadian seperti ini terjadi kepada baginda. Ianya juga tidak makruh kerana Nabi tidak membuat perkara yang makruh. Memang ada Nabi buat perkara makruh sesekali untuk menceritakan kepada umatnya bahawa perbuatan itu tidak haram. Tapi untuk perkara seperti itu, hanya Nabi lakukan sekali sahaja. Paling banyak pun dua kali.

Apa yang penting adalah kita solat di tempat yang tidak bernajis. Dan najis itu adalah najis aini iaitu najis yang boleh nampak. Bukan najis hukmi. Najis hukmi adalah najis yang kita tahu kerana Allah beritahu kepada kita. Seorang perempuan yang datang kotor (haidh) itu berada dalam najis hukmi, bukan najis aini. Kita boleh menyentuh mereka lagi.

Ugama lain ada yang kena jauh dengan perempuan. Pada mereka kalau semakin jauh dari perempuan lagi bagus. Sampaikan ada yang langsung tidak kahwin. Pada mereka molek sangatlah tu. Tapi Islam tidak begitu. Islam pentingkan hubungan. Lagilah elok kalau orang baik pun menikah juga dan berkembang biak. Jadi, mungkin ada orang yang baru masuk Islam dan dah biasa dengan fahaman salah itu, maka hadis ini menunjukkan bahawa boleh kalau dekat dengan perempuan Termasuk kalau sedang melakukan ibadat. Ini yang Imam Bukhari nak bawakan.

Selagi tak kena najis, solat tidak batal. Kalau kena darah haidh baru batal. Kalau kena pada tubuh wanita sahaja tidak mengapa. Walaupun kita solat berdekatan dengan najis pun tidak batal. Memanglah tidak molek kalau begitu. Contohnya, kita solat dan ada najis di bawah badan kita tapi tak kena badan, itu tidak membatalkan solat. Bukan nak suruh kita buat macam itu pula. Tapi nak kata bahawa sah solat itu.

Menghilangkan kekeliruan kepada yang ada masalah was-was. Kerana ada mazhab yang mengatakan bahawa kalau sentuh perempuan akan terbatal wudu. Imam Bukhari nak kata bahawa kalau sentuh pakaian sahaja atau pakaian kita sentuh mereka pun tidak batal. Pada pendapat dia, sentuh kulit pun memang dah tak batal. Tapi kepada yang kata batal kalau sentuh kulit pun, tidak batal kalau sentuh pakaian. Kalau sentuh rambut pun tak batal lagi.

Boleh solat dekat perempuan. Samada dia dalam jaga atau tidur. Melintang depan pun boleh. Sebab pernah Nabi pun buat begitu – Aisyah berada di hadapan baginda semasa baginda solat. Tapi Jangan khayal pula fikirkan macam-macam. Itu dah tak khusyuk. Kalau macam itu dah jadi lain dah. Hukum ini tidak khusus kepada lelaki sahaja. Kalau perempuan solat dan ada lelaki berdekatan pun tidak mengapa.

366 – حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ عَنْ خَالِدٍ قَالَ حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ الشَّيْبَانِيُّ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ شَدَّادٍ عَنْ مَيْمُونَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي وَأَنَا حِذَاءَهُ وَأَنَا حَائِضٌ وَرُبَّمَا أَصَابَنِي ثَوْبُهُ إِذَا سَجَدَ قَالَتْ وَكَانَ يُصَلِّي عَلَى الْخُمْرَةِ

366. Telah menceritakan kepada kami Musaddad dari Khalid berkata, telah menceritakan kepada kami Sulaiman Asy Syaibani dari ‘Abdullah bin Syidad dari Maimunah ia berkata, “Pernah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam salat sementara aku berada di sampingnya, dan waktu itu aku sedang haid. Kadang-kadang kainnya terkena aku apabila beliau sujud. Kata Maimunah, Nabi SAW bersembahyang di atas khumrah (sejadah kecil sekadar cukup untuk muka ketika bersujud – atau dua tapak tangan).”

Pengajaran yang kita boleh dapat dari hadis ini:

  1. Harus bergaul rapat dengan perempuan dalam haidh. Mereka bukanlah najis.
  2. Menunjukkan kesucian badan dan kain perempuan yang berhaidh.
  3. Kebolehan memakai Khumrah. Ianya adalah sejadah kecil.
  4. Menunjukkan kemesraaan Nabi dan isteri. Nabi juga nak tunjuk bahawa ibadat tidak menghalang lelaki mendekati perempuan.

 

بَاب الصَّلَاةِ عَلَى الْحَصِيرِ

Bab 20 Bersembahyang Di Atas Tikar

Ada hadis Nabi suruh lekapkan dahi pada tanah. Tapi itu adalah hadis yang lemah. Imam Bukhari nak ajar bahawa kita kenalah berpegang dengan hadis yang sahih.

وَصَلَّى جَابِرُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ وَأَبُو سَعِيدٍ فِي السَّفِينَةِ قَائِمًا وَقَالَ الْحَسَنُ قَائِمًا مَا لَمْ تَشُقَّ عَلَى أَصْحَابِكَ تَدُورُ مَعَهَا وَإِلَّا فَقَاعِدًا

Jabir bin Abdillah dan Abu Said sembahyang dalam perahu sambil berdiri. Hasan berkata bersembahyanglah sambil berdiri (dalam perahu) selagi kamu tidak menyukarkan kawan-kawanmu. Bagaimanapun kamu hendaklah berpusing bersama pusingan perahu itu. Tetapi kalau menyusahkan mereka, bersembahyang lah sambil duduk.

Apakah persamaan antara tikar dan perahu? Dalam tajuk utama diletakkan berkenaan dengan tikar tapi dalam tajuk kedua diletakkan berkenaan perahu pula. Imam Bukhari nak beritahu bahawa solat diatas perahu itu macam ada lapik juga. Tidak sujud diatas tanah dan didalam perahu yang diperbuat dari kayu. Tidak menjadi kesalahan. Dalam matan yang penuh pada hadis Jabir dan Abu Said itu, mereka sudah berlabuh dan mereka boleh sahaja untuk pergi ke pantai untuk solat tapi mereka tidak pergi. Menunjukkan kebolehan solat di atas perahu. Mereka solat dalam keadaan berdiri, menunjukkan kena berdiri selagi mampu.

Hasan Basri mengatakan kalau solat dalam perahu, solat berdiri selagi tidak menyusahkan. Dan pada permulaan solat sahaja kena ikut kiblat. Lepas itu pusing sahaja ikut perahu itu. Ada yang terjemah kata-kata Hasan itu sebagai: jikalau perahu pusing, kita pun kena pusing ikut kiblat juga. Supaya dada kita sentiasa mengadap kiblat. Tapi tak praktikal kalau macam tu.

367 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ إِسْحَاقَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ جَدَّتَهُ مُلَيْكَةَ دَعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ لَهُ فَأَكَلَ مِنْهُ ثُمَّ قَالَ قُومُوا فَلِأُصَلِّ لَكُمْ قَالَ أَنَسٌ فَقُمْتُ إِلَى حَصِيرٍ لَنَا قَدْ اسْوَدَّ مِنْ طُولِ مَا لُبِسَ فَنَضَحْتُهُ بِمَاءٍ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَفَفْتُ وَالْيَتِيمَ وَرَاءَهُ وَالْعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا فَصَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ انْصَرَفَ

367. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengabarkan kepada kami Malik dari Ishaq bin ‘Abdullah bin Abu Thalhah dari Anas bin Malik bahwa neneknya, Mulaikah, mengundang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk hidangan yang ia masak untuk beliau. Beliau kemudian memakan sebahagian makanan tersebut kemudian bersabda: “Berdirilah, biar aku mengimami kalian salat.” Anas berkata, “Maka aku langsung mengambil tikar milik kami yang sudah lusuh dan hitam akibat lama telah digunakan. Aku lalu memercikinya dengan air, kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri diatasnya. Aku dan seorang anak yatim lalu membuat saf di belakang beliau, sementara orang tua (nenek) berdiri di belakang kami. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lalu shalat memimpim kami sebanyak dua rakaat lalu pergi.”

Pengajaran dari hadis ini:

  1. Boleh terima undangan makan walau dari perempuan asalkan tidak ada tohmahan. Atau boleh jadi fitnah. Fitnah itu kalau ada orang tengok mereka tak berkenan, boleh kata macam-macam atau suami dia tak suka.
  2. Jemputan makan tidak semestinya untuk kenduri kahwin sahaja.
  3. Keharusan solat sunat berjemaah di rumah. Asalnya, ajakan itu adalah untuk makan sahaja. Tapi Nabi tak mahu hanya makan sahaja. Sebab itu baginda ajak mereka solat bersama.
  4. Elok membersihkan tempat sembahyang seperti sejadah sebelum memulakan solat. Anas dalam hadis ini telah membersihkan tikar itu dan memerciknya dengan air. 
  5. Kanak-kanak boleh berdiri dalam saf sama dengan orang dewasa. Seeloknya kena yang sudah mumayyiz. Mazhab Syafie longgar berkenaan ini. Eloklah begitu. Kalau mazhab Hanafi, mereka tak benarkan langsung.
  6. Saf perempuan di belakang saf lelaki. Kalau seorang pun, dia kena berdiri sendiri. Tak boleh masuk saf lelaki atau tarik lelaki ke bawah. Kalau lelaki, tidak boleh kalau seorang sahaja di saf belakang. Dia kena tarik orang dari saf hadapan. Untuk perempuan pun begitu juga, apabila dia dalam saf perempuan, tidak boleh duduk berseorangan. Kena tarik seseorang dari saf hadapan.
  7. Sembahyang dan wudu kanak-kanak mumayyiz adalah sah. Sebab dalam hadis ini seorang lagi budak yang solat bersama Anas dipanggil ‘anak yatim’. Kalau sudah baligh tidak dipanggil anak yatim lagi. Mereka yang mumayyiz tidak wajib solat lagi. Pahala solatnya diberikan kepada ibubapanya. Kalau dah mumayyiz, nak jadi imam solat pun boleh.
  8. Keharusan sujud atas tikar. Inilah perkara penting yang hendak dibawa oleh Imam Bukhari dalam hadis ini. 
  9. Solat sunat lebih afdhal di rumah. Masjid asalnya dibina untuk solat fardhu. Jadi kalau di masjid jangan kacau solat fardhu orang lain. Macam kita baca Quran, jangan kuat sangat sampai ganggu orang yang solat fardhu. Doa pun jangan kuat.
  10. Solat membawa berkat kepada rumah dan penghuninya. Sebab orang ajak Nabi makan di rumahnya itu untuk mendapat berkat. Itu sebab dia solat di rumah itu. Nabi pernah katakan bahawa jangan jadikan rumah seperti kubur – tidak ada orang solat. Solat yang perlu dilakukan di rumah adalah solat sunat. Solat fardhu sebenarnya kena jemaah di masjid.
  11. Tidaklah perlu untuk buat solat khas apabila baru masuk rumah. Banyak yang buat solat hajat ajak ramai-ramai orang datang. Padahal itu bukan Sunnah. Kadang-kadang tu, hanya solat hajat itu sahaja mereka buat. Tapi selepas itu tuan rumah itu tidak pun buat solat sunat di rumah itu. 
  12. Apabila makmum lebih dari seorang, kena buat saf dibelakang imam.
  13. Solat makmum yang berseorangan dibelakang saf lain adalah sah. Kerana mengambil dalil perempuan tua yang berseorangan dibelakang saf lelaki. Ada yang berpendapat bahawa boleh kalau lelaki solat di belakang saf menggunakan hadis ini. Tapi ada juga yang tidak menerimanya. Seperti Imam Ahmad. Yang dalam hadis ini sebab dia perempuan, jadi dia tidak boleh masuk saf lelaki. Itu sebab dia seorang sahaja. Bukhari dalam golongann pertama – boleh kalau solat berseorangan di belakang saf. Cuma makruh.
 

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 14 & 15 Bab Bersembahyang Di Atas Sutuh (Bumbung Rumah Yang Rata), Mimbar Dan Kayu April 23, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 8:03 pm
Tags: , , , , , , , ,

بَاب الصَّلَاةِ فِي السُّطُوحِ وَالْمِنْبَرِ وَالْخَشَبِ

Bab Bersembahyang Di Atas Sutuh (Bumbung Rumah Yang Rata), Mimbar Dan Kayu

Sebelum ni Imam Bukhari banyak menceritakan bab pakaian. Itu adalah syarat pertama sebelum sembahyang. Sekarang dia ingin membicarakan bahagian kedua pula iaitu berkenaan dengan tempat solat.

Sutuh adalah bumbung yang rata. Ianya terdedah di bahagian atas. Di Malaysia tidak biasa ada bumbung sebegini kerana kita banyak hujan turun. Tapi di negara tidak banyak hujan, bumbung mereka rata. Mereka akan tidur di bumbung itu dimusim panas kerana ianya terdedah dan ianya sejuk;
Kenapa Imam Bukhari guna perkataan ‘dalam’ sutuh dalam tajuknya? Sepatutnya dia gunakan ‘atas’. Ini kerana memang ada penggunaan macam tu dalam bahasa Arab termasuklah dalam Quran pun. Imam Bukhari akan menggunakan cara Quran sebanyak mungkin.

Imam Bukhari hendak menyampaikan dalam bab ini bahawa boleh solat di mana-mana asalkan tempat yang bersih dan suci. Suci itu bermakna suci dari segi syarak. Kadang-kadang ada tempat yang bersih tapi tidak suci. Boleh juga solat samada di tanah tinggi atau tidak. Rata atau tidak. Berlapik atau tidak.
Dalam hadis, pernah Nabi mengatakan bahawa bumi telah dijadikan kepada baginda sebagai masjid. Maksudnya tempat solat. Tapi bukan maknanya betul-betul kena solat atas tanah. Itu pendapat yang salah termasuk yang mengatakan demikian adalah puak sesat Syiah. Mereka pakai hadis itu dan kata kena sujud atas tanah juga. Tapi kenapa mereka pakai tanah Karbala pula, bukan tanah Makkah kah atau tanah Madinah? Itu semua adalah kerana kesesatan mereka.

Imam Bukhari letak tajuk sebegitu kerana ada khilaf seperti ulama Maalikiah yang pegang bahawa tak sah kalau imam lebih tinggi dari makmum. Dan ada yang kata solat di atas kayu adalah makruh. Jadi kerana ada pendapat-pendapat yang sebegini menyebabkan Imam Bukhari tidak menyatakan dengan terang pendapat beliau kerana beliau menghormati pendapat orang lain. Tetapi kepada yang tahu, mereka akan nampak bahawa sebenarnya Imam Bukhari menolak pendapat itu dengan lembut.

Kesimpulannya Imam Bukhari nak mengatakan bahawa boleh solat atas apa sahaja asalkan bersih dan suci.

قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ وَلَمْ يَرَ الْحَسَنُ بَأْسًا أَنْ يُصَلَّى عَلَى الْجُمْدِ وَالْقَنَاطِرِ وَإِنْ جَرَى تَحْتَهَا بَوْلٌ أَوْ فَوْقَهَا أَوْ أَمَامَهَا إِذَا كَانَ بَيْنَهُمَا سُتْرَةٌ وَصَلَّى أَبُو هُرَيْرَةَ عَلَى سَقْفِ الْمَسْجِدِ بِصَلَاةِ الْإِمَامِ وَصَلَّى ابْنُ عُمَرَ عَلَى الثَّلْجِ

Abu Abdillah (Imam Bukhari) berkata: Hasan berpendapat tidak mengapa bersembahyang di atas air beku (air batu) dan di atas jambatan walaupun di bawahnya, di atasnya atau di hadapannya mengalir air kencing jika ada sutrah diantara tempatnya dan tempat mengalir air kencing itu. Abu Hurairah bersembahyang di atas bumbung masjid dengan mengikut sembahyang imam (dibawahnya). Ibnu Umar pernah bersembahyang di atas salji.

Walaupun kita tidak ada peluang solat diatas ketul ais macam di kutub utara, tapi ulama telah memikirkan perkara ini. Tidak ada masalah solat diatas ketulan ais yang besar. Cuma jangan solat atas ais yang nipis sudah kerana takut nanti ia cair dan kita termasuk dalam air pula.
Dan boleh solat atas kayu juga. Bukan hanya rumah kayu sahaja. Katakanlah kita kena kejar harimau terpaksa panjat pokok dan duduk disitu dalam kadar lama. Solat tidak boleh ditinggalkan walaupun dalam keadaan macam itu. Maka tidak ada masalah nak solat kalau begitu. Untuk menyucikan diri, kita boleh tayammum seperti yang telah diajar sebelum ini. Bukan nak kena pakai tanah. Ini kita telah belajar dalam bab Tayammum dulu mengikut pendapat Imam Bukhari.

Imam Bukhari membawa hadis yang mengatakan Nabi sendiri telah solat diatas mimbar. Itu adalah tempat yang tinggi dan juga tentulah mimbar itu dijadikan dari kayu. Jadi dia hendak menolak pendapat yg mengatakan makruh solat di atas kayu kerana Nabi sendiri melakukannya. Walaupun Nabi tidak sujud diatas mimbar itu, tapi dia telah melakukan sebahagian dari perbuatan solat. Baginda tidak sujud itu pun kerana mimbar itu hanya dalam bentuk tangga sahaja dan tidak boleh sujud disitu dengan sempurna. Mungkin kalau boleh sujud disitu, baginda telah sujud juga.
Berapa banyak langkah Nabi ambil? Tentulah banyak. Tidak ada dalil yang sah mengatakan tidak boleh mengambil langkah yang banyak. Dan tidak disebut bahawa Nabi langkah satu satu. Imam Ahmad mengatakan bahawa kalau selagi manusia nampak kita masih lagi dalam solat, boleh lagi kita nak berjalan. Sebab tangan kita dalam qiyam dan dada kita sentiasa mengadap kiblat.

– Imam Bukhari membawa pendapat Hasan Basri dalam tajuk diatas, yang mengatakan tidak mengapa solat berdekatan dengan najis asalkan ada sutrah antaranya. Bukankah rumah kita sekarang banyak saluran najis? Saluran itu atas kita atau dibawah kita. Asalkan tidak menitik, solat kita sah. Kerana ada pembahagi antara najis itu dan kita. Tidak kena kepada kita pun. Yang tak boleh adalah kalau kita sentuh najis itu. Katakanlah najis berada bawah dada kita masa sujud, sah juga solat itu. Hanya makruh sahaja. Asalkan tidak kena kepada tubuh kita. Sama juga kalau bersentuh dengan budak pakai pampers. Pun sah juga. Asalkan kita tidak menanggung dia.

– Abu Hurairah pernah juga solat diatas bumbung masjid dengan imam berada di bawah. Dalam riwayat yang lain, dikatakan Abu Hurairah tidak berseorang tapi berdua di atas bumbung masjid itu. Ini menunjukkan bahawa boleh kalau jauh dari imam. Dan boleh kalau makmum berada di atas dan imam di bawah. Hadis ini juga menjadi dalil bahawa boleh kalau terpisah antara makmum dan imam asalkan boleh nampak makmum yang lain. Atau kita boleh dengar takbir intiqaalat. Sebab kalau tak macam mana kita nak tahu sudah gerak dari satu rukun ke satu rukun yang lain. Tak boleh nak harapkan kepada speaker atau tv sebab boleh jadi benda-benda itu tiba-tiba tidak berfungsi dan kita sudah tak tahu pergerakan dari satu rukun ke rukun yang lain.

– Kalau Ibn Umar solat atas salji, bermakna dia solat atas benda yang menutupi tanah. Jadi, tidaklah kena dahi itu menyentuh tanah. Itu adalah dalil mengatakan tidak mengapa jikalau dahi tidak menyentuh tanah.

364 – حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو حَازِمٍ قَالَ سَأَلُوا سَهْلَ بْنَ سَعْدٍ مِنْ أَيِّ شَيْءٍ الْمِنْبَرُ فَقَالَ مَا بَقِيَ بِالنَّاسِ أَعْلَمُ مِنِّي هُوَ مِنْ أَثْلِ الْغَابَةِ عَمِلَهُ فُلَانٌ مَوْلَى فُلَانَةَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَامَ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ عُمِلَ وَوُضِعَ فَاسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ كَبَّرَ وَقَامَ النَّاسُ خَلْفَهُ فَقَرَأَ وَرَكَعَ وَرَكَعَ النَّاسُ خَلْفَهُ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ ثُمَّ رَجَعَ الْقَهْقَرَى فَسَجَدَ عَلَى الْأَرْضِ ثُمَّ عَادَ إِلَى الْمِنْبَرِ ثُمَّ رَكَعَ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ ثُمَّ رَجَعَ الْقَهْقَرَى حَتَّى سَجَدَ بِالْأَرْضِ فَهَذَا شَأْنُهُ
قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ قَالَ عَلِيُّ بْنُ الْمَدِينِيِّ سَأَلَنِي أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ رَحِمَهُ اللَّهُ عَنْ هَذَا الْحَدِيثِ قَالَ فَإِنَّمَا أَرَدْتُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ أَعْلَى مِنْ النَّاسِ فَلَا بَأْسَ أَنْ يَكُونَ الْإِمَامُ أَعْلَى مِنْ النَّاسِ بِهَذَا الْحَدِيثِ قَالَ فَقُلْتُ إِنَّ سُفْيَانَ بْنَ عُيَيْنَةَ كَانَ يُسْأَلُ عَنْ هَذَا كَثِيرًا فَلَمْ تَسْمَعْهُ مِنْهُ قَالَ لَا

364. Telah menceritakan kepada kami ‘Ali bin ‘Abdullah berkata, telah menceritakan kepada kami Sufyan berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Hazim berkata, “Orang-ramai bertanya kepada Sahal bin Sa’d tentang terbuat dari apa mimbar Rasulullah? Maka dia berkata, “Tidak ada seorangpun yang masih hidup dari orang ramai yang lebih mengetahui tentang ini selain aku. Mimbar itu terbuat dari pokok asl yang terdapat di Ghaabah, si fulan maula fulaanah telah membuatnya untuk Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri di atas mimbar itulah setelah ia dibuat dan diletakkan. Pernah Rasulullah menghadap kiblat dan bertakbir di atas mimbar itu dan para sahabat terus berdiri dibelakangnya, beliau lalu membaca ayat Quran lalu rukuk, dan sahabat-sahabat pun ikut rukuk di belakangnya. Kemudian baginda mengangkat kepalanya, lalu mundur ke belakang (dengan menuruni anak tangga mimbar) dan sujud di atas bumi. Kemudian beliau kembali menaiki mimbar. Setelah membaca ayat Quran baginda rukuk, kemudian mengangkat kepalanya lalu berundur kebelakang dan sujud di bumi. Itulah perbuatannya.” Abu ‘Abdillah berkata, ‘Ali Al Madini berkata, Ahmad bin Hambal rahimahullah bertanya kepadaku tentang hadits ini. Ali katakan, “Yang aku maksudkan bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berada lebih tinggi daripada orang-orang. Maka berdasarkan hadis ini, tidak mengapa seorang imam berada lebih tinggi daripada makmum.” Kata Ali, “Selanjutnya aku katakan, “Sesungguhnya Sufyan bin ‘Uyainah sering ditanya tentang masalah ini, ‘Apakah kamu tidak pernah mendengar jawapan beliau? ‘ Ahmad bin Hambal rahimahullah menjawab, “Tidak ada.”

– Sahal bin Sa’d adalah sahabat terakhir yang wafat di Madinah. Bukanlah dia kata dalam ayatnya itu menunjukkan dia hendak menyombong. Dah memang dia sahaja yang tahu waktu itu. Jadi tidak salah kalau dia kata sebegitu.
Hamba kepada seorang perempuan yang bernama Aisyah yang buat. Bukan Aisyah isteri Nabi. Hamba itu dikatakan bernama Maimun. Kisahnya adalah Aisyah yang tanya Nabi sebab bila orang masuk Islam sudah semakin ramai, mereka tak nampak baginda solat. Jadi, mereka itu ada yang baru masuk Islam dan tidak berapa tahu cara solat lagi. Dan Aisyah cadangkan buat mimbar kerana diluar negara pakai mimbar. Dan Nabi telah setuju.

Nabi solat macam ini sekali sahaja buat seumur hidup baginda. Bukan untuk diikuti oleh kita. Tujuan baginda adalah untuk menunjukkan cara solat. Sebab waktu itu sudah semakin ramai yang masuk Islam. Walaubagaimanapun, ada juga ulama yang kata boleh buat begitu dengan maksud mengajar.

Mimbar itu ada dua anak tangga dan satu tempat duduk. Banyak pendapat untuk menjawap bilakah mimbar itu dibuat. Paling kuat adalah ianya dibuat dalam tahun ke-9 Hijrah. Waktu itu sudah ramai masuk Islam sampai penuh masjid. Jadi ada yang baru masuk Islam. Nabi solat tinggi supaya mereka dapat lihat cara baginda solat. Dan memang dalam riwayat lain, diberitahu bahawa Nabi cakap selepas kejadian itu bahawa baginda buat macam itu supaya mereka mengetahui cara solat.

Ini menunjukkan bahawa boleh kalau kita solat di tempat yang tinggi. Islam tidak mewajibkan umatnya solat betul-betul di atas tanah. Susah kalau kena solat atas tanah sahaja. Sekarang rumah banyak yang tinggi jadi tentulah susah kalau setiap kali nak solat kena turun ke tanah. Jadi kena faham hadis Nabi yang mengatakan bumi telah dijadikan sebagai tempat sujud.

Hadis ini mengatakan bahwa boleh kalau imam berada di kedudukan yang tinggi. Dan imam juga boleh berada dalam kedudukan yang rendah sepertimana kita telah lihat bagaimana Abu Hurairah telah solat dengan imam berada di bawah.

Boleh gerak lebih dari tiga langkah. Hadis ini digunakan sebagai dalil kepada mereka yang mengatakan bahawa tidak batal solat walaupun berjalan lebih dari tiga langkah. Seperti Imam Ahmad. Ini penting diketahui kerana banyak yang sampai tidak mengisi ruang saf di hadapannya sebab takut bergerak lebih. Itu sebenarnya memberi ruang kepada syaitan untuk masuk dalam saf.

Elok ada mimbar untuk khatib.

Nabi mengambil berat tentang cara solat umatnya. Sebab itu Nabi mengajar cara solat kepada mereka.

Perempuan dizaman Nabi berani dalam agama. Kita lihat dalam hadis ini, seorang perempuan yang mencadangkan kepada baginda untuk ada mimbar itu. Bermaksud, perempuan juga terlibat dalam penyebaran Islam.

Apakah maksud terjemahan bahagian kedua itu? Kenapa Imam Ahmad kata dia tidak pernah dengar jawapan Sufyan bin ‘Uyainah itu? Padahal Imam Ahmad adalah imam hadis juga. Dan Sufyan bin ‘Uyainah itu adalah gurunya juga. Sebenarnya dia tidak dengar selengkap yang Ali Madini dengar dari Sufyan bin ‘Uyainah. Dari guru lain dia dengar dah. Dia cuma dengar kisah mimbar itu dijadikan dari pokok asl daripada Sufyan bin ‘Uyainah. Tapi dia dah dapat keseluruhan hadis itu dari orang lain. Kita tahu perkara ini sebab ada dalam kitab musnad dia.

365 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحِيمِ قَالَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ قَالَ أَخْبَرَنَا حُمَيْدٌ الطَّوِيلُ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَقَطَ عَنْ فَرَسِهِ فَجُحِشَتْ سَاقُهُ أَوْ كَتِفُهُ وَآلَى مِنْ نِسَائِهِ شَهْرًا فَجَلَسَ فِي مَشْرُبَةٍ لَهُ دَرَجَتُهَا مِنْ جُذُوعٍ فَأَتَاهُ أَصْحَابُهُ يَعُودُونَهُ فَصَلَّى بِهِمْ جَالِسًا وَهُمْ قِيَامٌ فَلَمَّا سَلَّمَ قَالَ إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا وَإِنْ صَلَّى قَائِمًا فَصَلُّوا قِيَامًا وَنَزَلَ لِتِسْعٍ وَعِشْرِينَ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ آلَيْتَ شَهْرًا فَقَالَ إِنَّ الشَّهْرَ تِسْعٌ وَعِشْرُونَ

365. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin ‘Abdurrahim berkata, telah menceritakan kepada kami Yazid bin Harun berkata, telah mengabarkan kepada kami Humaid Ath Thawil dari Anas bin Malik, bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah terjatuh dari kudanya hingga mengakibatkan betisnya atau bahunya terluka. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersumpah (ila’) untuk menjauhi isteri-isterinya selama sebulan. Baginda lalu duduk di atas loteng rumahnya yang tangganya terbuat dari batang pokok kurma. Pada masa itu para sahabatnya datang mengunjungi Nabi, pernah baginda mengimami mereka sambil duduk sedangkan para sahabatnya salat dengan berdiri. Setelah memberi salam, beliau bersabda: “Sesungguhnya dijadikan imam itu supaya diikuti. Jika imam bertakbir maka takbirlah kalian, jika rukuk maka rukuklah kalian, jika sujud maka sujudlah kalian, dan jika ia salat dengan berdiri maka salatlah kalian dengan berdiri.” Kemudian Beliau shallallahu ‘alaihi wasallam turun dari lotengnya pada hari yang ke dua puluh sembilan. Mereka pun berkata, “Wahai Rasulullah, bukankah engkau telah bersumpah untuk sebulan? Beliau menjawab: “Sesungguhnya bulan ini dua puluh sembilan hari.”

Dari hadis ini, seperti mengatakan kita kena ikut imam betul-betul. Kalau imam duduk, makmum pun kena duduk juga. Ini nanti akan dibincangkan lagi.

Kejadian Nabi jatuh dari kudan dan peristiwa dikatakan Nabi Ila’ isterinya itu adalah dua peristiwa berbeza. Tasarruf perawi yang meletakkan dua kisah itu di dalam satu hadis yang sama sebab ada persamaan. Iaitu dalam dua-dua keadaan itu, Nabi duduk di atas loteng.

Peristiwa Nabi jatuh kuda itu pada tahun ke 5 Hijrah dan dikatakan kisah  Ila’ itu pada tahun ke 9. Dua-dua Nabi duduk atas loteng. Waktu jatuh Nabi solat fardhu dan sunat di loteng. Waktu ila’ Nabi solat fardhu di masjid dan hanya solat sunat di loteng itu. Duduk di loteng selepas jatuh supaya sahabat senang lawat baginda. Dan baginda duduk di loteng semasa ila’ supaya terpisah dari isterinya.

Ila’ itu adalah sumpah untuk tidak menyetubuhi isteri. Dari segi syarak, ila’ itu adalah untuk tidak menyetubuhi isteri selama 4 bulan keatas. Asalnya adalah amalan masyarakat Jahiliah. Mereka sebenarnya seperti menggantung isteri dengan tidak menceraikan dan tidak memberi nafkah batin. Dia nak cerai sebenarnya. Kalau dalam masa empat bulan itu, boleh dia rujuk balik tapi kena bayar kaffarah sebab melanggar sumpah.

Kenapakah pula Nabi ila’ isterinya? Ada yang kata itu adalah waham perawi. Kekeliruan perawi. Kerana tidak sesuai mengatakan Nabi ila’ isterinya. Kerana ia perbuatan tidak molek. Tambahan kalau ila’, sepatutnya empat bulan tapi dalam kisah ini, sebulan sahaja.
Maka siapakah yang menggabungkan dua kisah ini dalam hadis yang sama? Kita kena ingat bahawa kitab hadis bukanlah Quran. Boleh jadi ada kekeliruan. Kita kena kata perawi yang keliru, bukan kita kata Nabi buat tak elok. Kerana kita kena jaga status Nabi, bukan perawi. Ulama pertikai berkenaan kes ila’ ini. Tak sesuai Nabi buat. Kenapa pula Nabi nak marahkan isterinya? Dan kalau baginda marah pun, baginda tak buat perbuatan yang lagha –  sia-sia. Ini adalah kekeliruan orang lain yang meriwayatkan. Sebagai ulama hadis, mereka bukan hanya melihat sanad, tapi melihat juga matan hadis itu. Mereka akan lihat samada hadis itu sesuai dengan Nabi atau tidak. Sebab ada kemungkinan ada orang ubah hadis dan masukkan dalam sahih Bukhari. Kerana ada kisah ada dalam satu naskhah itu tapi tidak ada dalam naskhah lain. Ingatlah bahawa yang Allah janji untuk jaga hanyalah Quran. Kalau selain dari itu, termasuklah Kitab Sahih Bukhari pun, tidak terjamin.

– Dalam hadis ini Nabi solat atas loteng yang dibuat dari kayu. Tapi ada kata tak jelas lantai itu dari kayu. Yang disebut dalam hadis itu hanya tangga dari kayu. Kalau begitu, kita hanya boleh mengatakan ini dalil Nabi solat atas sutuh sahaja – terpisah dari bumi. Tapi kemungkinan besar lantai itu memang dari kayu pun.

– Imam untuk diikuti. Ini perbincangan yang besar. Dari sinilah mazhab Hanafi pakai kata ikut sahaja, tidak perlu baca fatihah kalau bermakmum. Dan kena tahu apa solat imam itu, sebab kena ikut imam, termasuklah apa solat dia. Contohnya, kalau kita solat tamam tak boleh ikut imam yang solat qasar. Tapi Imam Syafie pegang hadis ini sebagai kita hanya kena ikut perbuatan imam itu sahaja. Tidak perlu untuk kita tahu dia sedang solat apa. Para sahabat dalam hadis ini mereka mengikut Nabi dalam solat sunat. Kadang-kadang mereka tidak tahu apakah solat Nabi itu, tapi mereka terus ikut sahaja.

Ada pendapat kata dah mansukh dah hukum kena duduk kalau imam duduk. Imam Bukhari pun pakai pendapat begini. Hukum dalam Islam ada peringkat. Pada mulanya memang Nabi suruh duduk kalau imam duduk. Sebab tak mahu ikut masyarakat yang silap hormat sampai berdiri sahaja. Contohnya, Nabi tidak suka kalau orang berdiri kalau dia datang. Begitu juga dalam solat. Dia tak mahu orang hormat terlebih.

Berapa ramai solat sekali dengan Nabi? Ramai sampai melimpah ke bawah. Bermakna Nabi berada di atas. Ini juga satu lagi dalil imam boleh ada diatas dan makmum di bawah.
Masjid tetap dijalankan solat fardhu. Bukan ibadat itu bersangkutan dengan Nabi. Tidaklah apabila Nabi tidak ada, solat tidak berjalan.  Mereka solat dengan Nabi itu solat sunat lain. Mereka nampak Nabi solat, mereka ikut sahaja. Tak tanya solat apa pun. Nabi tak tegur pun mereka selepas itu kenapa ikut dia. Inilah dipakai Syafie tidak perlu tahu imam solat apa.

Pengajaran yang boleh diambil:

  1. Nabi juga menderita kesakitan macam manusia biasa. Binatang pun layan Nabi sama macam manusia lain. Tapi seorang Nabi takkan sakit sampai menjauhkan manusia. Jadi tidak benar kalau kita kata Nabi Ayyub menderita penyakit kulit terus sangat sampai manusia tinggalkan dia. Sebenarnya memang dia ada sakit kulit tapi tak teruk sangat. Kerana kalau teruk sangat sampai manusia jijik dengan dia, bagaimana dia hendak berdakwah kepada manusia. 
  2. Dalam uzur tidak perlu ke masjid. Walaupun dekat masjid. Sah solat seorang yang tidak berjemaah dengan orang lain. Kalau tak sakit pun sah solat kalau tak solat berjemaah di masjid. Cuma kurang pahala dan tidak mendapat kelebihan. 
  3. Bulan qamari tidak sentiasa penuh 30.
  4. Islam menggalakkan ibadat walau dalam sakit.
  5. Harus solat duduk kalau tak mampu berdiri.

Kuliah Maulana Asri