Sahih Bukhari / Kitab Mandi Janabah / Bab Apabila Bertemu Dua Khitan / Hadis 282-284

بَاب إِذَا الْتَقَى الْخِتَانَانِ

Bab Apabila Bertemu Dua Khitan

Ini adalah satu permasalahan yang menjadi khilaf antara ulama. Bukan hanya ulama sahaja, tapi sahabat pun ada khilaf antara mereka tentang perkara ini. Jumhur mengatakan bahawa wajib mandi apabila bertemu dua khitan, walaupun tidak mengeluarkan air mani.

Tapi ada juga yang mengatakan tidak wajib. Hanya kalau keluar mani baru kena mandi. Kerana ada hadis Nabi mengatakan mandi apabila nampak air mani. Jadi, kalau mengikut hadis itu, tidaklah perlu mandi janabah jikalau tidak keluar lagi air mani.

Tapi yang mengatakan kena juga mandi walaupun tidak keluar mani, mereka mengatakan hadis itu telah dimansukhkan oleh hadis yang lain. Atau hadis itu hanya digunakan untuk mereka yang mengalami ihtilam – mimpi basah. Iaitu tidak ada persetubuhan di alam nyata tapi keluar mani.

Latar belakang isu ini: Ada kadang-kadang seseorang lelaki terpaksa menarik zakarnya keluar sebelum sempat mengeluarkan mani. Ada yang terpaksa berhenti disebabkan oleh apa-apa sahaja sebab. Pada zaman Nabi pun ada kisah sahabat yang terjadi sebegitu. Dia telah menjemput Nabi untuk datang ke rumahnya dan ditakdirkan Nabi sampai semasa dia sedang bersetubuh. Jadi dia telah memberhentikan ‘kerja’nya itu dan terus mandi. Nabi perasan rambutnya basah dan Nabi kata, kalau tidak sempat keluar mani, hanya wudu sahaja. Itu kita telah belajar dalam bab wudu dulu.

Jadi sahabat Nabi selepas kewafatan Nabi terbahagi kepada dua. Ada yang mandi walaupun tidak keluar mani dan ada yang tidak. Boleh dikatakan sama banyak antara dua pendapat ini. Jadi pada zaman Umar, dia tidak sedap hati kerana ada perbezaan pendapat itu. Sebagai khalifah, dia rasa terpanggil untuk menyelesaikan masalah ini. Kerana Khalifah bukan hanya mentadbir dari segi politik sahaja, tapi dari segi ibadah juga.

Maka Umar telah memanggil Ahli Badr. Dia kata seganlah sebab Ahli Badr ada lagi, tapi nanti apa orang kemudian akan kata kalau ada khilaf sebegini. Maka cuba diselesaikan dengan mereka. Iaitu diadakan perbincangan antara mereka. Tapi masih ada juga khilaf antara mereka kerana mereka membawakan dalil masing-masing.

Kemudian ada cadangan diberikan untuk bertanya kepada isteri Nabi. Mula-mula Sayidina Umar hantar utusan kepada anaknya, Hafsah. Tapi Hafsah juga tak pasti dalam hal ini. Maka, kemudian dihantar utusan kepada Saidatina Aisyah. Aisyah menjawab, apabila bertemu dua khitan, kena mandi janabah walaupun tidak mengeluarkan mani. Maka, semua sahabat bersetuju dengan pendapat ini dan ini adalah ijmak sahabat. Umar telah mengatakan jikalau ada yang tidak pakai sebegini, dia akan hukum orang itu.

Persoalan sekarang adalah, Imam Bukhari pakai yang mana?

Apabila Imam Bukhari membawakan tajuk ini menunjukkan bahawa ada khilaf antara ulama tentang perkara ini. Tapi kenapa boleh ada khilaf lagi kalau sudah ada ijmak pada zaman sahabat? Ini yang menghairankan kita.

Ini terjadi kerana ada yang tidak menerima ijmak itu. Seperti Daud Zahiri yang tidak terima konsep ijmak. Beliau tidak bersetuju kerana pada beliau susah nak pastikan semua ulama bersetuju dengan tetap dalam satu-satu perkara. Sebab dalam ijmak ulama ini, kalau ada seorang sahaja yang tidak setuju, maka tidaklah ada ijmak. Ijmak itu semua kena setuju baru boleh dikira sebagai ijmak.

Jadi, kepada Daud Zahiri, dia mengatakan yang susah untuk pastikan ada persetujuan semua ulama. Dan katakanlah semua setuju, bagaimana nak pastikan ulama itu semuanya sudah capai tahap Mujtahid?

Dan kalau betul sudah ada ijmak ulama, masih tak boleh langgarkah lagi? Itu adalah satu lagi persoalan.

Kalau sudah ijmak, bagaimana ulama dalam kes ini tidak memakainya terus? Ini menunjukkan bahawa ianya tidak ijmak lagi. Kerana bukan semua sahabat ada masa itu yang boleh memberikan pandangan mereka yang mungkin bercanggah dengan pendapat dan keputusan Umar. Kerana waktu itu sahabat sudah banyak yang keluar berdakwah ke merata negara.

Maknanya, tidaklah semua sahabat bersetuju. Oleh itu, masa itu pun sudah ada khilaf. Tapi sebagai langkah berjaga, eloklah mandi janabah. Begitulah kita sebaiknya elakkan diri dari syubhah. Iaitu syubhah khilaf, iaitu perkara yang tidak terang. Katakanlah kalau betul kena mandi, macam mana? Maka, eloklah mandi supaya selamat dalam hal ini.

Kita kena juga pandang pendapat orang lain kerana mereka juga Mujtahid. Itulah kelebihan kalau dapat meluangkan masa dengan belajar. Kita dapat tahu pendapat orang lain juga dan tidaklah jumud sangat dengan pendapat kita.

282 – حَدَّثَنَا مُعَاذُ بْنُ فَضَالَةَ قَالَ حَدَّثَنَا هِشَامٌ ح و حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ عَنْ هِشَامٍ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ الْحَسَنِ عَنْ أَبِي رَافِعٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا جَلَسَ بَيْنَ شُعَبِهَا الْأَرْبَعِ ثُمَّ جَهَدَهَا فَقَدْ وَجَبَ الْغَسْلُ
تَابَعَهُ عَمْرُو بْنُ مَرْزُوقٍ عَنْ شُعْبَةَ مِثْلَهُ وَقَالَ مُوسَى حَدَّثَنَا أَبَانُ قَالَ حَدَّثَنَا قَتَادَةُ أَخْبَرَنَا الْحَسَنُ مِثْلَهُ

282. Telah menceritakan kepada kami Mu’adz bin Fadlalah berkata, telah menceritakan kepada kami Hisyam. (dalam jalur lain disebutkan) Telah menceritakan kepada kami Abu Nu’aim dari Hisyam dari Qatadah dari Al Hasan dari Abu Rafi’ dari Abu Hurairah dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau bersabda: “Apabila seseorang berada di antara empat empat cabang orang perempuan, kemudian dia mengerjakannya (menyetubuhinya), maka wajib baginya mandi.” Hadits ini dikuatkan oleh ‘Amru bin Marzuq dari Syu’bah seperti hadits tersebut. Dan Musa berkata, telah menceritakan kepada kami Aban berkata, telah menceritakan kepada kami Qatadah telah mengabarkan kepada kami Al Hasan seperti hadits tersebut.”

 

Syarah: Maksud ‘mengerjakannya’ pada Imam Bukhari adalah bersetubuh sampai keluar mani. Itu adalah bahasa tamsilan (bahasa kiasan). Maknanya, ada pendapat yang mengatakan jikalau pada hadis ini, ianya menunjukkan bahawa bersungguh-sungguh berjimak sampai keluar air mani.

Yang dimaksudkan ‘di antara empat cabang’ itu adalah dua tangan dan dua kaki. Maknanya, seorang lelaki itu di atas isterinya sedang berjimak (bersetubuh).

Apakah khitan? Kepada lelaki, ianya adalah sampai kepada hashafah kepala zakar yang macam helmet tu. Perempuan pun ada juga iaitu setakat biji kelentit dia. Kalau masuk satu bahagian dari zakar lelaki ini ke dalam dalam bahagian wanita yang telah disebut, maka itu telah bertemu dua khitan.

Nota tambahan: adakah kita kena berkhatan? Lebih-lebih lagi perempuan, adakah perlu berkhatan?

Berkhatan itu sebenarnya adalah hanya budaya Arab. Tidak ada perintah dalam Qur’an dan dalam hadis pun untuk kita berkhatan. Memanglah ada dikatakan bahawa Nabi Ibrahim pernah berkhatan – iaitu semasa umurnya 80 tahun. Dan Nabi pun pernah mengkhatan Hasan dan Hussein pada hari ke tujuh mereka dilahirkan.

Tapi hadis yang ada tidak kuat untuk mewajibkan kita khitan. Lebih-lebih lagi kepada perempuan. Kerana yang ada hanyalah Hadis dalam bentuk umum sahaja. Iaitu Nabi kata jangan buang banyak sangat kelentit perempuan itu. Itu sebenarnya kepada mereka yang sudah buat, iaitu Nabi suruh jangan buang banyak sangat. Tapi kalau memang bukan budaya, adakah kita perlu buat juga?

Ini adalah satu khilaf di kalangan ulama. Bayangkan kalau seorang kafir masuk Islam, adakah kita hendak dia berkhatan juga? Tentulah itu akan menakutkan dia nanti untuk masuk Islam, bukan? Kalau kita tahu yang ianya tidaklah wajib, tidaklah kita memberatkan perkara itu. Kalau nak kata untuk menjaga kebersihan, pun tidak kuat juga alasan itu. Kerana kalau seseorang itu sudah besar, tentulah seorang itu tahu menjaga kebersihan dia termasuk kemaluannya sekali.

Dan kalau ada yang kata perempuan kena khatan kerana supaya nafsu seks dia kurang, adakah kebenaran dalam perkara itu? Bagaimana pula kita dapat tahu? Apa kata kalau nafsu seks dia memang sudah kurang, nanti kalau dibuang lagi sebahagian dari kelentit dia, tidakkah habis semua sekali nafsu dia? Tidakkah itu memudharatkan dia sebenarnya? Bagaimanakah nanti dia nak melawan nafsu suaminya kalau dia sendiri tidak ada nafsu?


 

بَاب غَسْلِ مَا يُصِيبُ مِنْ فَرْجِ الْمَرْأَةِ

Bab Membasuh Apa-Apa Yang Mengenai Seseorang Daripada Faraj Perempuan

283 – حَدَّثَنَا أَبُو مَعْمَرٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَارِثِ عَنْ الْحُسَيْنِ قَالَ يَحْيَى وَأَخْبَرَنِي أَبُو سَلَمَةَ أَنَّ عَطَاءَ بْنَ يَسَارٍ أَخْبَرَهُ أَنَّ زَيْدَ بْنَ خَالِدٍ الْجُهَنِيَّ أَخْبَرَهُ أَنَّهُ سَأَلَ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ فَقَالَ أَرَأَيْتَ إِذَا جَامَعَ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ فَلَمْ يُمْنِ قَالَ عُثْمَانُ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلَاةِ وَيَغْسِلُ ذَكَرَهُ قَالَ عُثْمَانُ سَمِعْتُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلْتُ عَنْ ذَلِكَ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ وَالزُّبَيْرَ بْنَ الْعَوَّامِ وَطَلْحَةَ بْنَ عُبَيْدِ اللَّهِ وَأُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ فَأَمَرُوهُ بِذَلِكَ
قَالَ يَحْيَى وَأَخْبَرَنِي أَبُو سَلَمَةَ أَنَّ عُرْوَةَ بْنَ الزُّبَيْرِ أَخْبَرَهُ أَنَّ أَبَا أَيُّوبَ أَخْبَرَهُ أَنَّهُ سَمِعَ ذَلِكَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

283. Telah menceritakan kepada kami Abu Ma’mar telah menceritakan kepada kami ‘Abdul Warits dari Al Husain, Yahya berkata, dan telah mengabarkan kepadaku Abu Salamah bahwa ‘Atha’ bin Yasar mengabarkan kepadanya, bahawa Zaid bin Khalid Al Juhaini mengabarkan kepadanya, bahawa dia bertanya kepada ‘Utsman bin ‘Affan, “Bagaimana jika seseorang menyetubuhi isterinya tapi tidak keluar air mani?” ‘Utsman bin ‘Affan menjawab, “Hendaknya dia berwudu sebagaimana wudhu untuk shalat, lalu mencuci zakarnya (sahaja).” ‘Utsman lalu melanjutkan ucapannya, “Aku mendengar jawapan seperti ini dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, dan aku (perawi) juga pernah bertanya kepada ‘Ali bin Abu Thalib, Az Zubair bin Al ‘Awam, Thalhah bin ‘Ubaidullah dan Ubay bin Ka’b radliallahu ‘anhum (tentang masalah ini). Mereka semua menyuruh melakukan seperti itu.” Yahya berkata, telah mengabarkan kepadaku Abu Salamah bahawa ‘Urwah bin Az Zubair mengabarkan kepadanya, bahawa Abu Ayyub mengabarkan kepadanya, bahawa dia mendengar seperti itu dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.”

Syarah: Inilah yang dikatakan ada pendapat yang mengatakan bahawa kalau tidak keluar air mani, tidak perlu mandi janabah. Tapi ada pula yang mengatakan bahawa ianya telah dimansukhkan. Dan Imam Bukhari hanya bawa hadis ini kerana nak menunjukkan sejarah perkembangan hukum itu. Bukanlah dia hendak memberitahu pendapat dan pegangannya, tapi sebagai pengenalan proses asal sebelum permansuhan.

284 – حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ قَالَ أَخْبَرَنِي أَبِي قَالَ أَخْبَرَنِي أَبُو أَيُّوبَ قَالَ أَخْبَرَنِي أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ أَنَّهُ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِذَا جَامَعَ الرَّجُلُ الْمَرْأَةَ فَلَمْ يُنْزِلْ قَالَ يَغْسِلُ مَا مَسَّ الْمَرْأَةَ مِنْهُ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ وَيُصَلِّي
قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ الْغَسْلُ أَحْوَطُ وَذَاكَ الْآخِرُ وَإِنَّمَا بَيَّنَّا لِاخْتِلَافِهِمْ

284. Telah menceritakan kepada kami Musaddad telah menceritakan kepada kami Yahya dari Hisyam bin ‘Urwah berkata, telah mengabarkan kepadaku bapaku dia berkata, telah mengabarkan kepadaku Abu Ayyub berkata, telah mengabarkan kepadaku Ubay bin Ka’b bahawa dia pernah bertanya Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, bagaimana jika seseorang bersetubuh dengan isterinya namun tidak keluar (mani)?” Baginda menjawab: “Dia hanya perlu membasuh bahagian anggotanya (kemaluannya) yang telah mengenai faraj isterinya, kemudian setelah dia berwudu, bolehlah dia shalat.” Abu ‘Abdullah Al Bukhari berkata, “Mandi adalah langkah yang lebih cermat.” Yang terakhir ini kami sebutkan tidak lain kerana ada ikhtilaf di kalangan mereka.”

Syarah: Imam Bukhari menyampaikan pendapatnya untuk mandi juga sebagai langkah yang lebih cermat.

Seperti selalu, Imam Bukhari akan membawakan maksud mengingatkan kita tentang mati. Isyarat mati dalam hadis ini adalah tentang mandi itu sendiri. Apabila kita mati, kita akan dimandikan sebelum dikafankan.

Maka, perlulah kita selalu ingat tentang mati. Kalau mandi janabah itu, kita kena ingat bahawa nanti kita juga akan dimandikan nanti apabila hujung hayat kita oleh orang lain pula. Kematian itu adalah satu perkara yang mengingatkan kita untuk menjadi orang yang baik.

Allahu a’lam.


Rujukan:

Maulana Asri

Leave a comment